Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Generasi Millennial Muslim 'pengaruhi' trend perniagaan musim Raya

Dengan dua-pertiga penduduk Islam global berusia di bawah 30 tahun, mereka dilihat sebagai kuasa ekonomi utama pada abad ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang Hari Raya, perniagaan-perniagaan bersaing untuk menarik perhatian golongan Generasi Millennial Muslim.

Dengan dua-pertiga penduduk Islam global berusia di bawah 30 tahun, mereka dilihat sebagai kuasa ekonomi utama pada abad ini.

BERITAMediacorp meninjau trend pembelian mereka di Singapura dan Malaysia.

TREND 'INFLUENCERS' PENGARUHI PILIHAN PEMBELIAN

Hampir 700 helai tudung Naelofar dijual dalam hanya sejam, melalui satu wadah penjualan online bulan lalu.

Fenomena ini menggambarkan kemunculan individu-individu berpengaruh atau 'influencers' di media sosial yang mempunyai pengaruh kuat ke atas pilihan pembelian pengguna lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya.

Jelas, sebahagian besar daripada mereka golongan muda atau 'generasi millennial' berusia 20an hingga awal 30an tahun.

Pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd Noor, berkata: "Era sekarang dah berubah kerana dulu kami berniaga ada kedai fizikal saja tetapi sekarang kita ada media sosial, platform berbeza yang lebih mudah untuk pengguna dan pengasas atau pun peniaga dan seperti saya.

"Ia satu bonus kerana saya berada dalam industri seni, secara tak langsung bila berjumpa dengan peminat atau pun dalam satu acara yang berkaitan dengan kerjaya, secara tidak langsung saya boleh berinteraksi dengan pelanggan saya."

HAMPIR SEPARUH PELANGGAN BERUSIA 25-35 TAHUN

Dengan kemunculan generasi millennial Muslim atau 'Generasi M', banyak jenama bersaing untuk merebut perhatian mereka seperti dilihat dalam banyak kempen pemasaran Hari Raya.

Malah, syarikat pakaian online Zalora mendedahkan hampir separuh atau 40% pelanggannya berusia antara 25 hingga 35 tahun.

"Selalunya saya beli dari online kerana ia lebih mudah untuk saya dan saya juga boleh dapat lihat semua koleksi yang ada pada tahun ini. Saya juga boleh tahu apakah trend-trend yang ada pada tahun ini jadi saya dapat lihat semuanya jadi saya akan memilih," kata seorang pelanggan Camira Asrori.

Seperti millennial lain, “Generasi M” terbuka kepada trend global dan teknologi, sedang mereka berpegang pada identiti Muslim mereka.

Ini terserlah dengan peruncit-peruncit fesyen termasuk dari barat yang menyedari peluang pasaran yang ada, dengan menghasilkan rekaan pakaian sopan untuk golongan ini.

"Mengikut kajian kami, 90% daripada mereka percaya bahawa agama ialah sesuatu faktor yang penting dalam pilihan pembelian mereka. Mereka percaya bahawa agama dan kemodenan mesti dan boleh seiring dan ini ialah sesuatu yang mereka tidak akan berkompromi," ujar Pengarah Bersekutu Ogilvy Q Akashah.

Umumnya, tahap kemampuan lebih tinggi meningkatkan kuasa pembelian mereka.

Namun dengan situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang, generasi millennial yang kami temui di Malaysia dan Singapura berkata, perbelanjaan mereka dikurangkan untuk Hari Raya tahun ini.

Generasi millennial yang ditemui berkata jenama tidak semestinya menjadi faktor utama, dengan ciri-ciri seperti mutu dan ketulenan turut penting dalam mereka membuat pertimbangan dalam pembelian. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan