Ramadan & Syawal 2017

Images
  • Solat
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP/JUNI KRISWANTO)

Muslim yang baik hidupkan nilai keharmonian antara kaum; hormat budaya setempat

SINGAPURA: Umat Islam di daerah nusantara Melayu tidak seharusnya merasakan bahawa mereka tidak dapat menjadi Muslim yang sempurna sekiranya mereka tidak meninggalkan sama sekali adat resam budaya mereka atau kerana mereka jauh daripada tanah suci Makkah dan Madinah.

Ini kerana prinsip agama kita bertujuan antara lain untuk membolehkan seorang Muslim untuk dapat merasa yakin dengan keimanannya dan pada masa yang sama selesa untuk kekal dengan budayanya yang selari dengan nilai Islam.

Ini ditekankan oleh Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa menyampaikan Khutbah Aidilfitri bertajuk "Islam Menghormati Budaya Setempat" di Masjid Al-Mukminin pagi ini.

Dalam khutbah itu, Mufti menekankan bahawa seseorang itu boleh hidup sebagai Muslim yang baik Islamnya di mana saja beliau berada dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat setempat.

Mufti turut mengingatkan jika seorang Muslim gagal memahaminya, ia boleh mendorongnya memaksakan suatu adat yang asing kepada kebiasaam serta budaya masyarakat yang sedia ada.

Lebih bermasalah lagi jika seorang Muslim itu menyangka yang asing itu lebih Islamik daripada apa yang kita ada.

"Sikap yang sedemikian biasanya timbul daripada faktor cepat terpesona dengan sesuatu yang baru dan kelihatan seperti luar daripada kebiasaan. Sebagai contoh, masyarakat Singapura telah membangunkan budaya kerja yang berpaksikan produktiviti, ketinggian mutu, sehinggakan dengan kurniaan Allah, kita telah berjaya membangunkan sebuah negara yang dikagumi dunia. Pastinya budaya kerja seperti ini, yang meluas di dalam masyarakat Singapura, selari dengan ajaran Nabi s.a.w.

"Ia juga selari dengan budaya masyarakat kita yang mendorong sikap bergotong-royong, pada segenap aspek kehidupan."  

Mufti juga menasihatkan masyarakat Islam di Singapura supaya berwaspada terhadap anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dengan diayah dan seruan yang tidak pasti sumbernya. Apatah lagi di zaman teknologi masa kini dan penggunaan media sosial yang tersebar luas. Terdapat banyak individu yang gigih berusaha memesongkan pemahaman agama jauh dari nilai rahmah dan kebaikan yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Tanpa pemahaman yang baik lagi sempurna, kita mungkin terpesong. Ada pula yang termakan dengan seruan untuk menyertai konflik, peperangan dan keganasan. Perbuatan sedemikian mencemarkan kemurnian agama kita. Ia merosakkan imej agama dan masyarakat dan mengelirukan umat manusia terhadap Islam. Segala kebaikan yang telah kita usahakan sebagai masyarakat Islam boleh sahaja terjejas dengan perbuatan mereka yang inginkan kekecohan dan keganasan."

Turut menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Al-Mukminin ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim, Presiden MUIS Haji Mohammad Alami Musa dan Ketua Eksekutifnya Haji Abdul Razak Maricar. 

- BERITAMediacorp/nk

Top