Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aaron Aziz pinjamkan nama dan tenaga kepada kempen 'Dadah Itu Haram'

Kanak-kanak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) menerima kejutan istimewa pagi ini (31 Mei) apabila pelakon popular Aaron Aziz menyertai mereka untuk jamuan sahur.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kanak-kanak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) menerima kejutan istimewa pagi ini (31 Mei) apabila pelakon popular Aaron Aziz menyertai mereka untuk jamuan sahur.

Lawatan itu diatur Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Encik Amrin Amin sebagai sebahagian daripada kempen 'Dadah Itu Haram' yang diterajuinya.

Baru-baru ini, Biro Narkotik Pusat (CNB) mengumumkan bahawa Aaron mengikrarkan sokongan beliau kepada kempen memerangi dadah tersebut.

Menurut Aaron, beliau sudah lama berhasrat untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha anti-dadah dan ingin menumpukan bantuannya kepada golongan belia.

"Ketika saya remaja dahulu, saya bernasib baik kerana diberi peluang untuk kembali ke arah yang betul. Tetapi saya tidak mempunyai mentor. Saya belajar sendiri melalui kesilapan dan pengalaman. Kalau penglibatan saya dalam kempen ini boleh mengubah kehidupan satu dua orang sekalipun, saya rasa bersyukur", kata beliau.

Lawatan Aaron ke RKM merupakan penampilan pertamanya berkaitan dengan kempen tersebut. Dalam beberapa bulan yang akan datang, beliau merancang untuk menziarahi rumah-rumah kebajikan dan rumah tumpangan bagi mendampingi mereka yang pernah terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah. Lawatannya itu diharap dapat membantu memberi mereka semangat dan rangsangan untuk kembali ke pangkal jalan dan pangkuan masyarakat.

Encik Amrin turut meluahkan rasa gembiranya dengan penyertaan bintang itu.

"Apabila saya menjemput beliau untuk sama-sama menjayakan usaha ini, beliau bersetuju dengan serta merta. Beliau sangat gembira dan ghairah untuk berbakti dan berkongsi pengalaman. Saya percaya beliau akan memberi perspektif yang baru, pendedahan dan juga memberi suara yang lain daripada ahli-ahli kempen ‘Dadah Itu Haram’ sejauh ini," ujar beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan