Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2,500 orang solat terawih pertama di tapak sementara Masjid Darul Ghufran

Bulan Ramadan bermula malam ini (16 Mei) dengan masyarakat Islam Singapura mula berpusu-pusu memenuhi masjid-masjid dan kolong-kolong blok untuk menunaikan solat terawih. 

Anggaran Waktu Membaca:
2,500 orang solat terawih pertama di tapak sementara Masjid Darul Ghufran

Suasana sempena solat terawih di tapak sementara Masjid Darul Ghufran.

SINGAPURA: Bulan Ramadan bermula malam ini tadi (16 Mei) dengan masyarakat Islam Singapura mula berpusu-pusu memenuhi masjid-masjid dan kolong-kolong blok untuk menunaikan solat terawih.

Bagi Masjid Darul Ghufran ini merupakan tahun kedua para jemaah menunaikan solat terawih di bangunan sementara Masjid Darul Ghufran memandangkan bangunan utama masjid itu ditutup atas kerja-kerja naik taraf.

Namun, semangat mengimarahkan masjid dan berterawih terus bersemarak.

BERITAMediacorp difahamkan pihak masjid menerima kehadiran sekitar 2,500 orang bagi solat terawih pertama hari ini.

Mentelah lagi, solat terawih di tapak sementara itu adalah yang terakhir kerana Masjid Darul Ghufran dijangka dibuka semula menjelang hujung tahun ini.

Bangunan baru itu juga dapat menampung sekitar 5,500 orang pada satu-satu masa, naik lebih 1,000 jemaah berbanding sebelum ini.

Pihak masjid juga menyatakan bahawa walaupun berada di tapak sementara, ia akan masih menganjurkan acara-acara khas sempena Ramadan.

Antaranya acara Moreh iaitu makan bersama selepas terawih, satu amalan tradisi kampung yang kerap diadakan di Malaysia dan acara World Quran Hour yang juga akan diadakan di merata masjid di sini.

PEMBUKAAN SEMULA DINANTIKAN JEMAAH, PENDUDUK TAMPINES

Para jemaah yang ditemui rata-rata mengalu-alukan dan tidak sabar menantikan pembukaan semula Masjid Darul Ghufran.

"Ini adalah satu berita yang sangat baik. Saya sudah menunggu lebih dua tahun untuk pembukaan masjid yang baru ini, insya-Allah jemaah lebih suka dan lebih selesa menunaikan ibadah, puasa dan solat," kata jemaah bernama Encik Osman Md Salleh.

Seorang penduduk estet Tampines, Encik Md Kassim Ibrahim juga mengongsikan rasa syukur dengan bangunan baru Masjid Darul Ghufran. Ini menurutnya satu peningkatan, memandangkan apabila beliau mula tinggal di kawasan itu lebih 30 tahun lalu, belum ada masjid lagi bagi penduduk di sana.

Seorang kakitangan masjid Encik Md Nassier Sarudin berkongsi: "Kita mengharapkan masjid baru yang besar yang dapat mengisikan sebanyak jemaah yang mungkin."

"Saya berharap masjid baru ini boleh mengambil lebih ramai jemaah untuk memberi lebih banyak ruang bagi lebih ramai jemaah bersolat terawih bersama kami dan juga solat Aidilfitri. Jadi saya berharap ia akan memberikan manfaat kepada masyarakat kita," tambah Encik Md Ikhlaas Rohaizat.

Bagi memudahkan orang ramai di sana yang ingin menunaikan solat terawih, terdapat tujuh ruang terawih di dewan serbaguna dan kolong blok yang terletak di sekitar Tampines dan satu lagi di Simei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan