Ramadan & Syawal 2017

Images
  • haji makkah 2
    Para jemaah mengelilingi Kaabah. (Gambar fail: AP/Mosa'ab Elshamy)

6.75 juta jemaah! Umrah Ramadan 2017 cecah paras rekod! 876,000 jemaah datang dari Indonesia

MADINAH: Sebuah laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh Kementerian Haji dan Umrah mendedahkan kenaikan jumlah jemaah pada tahun ini, meskipun keadaan ekonomi dan keselamatan membelenggu beberapa negara Arab.

Menurut laporan berkenaan, seperti ditukil Arab News, jumlah visa yang diberikan kepada para jemaah pada tahun ini mencecah 6.75 juta, berbanding 6.39 juta tahun lalu.

Menteri Haji dan Umrah Mohammed Saleh bin Taher Benten berkata jumlah jemaah dan pengunjung yang sedang meningkat ini berlaku selaras dengan matlamat Wawasan 2030.

Menurut laporan Arab News, penolong setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Mohammed bin Hamed Al-Klaiby mengesahkan kadar penginapan tinggi hotel sewaktu musim umrah yang sedang berlangsung, dengan menyatakan kenaikan kadar penginapan di hotel lima bintang adalah sebanyak 113 peratus, manakala kadar penginapan di hotel empat bintang naik sebanyak 71.2 peratus.

Laporan tersebut juga merujuk bahawa keadaan ekonomi dan keselamatan menyumbang kepada penurunan jemaah umrah dari beberapa negara.

Bagaimanapun, usaha yang dijalankan oleh kementerian tersebut bagi menyokong usaha beberapa syarikat umrah mengimbangi kekurangan jumlah jemaah yang berasal dari Mesir, Turki dan Jordan. Kenaikan jumlah visa umrah juga datang dari beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Norway.

Laporan berkenaan, seperti dipetik Arab News, turut mendedahkan bahawa warga Pakistan menduduki senarai jemaah paling ramai, dengan seramai 1,446,284 jemaah, naik 45 peratus berbanding tahun lalu.

Warga Indonesia berada di tangga kedua dengan kenaikan sebanyak 25 peratus, dengan 875,958 jemaah, yang kemudian disusuli dengan warga India seramai 524,604 jemaah.

Para jemaah dari Bangladesh adalah seramai 80,977, dan sebanyak 264,878 visa umrah juga diberikan kepada warga Iraq, naik 58 peratus.

- Agensi berita/im

Top