Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pesalah Shahri Jumaat & Noor Halis gembleng tenaga relawan bantu jiran tetangga memerlukan

Encik Shahri dan Encik Halis bertekad untuk menyumbang kembali kepada masyakarat menerusi kerja-kerja amal.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pesalah Shahri Jumaat & Noor Halis gembleng tenaga relawan bantu jiran tetangga memerlukan

Dr Faishal Ibrahim bersama Encik Shahri (tengah) dan Encik Noor Halis (kanan). (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAMediacorp: Dahulu mereka tersilap langkah. Kesan perbuatan lama mereka ke atas jiran tetangga membekas bertahun-tahun lamanya.

Manakan tidak, mereka melepak sehingga jauh malam, bergaduh sehingga berlaku pertumpahan darah dan ada juga ‘mangsa’ yang putus telinga hanya kerana tidak berpuas hati ditenung oleh anggota ‘baju’ lain (kumpulan gengster lain). Itu semua ‘perkara biasa’ yang pernah mereka lakukan. 

Namun azam yang kuat untuk mengubah stigma masyarakat terhadap estet kejiranan mereka dan diri mereka, membuahkan hasil yang cukup manis. Ini kerana mereka juga dapat menjalin kembali silaturahim yang terputus sejak 10 tahun lalu dengan jiran tetangga.

Encik Shahri Jumaat dan Encik Noor Halis Maspot kedua-duanya merupakan bekas penduduk Yishun Street 71, kawasan kejiranan yang satu ketika dahulu dicemari kegiatan-kegiatan tidak sihat oleh kumpulan-kumpulan remaja bermasalah. Encik Shahri dan Encik Halis adalah antara remaja yang terlibat dalam kumpulan kongsi gelap di sana.

Encik Halis pernah meringkuk dalam penjara selama 7 tahun. Manakala Encik Shahri yang bermula sebagai remaja bermasalah sejak usia 12 tahun dimasukkan ke rumah tumpangan remaja nakal dan kemudian menjalani program pemulihan selama 18 bulan kerana kegiatan kumpulan kongsi gelap. Beliau dibebaskan pada tahun 2007.

Hari ini, Encik Shahri dan Encik Halis, yang kedua-duanya pengasas One Heart Brothers Society, iaitu kumpulan bekas pesalah yang menawarkan program sokongan bagi belia berisiko, sudah kembali ke pangkal jalan. Mereka sekarang adalah pejuang masyarakat yang positif!

#ProjekKampung oleh One Heart Brothers Society di Yishun Street 71. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Tidak setakat itu, mereka bertekad untuk menyumbang kembali kepada masyakarat menerusi kerja-kerja amal. Yang terbaru dan sempena mengambil keberkatan bulan Ramadan ini, mereka menganjurkan #ProjekKampung, di mana mereka menggembleng tenaga keluarga, sahabat-handai dan jiran tetangga untuk sama-sama melakukannya.

MAHU WUJUDKAN WADAH UNTUK ANAK-ANAK REMAJA

#ProjekKampung istimewa kerana ia juga peluang untuk Encik Shahri dan Encik Halis menjernihkan semula hubungan mereka dengan jiran tetangga yang dahulu pernah terjejas disebabkan kekhilafan mereka.

Semasa ditemui BERITAMediacorp di Yishun Street 71 semalam (2 Jun), Encik Shahri berkata keinginan untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap mereka dan ‘kampung’ mereka, dari yang negatif kepada yang positif, adalah pendorong utama mereka memulakan inisiatif tersebut.

“Saya membesar, sebagai anak remaja berisiko dahulu dan juga dilabel (sebagai) bekas pesalah. Saya ingin mengubah kembali pengaruh negatif itu menjadi positif dalam kalangan masyarakat kini dan juga untuk membangkitkan anak-anak remaja kita. (Selain itu), juga untuk kita memberi wadah supaya mereka ada tempat dan ada tujuan untuk memikirkan masa hadapan,” kata Encik Shahri, 30 tahun.

#ProjekKampung oleh One Heart Brothers Society di Yishun Street 71. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Menerusi projek tersebut, sekitar 30 keluarga memerlukan di ‘kampung’ Yishun Street 71 diberikan habuan berupa barangan dapur termasuk beras dan juga wang antara S$30 dengan S$100 bagi setiap keluarga. Bantuan itu juga diharap sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga tersebut membuat persiapan hari raya.

Inisiatif itu turut melibatkan rakan-rakan projek seperti Projek Pensel, Nur Insan dan bekas anggota kugiran Klutz, Shafiq Kamis.

Projek Pensel menyumbang dari segi peralatan sekolah supaya mereka bermotivasi untuk ke sekolah, Nur Insan pula akan mengadakan kelas-kelas agama dan tuisyen bagi anak-anak Yishun yang memerlukan manakala Encik Shafiq akan mengadakan sesi-sesi latihan sepak takraw.

#ProjekKampung oleh One Heart Brothers Society di Yishun Street 71. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Menurut Encik Shahri lagi, kerjasama ini diharapkan dapat mewujudkan kegiatan-kegiatan bermanfaat buat anak-anak penduduk Yishun Street 71, bukan hanya dalam bulan Ramadan, malah pada jangka panjang.

“Kami bekerjasama untuk menganjurkan acara ini. Kami tidak mahu generasi masa akan datang tersesat jalan. Saya percaya walaupun hanya 20 peratus daripada mereka yang berjaya, mereka masih generasi seterusnya dan kita akan bergantung kepada mereka,” Encik Shahri memberitahu BERITAMediacorp.

“KITA SEMUA MANUSIA...KITA TIDAK SEMPURNA” - DR FAISHAL

Acara itu turut dihadiri oleh tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Faishal Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Nee Soon.

Semasa beramah mesra dengan para sukarelawan, Dr Faishal memuji inisiatif #ProjekKampung dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang dapat “menyentuh hati”.

#ProjekKampung oleh One Heart Brothers Society di Yishun Street 71. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Beliau menambah, sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada masyarakat, tidak mengira latar belakang mereka.

“Tidak kira walaupun mereka yang bersalah ataupun mereka yang berjaya, kita semua manusia. Kita tidak lepas daripada liku-liku kehidupan dan kita tidak sempurna. Tetapi yang penting kita boleh memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan kita hormat menghormati antara satu sama lain.

“Apabila kita turun padang, kita menggembleng tenaga, menyumbang kepada masyarakat, kita semua sama kerana niat kita adalah untuk menolong, menyumbang kembali kepada masyarakat,” Dr Faishal memberitahu BERITAMediacorp.

5 TAHUN DISISIHKAN SEBELUM DAPAT PENERIMAAN

Meskipun usaha gigih mereka sudah membuahkan hasil positif, Encik Halis berkata, pada awalnya beliau hampir-hampir berputus asa kerana berdepan cabaran demi cabaran dan terus berasa seolah-olah disisihkan masyarakat.

“Masa kami bermula, kami tidak diterima oleh masyarakat apabila mereka mendengar bahawa kami adalah bekas pesalah. Pada ketika itu kami tertanya-tanya ‘apakah maknanya semua ini?’ ‘adakah ini semua propaganda’,” luah Encik Halis.

#ProjekKampung oleh One Heart Brothers Society di Yishun Street 71. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Namun semangat saling mendukung antara satu sama lain di kala kesulitan, membantu beliau untuk bangkit dan meneruskan usaha untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

“Yang pasti kami tidak berputus asa. Lima tahun kemudian, Alhamdulillah, kami berada di sini. Kami bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan ini. Kami bukan kejar glamor, bukan mahu terkenal. Kami mahu lebih banyak pendedahan kerana kami mahu masyarakat tahu tidak semua bekas pesalah seperti ini,” tambah Encik Halis, 33 tahun.

Yang pasti, penerimaan dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka serta peluang yang diterima, membuatkan Encik Shahri dan Encik Halis amat bersyukur.

“Mereka menerima kita, beri kita peluang. Insya-Allah, kita tidak mahu menghampakan mereka lagi. Ini (juga) peluang kedua kami daripada Allah SWT,” kata Encik Shahri mengakhiri wawancara bersama BERITAMediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan