Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Baju online' terus jejas perniagaan tukang jahit baju Hari Raya, kedai runcit

Para peniaga sedemikian menyatakan perniagaan mereka bagi musim Lebaran tahun ini, merosot sekitar 15% berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Baju online' terus jejas perniagaan tukang jahit baju Hari Raya, kedai runcit

Gambar hiasan. (Gambar: ANDREW CABALLERO-REYNOLDS / AFP)

SINGAPURA: Platform online yang menjual busana Hari Raya nampaknya terus menjejas perniagaan tukang jahit baju dan butik tradisional.

Para peniaga sedemikian menyatakan perniagaan mereka bagi musim Lebaran tahun ini, merosot sekitar 15% berbanding tahun-tahun sebelumnya.

BAGAIMANA LANDSKAP BAJU TEMPAH DIHAKIS BAJU 'ONLINE'

Perniagaan menerusi wadah online yang berleluasa penggunaannya, terus menawarkan pelbagai koleksi pakaian Hari Raya.

Dengan pilihan tidak perlu keluar rumah untuk mendapatkan busana Syawal, serta boleh mendapatkannya dengan segera, ia terus menjadi saluran popular untuk mendapatkan baju Raya.

Satu lagi perkara, ia menampilkan koleksi para pereka fesyen ternama di rantau ini di hujung jari para pembeli, khususnya para pelanggan muda.

Secara langsung atau tidak, kehadiran platform online ini, terus menjejas perniagaan para pemain tradisional.

Bagi Pereka Fesyen Mod Kebaya Encik Mohd Zuhri Muhd Sukaimi yang mula mengambil tempahan busana Hari Raya sejak 10 tahun lalu, kehadiran platform online menjejas perniagaan beliau hampir 50% pada suatu ketika dahulu. Fenomena tersebut kini masih terus menjejas perniagaannya.

"Bagi saya bila mula-mula online ini diperkenalkan ia menjejas perniagaan saya. Macam satu bulan saya boleh dapat dalam 20-30 (tempahan), kadang-kadang cuma 10 (tempahan), dalam permulaannya.

"Kita sendiri harus usaha bagaimana untuk kita mengatasi masalah ini tetapi tetap pada saya dulu sama sekarang, perniagaan kita tetap menurun sedikit," katanya yang kini menyaksikan perniagaannya jatuh sekitar 15%.

Encik Zuhri bersama para model yang mempergayakan rekaannya. (Gambar: Facebook/ Mod Kebaya)

Beliau juga percaya, mereka yang mengambil tempahan jahit sepertinya untuk bukan saja aktif di media sosial tetapi juga menawarkan rekaan terkini supaya anak muda akan terus melanggani khidmat mereka pada masa depan.

KEDAI RUNCIT BERPENGALAMAN, BUTIK JUGA RASA KESANNYA

Malah, kedai-kedai runcit dan butik-butik yang menjual pakaian Hari Raya seperti pemain lama, 2nd Chance turut merasakan penangannya.

"Sebanyak sedikit perniagaan online ini ada memberi kesan kepada penjual-penjual kedai seperti kita tetapi apa yang lebih jelas adalah saingan-saingan semakin menambah semakin hari.

"Di antaranya, adalah seperti jenama-jenama selebriti yang sekarang menjadi tumpuan pelanggan-pelanggan dan tidak lupa juga dengan saingan yang terdapat dari seberang tambak," kongsi Eksekutif Pengurusan 2nd Chance Azlan Mohd Shafie.

Encik Azlan menambah bahawa dengan adanya begitu banyak bazar di merata negara pada Ramadan kali ini, ia juga tidak membantu 2nd Chance.

Antara koleksi First Lady. (Gambar: Laman First Lady)

Lantaran itu, untuk kekal berdaya saing Encik Azlan mendedahkan bahawa 2nd Chance perlu menawarkan koleksi Hari Raya pada harga mampu milik tanpa menjejas mutunya.

ADAKAH BENAR-BENAR PLATFORM ONLINE JADI PILIHAN TAHUN INI?

Tinjauan rambang BERITAMediacorp ke atas para pembeli mendapati bahawa kaedah pilihan para pengguna nampaknya mempunyai sikap bercampur-campur dalam membeli busana Hari Raya.

Hanya 60% yang memilih untuk menempah baju atau membelinya di kedai-kedai fizikal. Bagi 40% yang membeli di wadah online berkata bahawa faktor masa adalah sebab utama.

"Kalau saya selalu tempah pasal kalau tempah ia selalu 'fix' pada badan, kalau online kadang-kadang ukurannya lari," kata Cik Yulita Sabar.

Seorang lagi pengunjung ditemui Cik Siti Norkamisah Mohd Yusof berkata: "Beli di kedai. Sekarang sudah ada banyak baju 'plus size' kalau macam saya. Baju 'plus size' sudah banyak jadi mesti ada saiz daripada XL hingga lapan XL."

Bagi seorang ibu muda seperti Cik Sheril Izzyana, beliau memilih membeli secara online kesuntukan masa. Selain itu beliau juga menjaga anak kecil yang membuatkannya "tidak ada masa hendak keluar jalan-jalan cari baju".

"Saya lebih suka platform online kerana saya tidak boleh buat fikiran dengan cepat kerana kalau pergi Geylang perlu pergi dua-tiga kali kalau pergi online lebih mudah," kata seorang anak muda Umairah Shamsul.

Yang pasti, semua ini menunjukkan, para pengguna masih lagi 'tepuk dada tanya selera'. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan