Ramadan & Syawal 2017

Images
  • amrin prison (1)
    Anggota Parlimen Amrin Amin memberi ucapan kepada para pesalah dadah semasa satu perjumpaan Hari Raya di Penjara Changi. (Gambar: Facebook/ Amrin Amin)

Amrin Amin Hari Raya dengan 50 pesalah dadah Penjara Changi, jamin "masyarakat tidak akan lupakan mereka"

SINGAPURA: Golongan pesalah dadah tidak boleh berputus asa dalam menjalani proses pemulihan, walaupun ia dipenuhi "banyak cabaran dan rintangan".

Ini kerana masyarakat "tidak akan melupakan mereka" dan bersedia mendampingi mereka dalam mereka menghadapi halangan.

Seruan dan jaminan tersebut disuarakan Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Encik Amrin Amin semasa beliau bertemu dengan sekitar 50 pesalah dadah dalam satu acara perjumpaan Hari Raya di Penjara Changi, hari ini (13 Jul).

RINDU ANAK; TIDAK DAPAT BERPELUKAN, SALAM AYAH DAN IBU


Bagi 'Ahmad' dan 'Abu', (bukan nama sebenar), ini merupakan kali kedua mereka ditahan di dalam pusat pemulihan dadah.

Namun pengalaman mereka di pusat pemulihan kali ini lebih perit, kerana terpaksa berjauhan dari keluarga pada Hari Raya.

"Rindu keluarga, anak-anak, terutama sekali suasana Hari Raya di luar sana," kata Abu.

"Sebab riuh rendah bukan, di pagi Raya? Selalunya hendak bermaaf-maafan, tetapi apa yang kita tak dapat adalah bersentuhan untuk berpelukan, salam mak, salam bapa - itu yang kita rindu nak buat," kata Ahmad.

Mereka adalah antara 50 pesalah di pusat pemulihan dadah yang menghadiri sesi perjumpaan Hari Raya Penjara Changi hari ini.

Hari ini sedikit istimewa untuk mereka kerana Encik Amrin Amin, turut datang menjenguk mereka. Beliau disertai para pegawai dari Masjid Darul Ghufran, Masjid En-Naeem dan Angkatan Karyawan Islam (AMP).

Dalam perkongsiannya, Encik Amrin menghulurkan kata-kata perangsang kepada para pesalah itu supaya memastikan mereka berjaya menjalani proses pemulihan.

Encik Amrin juga memberi jaminan bahawa mereka akan disokong oleh badan-badan masyarakat melalui pelbagai program.

"Perjalanan itu sukar, dan banyak cabaran dan rintangan, tetapi harus mereka kuatkan tekad. Dan ini perlukan galakan dan dorongan dari badan-badan Melayu/Islam, pemerintah dan juga keluarga. Dan kami juga ingin mengingatkan yang kami mahu menjadi keluarga kedua mereka jika mereka menghadapi masalah di masa hadapan," ujar beliau kepada pihak media.

PENJARA KERJA RAPAT DENGAN MASJID, AMP


(Gambar-gambar: Facebook/ Amrin Amin)

Seiring dengan matlamat tersebut, pihak penjara sedang bekerjasama rapat dengan badan-badan seperti masjid-masjid dan badan-badan bantu diri dalam menganjurkan program-program sokongan.

Sejak tiga bulan lalu, AMP sudahpun memulakan program khusus bagi pesalah guna dadah dan ahli keluarga mereka.

Masjid Darul Ghufran pula menganjurkan untuk mereka sesi kaunseling mingguan, kelas agama serta cara-cara menangani pelbagai cabaran hidup dalam keluarga dan masyarakat, apabila mereka dibebaskan nanti.

Pengerusi Masjid Darul Ghufran Mirza Abdul Matin berkata: "Alhamdulillah sejauh ini penerimaannya amat baik. Dan satu harapan mereka adalah bagaimana masjid-masjid dapat berperanan untuk membantu mereka setelah mereka pulang ke pangkuan keluarga."

Walaupun para tahanan itu belum lagi keluar penjara, Encik Amrin sudahpun menghulurkan satu tawaran buat mereka, untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Encik Amrin menjemput pesalah-pesalah itu supaya menyertainya dalam menyebarkan mesej kempen 'Dadah itu Haram', setelah mereka dibebaskan nanti.

"Saya gembira yang kempen ini menerima sokongan. Juga, saya gembira apabila saya menjemput mereka untuk sama-sama berganding bahu untuk menjayakan kempen ini, mereka dengan senang menerima undangan ini dan saya mengalu-alukan sikap bersemangat mereka.

"Jadi saya harap ini adalah kali terakhir mereka datang ke sini. Dan saya telah memberitahu mereka: 'Jangan kembali lagi, melainkan anda mahu jadi sukarelawan'," kongsi Encik Amrin tentang sesi pertemuan beliau dengan para pesalah dadah itu. 

- BERITAMediacorp/ru

Top