Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Fatris Bakaram: 'Islam tidak pernah menetapkan cara tertentu untuk menyambut Lebaran'

Ribuan anggota masyarakat Melayu/Islam tempatan memulakan hari pertama Syawal hari ini dengan mengerjakan solat Aidilfitri di masjid-masjid serata negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jun 2017 10:04PM Dikemas Kini : 25 Jun 2017 11:12PM

SINGAPURA: Ribuan anggota masyarakat Melayu/Islam tempatan memulakan hari pertama Syawal hari ini dengan mengerjakan solat Aidilfitri di masjid-masjid serata negara.

Dalam khutbah Hari Raya yang disampaikan ke seluruh negara hari ini, Mufti Negara Dr Fatris Bakaram mengajak masyarakat Islam supaya jangan mudah terpesona dengan apa sahaja yang datang dari luar. Islam tegas beliau, tidak bertambah kukuh dengan sekadar berpakaian mengikut gaya orang lain.

Sejak selepas subuh tadi, anggota masyarakat Islam berduyun-duyun menuju ke masjid-masjid dengan pakaian penuh berwarna warni.

Masjid Al-Mukminin mendapat perhatian istimewa kerana solat Aidilfitri di sini dipimpin oleh Mufti Negara.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim juga menyertai para jemaahnya di sini untuk sama-sama bertakbir.

Dalam khutbah Aidilfitri kemudian, Mufti Dr Fatris Bakaram menarik perhatian betapa Islam menerima kepelbagaian dan Islam tidak pernah menetapkan cara tertentu untuk menyambut Lebaran, asalkan ia menepati panduan asas agama.

Kaum Arab, Melayu, India dan juga Cina kata beliau, mempunyai adat dan budayanya masing-masing, dan tidak bermakna "kita perlu meninggalkan adat resam yang baik yang selari dengan nilai Islam".

"Umat Islam di daerah nusantara Melayu sebagai contoh tidak perlu merasakan bahawa mereka tidak menjadi yang sempurna sekiranya mereka tidak meninggalkan sama sekali adat resam budaya mereka, atau kerana mereka jauh daripada tanah suci Makkah dan Madinah.

"Sejarah membuktikan bahawa ketika Islam tiba di rantau ini, Islam tidak menghapuskan budaya masyarakat tempatan selagi mana ia selari dengan agama," Dr Mohamed Fatris Bakaram, Mufti Negara.

Khutbah yang disampaikan ke serata negara ini menambah, mendekatkan diri kepada agama tidak semestinya dimanifestasi secara cetek melalui pakaian atau bahasa budaya luar sahaja.

"Yang akan memberikan kemuliaan kepada agama dan masyarakat kita ialah kefahaman, penghayatan, ilmu, kesungguhan, keperibadian, matlamat yang jelas, dan kesatuan. Inilah nilai-nilai yang seharusnya menjadi budaya dan identiti kita," tambah Mufti.

Dalam pada itu beliau mengingatkan supaya masyarakat berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi luar yang tidak dapat dipastikan asal-usulnya, kerana adanya anasir-anasir di luar sana yang sedang giat untuk memesongkan fahaman umat Islam ke arah konflik dan keganasan.

"Saudaraku, marilah sama-sama kita memainkan peranan menjaga kemurnian agama. Marilah kita hidupkan nilai rahmah yang kita semai sepanjang Ramadan di dalam seluruh kehidupan kita. Marilah kita memelihara kesucian agama kita. Marilah kita merubah tanggapan orang terhadap agama yang kita cintai ini. Jadikanlah ia tanggapan positif."

Berkongsi dengan pihak media selepas sembahyang Aidilfitri, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim, menekankan pendirian yang sama, dan menyeru masyarakat Singapura secara amnya untuk sama-sama meneguhkan keharmonian silang masyarakat yang dibina selama ini.

"Ini bukan sahaja tanggungjawab rakyat Melayu Islam, tetapi tanggungjawab semua rakyat Singapura untuk kita menentukan bahawa apa yang kita capai selama 52 tahun, dijaga dengan baik.

"Keharmonian kaum di Singapura bukan suatu yang ditentukan, tetapi dikerjakan oleh para perintis kita dan juga pemimpin-pemimpin kita. Jadi kita ada tanggunjawab untuk menentukan bahawa unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan, kita dapat atasi secepat mungkin," Dr Yaacob Ibrahim, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan