Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 van sayuran ‘diselamatkan’, diberi percuma kepada jemaah masjid, keluarga memerlukan

Sayur-sayuran sebanyak bukan satu bukan dua tapi tiga muatan van hampir-hampir dibuang begitu sahaja oleh beberapa penjual dan pemborong.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Sayur-sayuran sebanyak bukan satu bukan dua tapi tiga muatan van hampir-hampir dibuang begitu sahaja oleh beberapa penjual dan pemborong.

Namun, ia berjaya ‘diselamatkan’ oleh para anggota kumpulan belia, FiTree, pada hujung minggu lalu. Sayur-sayuran itu kemudian diberi nafas baru dan diagihkan percuma kepada para jemaah Masjid Al-Amin dan juga keluarga-keluarga memerlukan di sekitar estet perumahan berdekatan.

(Gambar-gambar: Blissful Studios)

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada Karnival Ramadan Rescues yang dianjurkan oleh FiTree pada Sabtu (2 Jun) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembaziran makanan.

Pengasas bersama FiTree, Nur Khairiana Binte Mohamad Malek memberitahu BERITAMediacorp, sayuran-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual di kedai-kedai atau oleh pemborong, disebabkan terdapat sedikit cela atau terlebih jumlahnya, diselamatkan dan diagihkan kepada yang memerlukan serta para jemaah masjid.

(Gambar-gambar: Blissful Studios)

Masjid Al-Amin merupakan rakan utama bagi inisiatif Ramadan Rescues. Lantaran itu, majlis iftar yang diadakan di sana pada hari yang sama juga menghidangkan juadah yang mengandungi sayur-sayuran tersebut.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Amin, Muhammad Khairul Jameel Yahya memuji inisiatif anak-anak muda seperti FiTree untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya lebih menyayangi alam sekitar.

“Apa yang saya difahamkan sebanyak 790,000 tan makanan yang terbuang setiap tahun di Singapura. Jadi usaha yang dijalankan oleh pihak FiTree ini harus kita sokong. Dalam agama Islam kita pun digalakkan agar tidak membazir makanan.

(Gambar-gambar: Blissful Studios)

“Kami merasakan usaha ini adalah sangat murni. Mereka ingin memberi kesedaran kepada masyarakat untuk ambil berat tentang pembaziran makanan yang berlaku di Singapura,” kata beliau.

FiTree sudah memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar selama hampir lima tahun sejak 2013. Saban tahun, kumpulan itu menganjurkan pelbagai kempen yang berjaya menarik perhatian masyarakat.

“Alhamdulillah, pada pendapat saya tahap kesedaran masyarakat kita, masyarakat Islam, mengenai tanggungjawab kita sebagai orang Islam kepada alam sekitar, sangat memberangsangkan. Sudah semakin baik dari tahun ke tahun,” ujar Cik Khairiana.

(Gambar-gambar: Blissful Studios)

Beliau memberitahu BERITAMediacorp, kempen kurangi pembaziran air semasa berwuduk yang dijalankan di Masjid Mujahideen pada tahun lalu berhasil apabila kian ramai jemaah yang tidak menggunakan terlalu banyai air ketika mengambil air sembahyang.

Sekalipun begitu, perjalanan mereka untuk mengubah minda masyarakat masih jauh.

Menurut Cik Khairiana, meskipun masyarakat memahami dan tahu bahawa ia adalah tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menjaga alam sekitar dan mengurangkan pembaziran, masih ramai yang berasa sedikit “leceh” ataupun berat untuk membuka minda dan cuba sesuatu yang baru.

“Contohnya, masalah menggunakan pinggan mangkuk pakai buang/plastik. Ini adalah sangat tidak baik untuk alam sekitar. Jadi kita sarankan, gunakan pinggan mangkuk biasa yang dapat dicuci.

“Tapi ini sukar untuk mereka sebab ia adalah sesuatu yang mungkin tidak praktikal. Jadi bagi FiTree kita akan cuba sedaya upaya untuk terus menggalakkan masyarakat di masjid-masjid, di madrasah-madrasah untuk cuba gaya hidup yang baru yang lebih mesra alam,” katanya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan