Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 warga baru, penduduk bukan Muslim dalami budaya, amalan agama masyarakat Melayu/Islam

Memupuk persefahaman antara kaum semasa waktu aman penting dalam mempersiapkan masyarakat Singapura untuk waktu-waktu krisis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memupuk persefahaman antara kaum semasa waktu aman penting dalam mempersiapkan masyarakat Singapura untuk waktu-waktu krisis.

Demikian ditekankan Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, di acara Perlumbaan Teroka Budaya di Wisma Geylang Serai, malam semalam (20 Mei).

Dalam acara tersebut, sekitar 100 pendatang atau warga baru serta para penduduk bukan Melayu cuba mengenali dan mendalami budaya, amalan agama, makanan dan sejarah Melayu/Islam melalui wadah interaktif dan santai.

WARGA BARU PAKAI BAJU KURUNG, BAJU MELAYU

Sekali pandang, kegiatan yang diadakan seolah-olah seperti satu perjumpaan Hari Raya kerana para pesertanya mengenakan baju kurung atau baju Melayu. Malah ada yang lengkap dengan tudung kepala dan hijab.

Namun mereka sebenarnya bukan orang Melayu atau Islam. Sebaliknya merupakan para warga baru seperti dari Filipina dan anggota masyarakat tempatan bukan Melayu seperti bangsa Cina.

Mereka merupakan antara 99 peserta Perlumbaan Teroka Budaya, yang buat pertama kalinya berlangsung di Wisma Geylang Serai semalam.

(Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAMediacorp)

Ada yang begitu ghairah untuk 'menghidupkan' suasana hingga sanggup membeli pakaian baju Melayu di bazar Geylang Serai khas untuk acara ini.

"Saya ke sini dengan kemeja-T dan seluar pendek. Namun apabila melihat orang lain memakai kostum tradisional, saya pun teringin memakainya. Terus saya membelinya di bawah," kata Anthony Garcia, 33 tahun, warga baru asal Filipina yang sudah bekerja di Singapura selama sembilan tahun.

Para peserta ditugaskan meneroka kawasan Geylang Serai untuk meminta bantuan pengunjung dan pegerai dalam menjawab pelbagai soalan mengenai budaya Melayu dan bulan Ramadan.

"Kami pelajari beberapa perkara baru, kerana mereka berkongsi informasi tanpa perlu kami bertanya," rakyat Singapura berbangsa India, Kalaivani Elangovan, memberitahu BERITAMediacorp.

"Saya di sini selama sembilan tahun, jadi sudah menjadi tradisi. Jadi agak memeranjatkan, saya dapat pelajari banyak lagi melalui soalan-soalan dalam perlumbaan ini," tambah Anthony.

PESERTA DIPELAWA BERBUKA PUASA BERSAMA

Seorang lagi peserta bukan Muslim, Mary Khrisna Q Vicente, berkata: "Ia membuat kami lebih memahami rakan Melayu kami. Contohnya, sepanjang perlumbaan kami memakai ini dan kini dapat merasakan betapa panasnya memakainya."

Menurut Dr Fatimah Lateef, belajar melalui pengalaman seperti ini amat berkesan dalam mengeratkan hubungan dan memupuk persefahaman.

(Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAMediacorp)

Ini tambah beliau, penting bagi mempersiapkan masyarakat bagi cabaran hari muka.

"Di masa-masa keamanan, kita harus berkongsi sama, berbual-bual, berdialog, dapatkan mereka faham tentang apakah yang kita lakukan jadi mereka tidak ada salah sangka. Dan kalau kita ada krisis yang kita dapati, bila-bila sekalipun, jadi mereka-mereka ini dari kaum-kaum, tidak akan ada syak wasangka tentang masyarakat Melayu Islam kita," Dr Fatimah Lateef memberitahu BERITAMediacorp.

Demi 'melengkapkan' pengalaman mereka, di akhir acara para peserta dijemput berbuka puasa sambil menikmati persembahan tradisional, bersama rakan-rakan baru.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan