Ramadan 2018

Images
  • Masjidil Haram
    Masjidil Haram, Makkah. (Gambar: AMER HILABI / AFP)

30,000 pegawai keselamatan dikerah di Masjidil Haram bagi tangani kesesakan umrah Ramadan

MAKKAH: Sebanyak 30,000 kakitangan keselamatan dikerahkan untuk menangani jemaah di Masjidil Haram semasa bulan Ramadan, menurut akhbar harian Al-Madina pada Selasa (15 Mei), seperti menukil Jeneral Khaled Qarar Al-Harbe, komander pasukan keselamatan umrah.

Beliau berkata rancangan keselamatan umrah bermula pada Isnin selepas ia diluluskan Menteri Dalam Negeri Putera Abdulaziz Bin Saud, yang juga pengerusi Jawatankuasa Tinggi Haji, menurut Saudi Gazette.

"Pengurusan jemaah akan dilakukan mengikut wawasan saintifik yang disokong pengalaman bidang yang sudah dikumpulkan," katanya.

Jeneral Khaled berkata rancangan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk faktor keselamatan, trafik, kawalan jalan raya serta pengurusan dalam dan di luar Masjidil Haram.

Beliau berkata rancangan berkenaan akan meraih manfaat daripada pelajaran sebelum ini dan pengajian saintifik. "Pasukan keselamatan sedang melaksanakan dengan menyeluruh rancangan tersebut dan keadaan keselamatan baik setakat ini," menurutnya.

Komander berkenaan berkata pasukan keselamatan akan dikerahkan di kesemua tempat dan lokasi bagi menjalankan rancangan keselamatan umrah.

"Pasukan keselamatan akan menjalankan usaha untuk mengekang fenomena negatif termasuk kecurian dan penyeluk saku," jelasnya, seperti ditukil Saudi Gazette.

Beliau berkata sebilangan elemen tidak berprinsip akan mengambil kesempatan atas musim umrah untuk meraih keuntungan tetapi pasukan keselamatan akan memburu mereka dan tidak akan membiarkan mereka melakukan perbuatan jahat di dalam Masjidil Haram atau di plaza di luar, melalui polis rahsia yang berkelayakan tinggi dan dilatih dengan baik," katanya.

Komander berkenaan juga berkata polis rahsia akan ditempatkan di kesemua penjuru Masjidil Haram, aras-aras atas, kawasan mataf dan ruang sesak bagi mencegah kecurian dan menangkap pencuri.

"Ruang sesak akan diperhatikan dengan teliti termasuk projek peluasan Raja Abdullah, pintu Raja Abdul Aziz, tandas dan kawasan lain," terangnya, menurut Saudi Gazette.

Beliau memberitahu bilik operasi dan pusat komand dan kawalan dibekalkan dengan kamera dan peralatan teknologi maju bagi membantu menangani orang ramai.

Jeneral Khaled berkata sebilangan pencuri sudahpun ditangkap semasa cuba mencuri daripada jemaah umrah di Masjidil Haram dan akan disoal siasat.

"Pasukan keselamatan akan banyak mengurangkan kesemua aspek negatif termasuk mencuri dan akan memastikan jemaah selamat," jelasnya.

Komander tersebut turut mendedahkan sejumlah wanita dikerahkan dan ditempatkan di beberapa tempat yang khusus bagi jemaah wanita dalam Masjidil Haram, plaza di luar dan tandas.

Beliau menjelaskan pasukan keselamatan akan menghalang solat di laluan untuk berjalan supaya tidak menghadang jemaah daripada melakukan tawaf di sekeliling Kaabah.

Sejumlah komander keselamatan umrah berkata teknologi moden akan digunakan bagi mengawal jalan raya dan menangani jemaah yang keluar masuk dan di sekeliling Masjidil Haram.

Mereka memberitahu terdapat enam perhentian bas bagi membawa jemaah ulang alik ke kawasan pusat di sekitar Masjidil Haram.

- Agensi berita/IM/im

Top