Ramadan & Syawal 2017

Images
  • Camira Rina
    Rina Tahar (kiri), Camira Asrori (kanan). 

Camira Asrori, Rina Tahar beri nafas baru kepada kain songket

SINGAPURA: Setiap menjelangnya Syawal, kain tradisional seperti songket antara yang mendapat tumpuan khusus masyarakat Melayu/Islam.

Namun adakah fabrik itu masih serasi dengan citarasa masyarakat yang berubah seiring aliran masa?

Wartawan BERITAMediacorp menemui dua pereka fesyen setempat yang cuba menggayakan kain ini dalam bentuk kontemporari.

Tenunan songket yang turut diserlahkan dengan motif moden dan kontemporari.

Demikian yang ingin ditonjolkan Camira Asrori, lulusan Kolej Seni LASALLE.

Walaupun baru menjejaki persada fesyen, Camira sudahpun dicalonkan bagi anugerah imej dan dandanan di Pesta Perdana bagi kedua-dua siri drama 'Interns'.

Baru-baru ini, Camira sempat menghasilkan sebuah koleksi songket kontemporari, bagi menjadikannya lebih menarik dan diguna pakai generasi kini.

"Saya selalu mengemaskinikan trend-trend fesyen oleh pereka fesyen, jadi dari situ
saya sedar bahawa pereka fesyen tidak lagi menggunakan kain tradisional seperti songket dan batik untuk rekaan mereka.

"Jadi dari situ, saya tidak mahu kain tradisional seperti songket dan batik pupus. Saya mahu kain-kain ini kekal relevan," Cik Camira memberitahu BERITAMediacorp.

Walaupun berbentuk busana kontemporari seperti kimono dan skirt, ilham beliau sebenarnya datang dari masa silam.

"Saya menukil inspirasi daripada Allahyarhamah bintang filem 60an, Saloma, kerana saya amat mengagumi pakaian beliau dan juga fesyen yang beliau selalu pakai," tambah Cik Camira.

Bagi pemilik butik 'Sufyaa', Rina Tahar pula, inspirasi beliau dalam memberi nafas baru kepada kain songket, datang daripada anaknya yang berusia sembilan tahun.

"Saya tidak mempunyai sebarang fesyen inspirasi fesyen tetapi saya kerap membuat pakaian untuk anak saya yang berusia 9 tahun dan amat sukar untuk mencari pakaian songket untuk dia. Saya mendapati bahawa dia tidak begitu gemar dengan pakaian tradisional jadi saya mengambil peluang ini untuk membuat desain yang lebih seronok dan lebih sesuai untuk dia," Cik Rina memberitahu BERITAMediacorp.

Bilangan pelanggan muda yang datang ke kedainya dengan idea-idea baru untuk menggayakan fabrik songket, juga mendorong beliau terus menghasilkan gaya pakaian moden yang relevan dengan citarasa mereka.

"Selanjutnya adalah untuk menebusi pasaran antarabangsa sebab pada bulan Syawal dan Ramadan ini saya mendapat tempahan sejauh dari Amerika dan Australia dan saya mendapati bahawa lebih banyak lagi permintaan dari luar negara. Jadi mungkin buat masa yang terdekat akan datang ini saya akan cuba membawa songket ke merata dunia," tambah Cik Rina.

"Tentu sekali saya rasa ia akan terus berkembang kerana saya rasa golongan muda zaman ini lebih terbuka kepada idea-idea yang baru dan idea-idea yang relevan di zaman yangan idea-idea yang relevan di zaman yang moden," ujar Cik Camira.

Walaupun berilhamkan dari sumber yang berbeza, kedua-dua Cik Camira dan Cik Rina menyimpan harapan yang sama tinggi bagi memartabatkan kain warisan turun-temurun ini, agar ia tidak ditelan zaman. 

- BERITAMediacorp/nk

Top