Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan suami isteri berbasikal ke Makkah tiba di Arab Saudi; bakal sambut Aidilfitri di Masjidil Haram

Selepas memulakan pengembaraan berbasikal dari Masjid Negara Malaysia lebih setahun lalu, pasangan Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie kini sudahpun tiba di Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan suami isteri berbasikal ke Makkah tiba di Arab Saudi; bakal sambut Aidilfitri di Masjidil Haram

Ahmad Mohd Isa bersama isteri Noradilah Mohd Sapie. (Gambar: Kembara Memburu Hikmah/Facebook).

Diterbitkan : 18 Jun 2017 10:48PM Dikemas Kini : 18 Jun 2017 10:57PM

KUALA LUMPUR: Selepas memulakan pengembaraan berbasikal dari Masjid Negara Malaysia lebih setahun lalu, pasangan Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie kini sudahpun tiba di Arab Saudi.

Mereka sedang dalam perjalanan ke Makkah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Masjidil Haram dan menunaikan ibadah umrah sekaligus menandakan berakhirnya ekspedisi Kembara Memburu Hikmah (KMH) yang dimulakan pada 8 April 2016.

Menurut Encik Ahmad, menjalani ibadah umrah bersama-sama ibu bapa dan mentuanya serta kakitangan KMH bakal menjadi kemuncak ekspedisi mereka.

"Ibu bapa kami dijadual sampai di Makkah pada 22 Jun, Insya Allah, mereka akan diiringi keluarga KMH yang setia bersama kami sejak dari mula pengembaraan ini sehingga selesai, beliau memberitahu Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Encik Ahmad, 29 tahun berkata beliau dan isterinya sudah mengembara sejauh 12,000 kilometer, meliputi Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran dan Amiriah Arab Bersatu.

"Disebabkan perbezaan geografi setiap negara, kadang-kala kami terpaksa berbasikal meredahi lorong-lorong yang sempit, berbatu-batan, berlumpur, berbukit dan jalan yang berliku-liku dan dalam masa yang sama perlu sentiasa berhati-hati di jalan raya, lebih-lebih lagi di bandar-bandar yang sesak.

"Di daerah tertentu di mana kami tidak dibenarkan berbasikal atas sebab keselamatan, kami terpaksa menaiki bas, lori atau kereta," kata beliau.

Sementara itu, isteri beliau, Cik Noradilah, 30 tahun mengesahkan detik-detik sukar dan menyeksakan semasa berbasikal ke dataran tinggi Deosai di Pakistan di mana mereka terputus hubungan dengan dunia luar selama seminggu kerana tiada isyarat internet.

"Kami berada di salah satu gunung di sana dan saya muntah-muntah, mabuk serta mengalami cirit-birit selama beberapa hari. Waktu malam lebih panjang selama 14 jam dengan suhunya 17 darjah selsius.

"Namun dengan bantuan para penduduk kampung, saya dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan dan dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU) selama tiga hari kerana saya mengalami masalah kekurangan air dalam tubuh," kata beliau.

Selain menjalankan misi kemanusiaan di setiap negara yang dikunjungi, pasangan itu turut mengumpulkan maklumat tentang sejarah, budaya dan masyarakat Muslim di negara-negara itu.

Semasa ekspedisi KMH, pasangan itu diiringi Mohd Nur Aiman Mohd Zaid, 28 tahun, and Amirul Ariff Abd Wahab, 29 tahun, yang merakam pengembaraan mereka.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan