Ramadan & Syawal 2017

Images
  • jamiyah curtain'
    Seorang penerima daripada Projek Langsir Amal anjuran Jamiyah.

Jamiyah beri langsir Raya kepada 50 keluarga berpendapatan rendah, salah satu program sambutan ulang tahun ke-85

BERITAMediacorp: Seringkali bantuan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadhan dan Syawal, terdiri dari keperluan-keperluan asas seperti minyak dan beras, ataupun habuan wang.

Namun, dalam menyambut ulang tahun yang ke-85 pada tahun ini, Jamiyah menggunakan pendekatan yang berbeza dengan menjalankan program 'Curtain for the Needy', yang memberikan langsir-langsir kepada 50 keluarga berpendapatan rendah, khususnya bagi golongan tua yang tinggal di kawasan Eunos Crescent.

WARNA-WARNI LANGSIR BARU MENYERIKAN HARI RAYA

Langsir-langsir yang diberikan kepada 50 keluarga memerlukan merupakan satu usaha sama beberapa badan akar umbi, dalam mengenal pasti keluarga-keluarga yang berpendatan rendah.

Projek langsir amal itu dimulakan dengan lawatan ke rumah penerima bantuan, bagi mengambil setiap ukuran tingkap di rumah mereka. Langsir-langsir- langsir itu kemudiannya dijahit oleh relawan Jamiyah sendiri dan beberapa anggota kerja Darul Syifa dan Darul Takrim.


"Lazimnya, setiap Hari Raya masyarakat kita menukar perabot rumah, pakaian, dan langsir baru, namun sesetengah golongan mungkin tidak mempunyai kemudahan atau sumber yang diperlukan untuk melakukannya. Disebabkan ini kami ingin memberikan mereka langsir, dengan mengambil ukuran bagi setiap rumah untuk disesuaikan dengan tingkap mereka," kata Naib Presiden Jamiyah, Dr. H.M. Saleem.

Bagi seorang penerima bantuan tersebut, Cik Sae-yah Abdul Rahim, langsir yang diberikan itu sangat bermakna kepadanya, kerana ia merupakan 'kali pertama' beliau menukar langsir rumah sejak sekian lama.

"Terima kasih, syukur Alhamdulillah saya rasa sangat gembira dapat langsir daripada Jamiyah, tahun ini baru dapat tukar langsir. Kalau tidak saya memang tidak pernah tukar, syukur Alhamdulillah saya gembira sangat."


PROGRAM-PROGRAM BANTUAN BARU SEMPENA ULANG TAHUN KE-85

Selain daripada menjalankan projek 'Curtain for the Needy', Jamiyah turut menganjurkan beberapa program lain bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-85 pada tahun ini.

Di antaranya termasuk projek bank makanan, di mana para penderma boleh menyumbang makanan untuk diagihkan kepada para penerima bantuan Jamiyah.

Baru-baru ini, Jamiyah turut melancarkan projek "Meat for the Needy" dengan memberikan daging Australia seberat tiga kilogram kepada 1,000 keluarga.

'LEBIH BANYAK BANTUAN DIBERIKAN, LEBIH USAHA DALAM DEKATI RELAWAN'

Encik Saleem menambah dalam jangka masa pendek ini Jamiyah ingin memastikan lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan di Singapura.

"Bagi memastikan kami boleh menolong lebih banyak keluarga yang memerlukan, kami memerlukan lebih banyak relawan untuk tampil ke hadapan membantu kami, untuk mendapatkan jumlah relawan yang baik, kami akan cuba untuk dekati mereka," tambahnya.

Beliau turut berharap hubungan di antara relawan, penderma dan mereka yang menerima bantuan dapat dieratkan menerusi program-program yang dianjurkan. 

- BERITAMediacorp/ru

Top