Ramadan 2018

Images
  • ketupat woodlands
    Para relawan membungkus habuan yang akan diagihkan kepada para penduduk di Woodlands. (Gambar: BERITAMediacorp)

3,000 ketupat sihat diagih kepada 1,000 keluarga di Woodlands

SINGAPURA: Hari Raya seolah-olah datang dua hari lebih awal bagi 1,000 keluarga di Woodlands apabila mereka mendapat "ketupat dan rendang istimewa" hari ini (13 Jun).

'Istimewa' kerana ia merupakan ketupat dan rendang versi lebih sihat. Ia menggunakan bahan sihat seperti beras perang dan susu rendah lemak.

Ketupat berkenaan dianyam dan direbus oleh sekitar 100 sukarelawan sejak pagi lagi. Bukan sedikit, mereka sebenarnya merebus sekitar 3,000 ketupat beras perang!

Dipanggil Share-A-Ketupat-Rendang atau Berkongsi Ketupat Rendang, acara ini dianjurkan buat tahun ketiga berturut-turut dan diberi kepada para penduduk, tanpa mengira bangsa atau agama, memerlukan atau tidak.

MESEJ KESIHATAN SEMPENA HARI RAYA

Bagi tahun ini pula para penduduk bukan sahaja diberi, tetapi juga berpeluang belajar bagaimana membuat ketupat dan rendang cara lebih sihat.

Ini selaras dengan antara matlamat acara ini yang berharap dapat mendidik masyarakat untuk mengawal pemakanan mereka sempena musim perayaan ini.

"Kita ingin menyampaikan mesej yang untuk menjaga kesihatan itu tidak semestinya kita harus membelanjakan wang yang sangat besar dan banyak. Ia dalam kemampuan kita tetapi dari segi pulangan dari segi kesihatan itu banyak yang kita raihkan," kata Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

DAPAT PELIBATAN MASYARAKAT BERBEZA-BEZA

Jika lazimnya acara ini diusahakan oleh keringat para penduduk dan aktivis akar umbi, kali ini kumpulan mat motor, kumpulan van dan para anggota badan bukan mencari untung masyrakat Cina, iaitu Persatuan Hua Yuan.


Cik Pauline Ong (kanan) yang juga turut menyumbang masa dan tenaga dalam projek ini.

Mereka juga membantu dengan menghantar juadah ke rumah 180 keluarga kurang berkemampuan.

Encik Amrin turut menyingsing lengan menghantar ketupat rendang itu ke rumah penerima dan berharap semua usaha ini dapat menyebarkan sikap prihatin di kalangan penduduk Woodlands.

Seorang relawan Cik Pauline Ong berkata: "Saya rasa ini sebuah projek yang sangat berguna, yang mana anda dapat lihat semua masyarakat bersatu. Ini menunjukkan keprihatinan kita kepada semua."

"Selalunya di acara-acara ini, ia memberi kita satu semangat gotong-royong untuk menolong antara satu sama lain tidak mengira bangsa atau agama dan sifat ingin menolong yang selalu diterapkan dan selalunya dihargai setiap kali kita membuat acara amal," kata Penolong Pengasas Abam-Abam Van Singapura Kahiril Anuar Abdul Kadar.

Encik Amrin menambah pelibatan pelbagai pihak ini menunjukkan rasa ehsan dan ambil peduli kepada mereka yang memerlukan dan diharap dapat membawa keceriaan kepada mereka.

Inisiatif ini adalah usahasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Woodlands dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) demi membawa Lebaran yang lebih bermakna dan sihat buat semua.

- BERITAMediacorp/ru

Top