Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

240 pekerja asing nikmati majlis iftar di WGS; Lendlease laksanakan inisiatif jaga kebajikan pekerja berpuasa

Saat kita sibuk dalam persiapan menjelang Raya, mungkin kita terlepas pandang golongan yang menagih kasih kerana terpaksa hidup berjauhan daripada keluarga mereka demi menyara kehidupan.

Anggaran Waktu Membaca:
240 pekerja asing nikmati majlis iftar di WGS; Lendlease laksanakan inisiatif jaga kebajikan pekerja berpuasa

Profesor Madya Fatimah Lateef menghidangkan hidangan beriyani ayam kepada para pekerja asing. (Gambar: Paya Lebar Quarter/ Lendlease)

SINGAPURA: Saat kita sibuk dalam persiapan menjelang Raya, mungkin kita terlepas pandang golongan yang menagih kasih kerana terpaksa hidup berjauhan daripada keluarga mereka demi menyara kehidupan. Tidak hanya itu, mereka perlu bekerja di bawah terik matahari pada bulan Ramadan ini.

Itulah nasib para pekerja asing di sini. Menyedari akan hal itu, syarikat pemaju hartanah Lendlease menjalankan beberapa inisiatif bagi membawa keceriaan kepada para pekerjanya sempena bulan Ramadan. Antaranya, termasuk melancarkan satu kempen di media sosial.

Kempen media sosial yang dikendalikan para kakitangan Lendlease di bawah projek Paya Lebar Quarter (PLQ), membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tempatan tentang tugas dan pengorbanan para pekerja asing. Kempen #sayitforward di laman Facebook rasminya itu, menggalak orang ramai untuk memberi kata-kata semangat kepada para pekerja mereka di ruang komen.

Ucapan penghargaan yang terkumpul di media sosial dalam tempoh sebulan itu pula dikongsi bersama para pekerja asing dalam satu jamuan iftar di Wisma Geylang Serai semalam (2 Jun), untuk membangkitkan semangat mereka.

TAHUN PALING SIBUK BAGI PARA PEKERJA

Sekitar 240 pekerja asing syarikat itu diundang ke majlis iftar bersama para pemimpin masyarakat dari Jawatankuasa Perundingan Rakyat Geylang Serai (GS CCC). Turut hadir di acara tersebut adalah Anggota Parlimen GRC Marine Parade Profesor Madya Fatimah Lateef yang menyajikan para 'tetamunya' dengan hidangan beriyani ayam!

(Gambar: Paya Lebar Quarter/ Lendlease)

2,400 pekerja lain yang sedang bertugas juga disediakan dengan hidangan istimewa. Sekitar 70 peratus pekerja mereka merupakan penganut Islam.

"Kami tahu ia sukar bagi para pekerja asing untuk hidup berjauhan daripada keluarga tersayang, dan kami berharap untuk meraikan bulan (istimewa) ini bersama-sama sebagai satu keluarga di samping meluahkan penghargaan antara satu sama lain," kata Encik Richard Paine, Pengarah Urusan PLQ oleh Lendlease.

Malah, tambah beliau, tahun 2018 merupakan tahun paling sibuk bagi syarikat itu. Maka itu, syarikatnya komited untuk menjaga kebajikan dan keselamatan para pekerjanya.

Acara iftar yang diadakan juga sempena meraikan kemajuan projek PLQ yang dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini.

Para pekerja menunaikan solat maghrib bersama-sama.

INISIATIF LAIN

Selain mengadakan jamuan iftar dan kempen media sosial, ternyata syarikat itu turut memikirkan cara-cara untuk meringankan beban para pekerjanya.

Ini termasuk memberi mereka pilihan untuk bekerja pada sebelah petang atau malam pada bulan Ramadan, kerana bimbang akan pekerja yang berpuasa pada siang hari. Bukan itu sahaja, PLQ menyediakan makanan tambahan kesihatan bagi membantu proses hidrasi.

Topi keledar para pekerja yang berpuasa pula ditandakan dengan pelekat khas supaya rakan kerja yang lain dapat memberi perhatian kepada mereka semasa bekerja di tapak binaan.

BERITAMediacorp difahamkan PLQ turut melaksanakan satu sistem biometrik yang menggunakan teknologi pengimbasan wajah bagi memastikan para pekerja mereka mendapat waktu rehat yang mencukupi. Para pekerja yang bekerja selama melebihi masa yang ditetapkan tidak akan dibenarkan untuk bekerja. Akses mereka akan disekat.

Tempoh masa untuk berbuka di kantin turut dilanjutkan bagi memudahkan lagi para pekerja menikmati santapan berbuka di tapak binaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan