Ramadan & Syawal 2017

Images
  • changi prison
    Penjara Changi. (Gambar: Khidmat Penjara Singapura)

15 kali Hari Raya dalam penjara & mungkin digantung - bekas banduan ini kongsi kenapa dia berubah

SINGAPURA: Bayangkan, 15 tahun dalam penjara. Suasana Aidilfitri di dalam penjara membuka mata dan menyentak perasaan beliau. Kerinduan yang membuak-buak kepada keluarga dan semangat persaudaraan yang hilang antara sesama Muslim di sana membulatkan tekad beliau.

Setiap kali selepas bersolat dan bertakbir beramai-ramai pada pagi Hari Raya, Encik Abdul*, 46 tahun berasa kecewa dengan sikap para banduan Muslim.

Encik Abdul, ialah seorang bekas banduan yang dipenjarakan atas kesalahan dadah.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Encik Abdul, yang sebelum ini keluar masuk penjara sebanyak enam kali berkata kebanyakan daripada banduan merindui keluarga mereka setiap kali Syawal tiba.

"99 peratus fikir keluarga. Malam raya selepas takbir, semua tak berbual. Semua duduk di sudut masing-masing, buat hal sendiri, kita tengok pun boleh tahu," kata Encik Abdul.

6 KALI KELUAR MASUK PENJARA - BANDUAN PUAK-PUAK PADA HARI RAYA

Encik Abdul pertama kali terjebak dengan dadah pada usia 16 tahun. Pengalaman pahit kehidupan yang dilalui beliau sepanjang membesar menyebabkan beliau memilih jalan yang salah.

"Keluarga angkat saya pun banyak masalah jadi saya tak suka duduk rumah. Secara psikologi, apa yang terjadi di rumah menjejas pemikiran saya. Saya memandang diri saya sebagai mangsa keadaan jadi saya pilih buat perkara-perkara yang tidak berfaedah ini," menurut Encik Abdul yang pertama kali ditangkap pada tahun 1988.

Sejak itu, beliau sudah enam kali keluar masuk penjara, keseluruhannya selama 18 tahun. Ini bermakna Encik Abdul sudah berhari raya sebanyak 15 kali di dalam penjara.

"Sedih memang sedih. Saya sedih sebab saya ada adik-beradik kandung. Sudah berapa tahun saya tak dapat berhubungan dengan mereka. Jadi saya sedih.

"Tapi yang menambah kesedihan saya sewaktu di dalam, bila saya lihat (para banduan) seperti berpuak-puak pada Hari Raya," luah Encik Abdul, sambil menambah bagi dirinya "Hari Raya adalah masa umat Islam bersatu".

Encik Abdul berkata: "Kita sembahyang sama-sama, tapi saf pertama puak ini, saf kedua pula puak ini. Dalam Islam kan kita bersaudara. Itu yang buat saya betul-betul sedih."

Encik Abdul memberitahu BERITAMediacorp, sebelum ini beliau terjebak dengan enam jenis dadah termasuk heroin, ganja, epithamine atau 'ice'.

TITIK TOLAK PERUBAHAN DIRI

Kali terakhir beliau ditangkap pada tahun 2010, menurut Encik Abdul, benar-benar menjadi titik tolak perubahan dalam dirinya.

Berdepan dengan kemungkinan dijatuhi hukuman gantung pada ketika itu, Encik Abdul mula menyerah diri beliau sepenuhnya kepada Allah SWT.

"Satu hari, dalam bulan Ramadan saya sedang berpuasa, saya berniat 'Ya Allah kalau penghujung hidup aku sampai sini, aku redha. Tapi kalau betul kau nak beri aku peluang Ya Allah, ubahkanlah hati aku, kuatkan hati aku ya Allah'.

"Saya meluahkan segala isi hati kepada Allah, segala kelemahan saya, apa yang saya rasa selama ini, apa yang saya lalui dari kecil sampai besar. Saya tak tahu nak cakap dengan siapa lagi," tambah beliau.

Sejak itu, Encik Abdul mula merenung kembali masa silam beliau dan menyedari bahawa dadah yang dijual sebelum ini bukan setakat menjejas kehidupan beliau sendiri, malah juga merosakkan hidup orang lain.

"Saya fikir balik, saya jual dadah bukan setakat dosa saya dengan Allah saja. Ini dosa saya dengan manusia (lain). Saya dah jahanamkan hidup orang, keluarga orang. Maka, saya nak hentikan semua itu," kata Encik Abdul, membulatkan tekad beliau.

Encik Abdul dibebaskan pada bulan Januari 2015 dan kini sudah bebas dadah selama dua tahun.

"KUASA PEMIKIRAN AMAT PENTING"

Sejak bebas dadah dan setelah dirujuk kepada Pertubuhan Perusahaan Pemulihan Singapura (SCORE), Encik Abdul mendapat pekerjaan dalam bidang logistik di IKEA dan masih lagi bekerja sehingga sekarang.

Memberikan nasihat beliau kepada golongan lebih muda, Encik Abdul menegaskan bahawa dadah bukanlah alternatif untuk menyelesaikan masalah. Malahan ia hanya akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

"Kedua, perkara ini akan menjadi satu krisis kehidupan yang tidak dapat dikawal. Saya boleh jamin, kita tidak akan dapat mengawalnya. Masalahnya akan berlipat-ganda. Dadah boleh membunuh!"

"Remaja dari usia 12 tahun ke atas kita perlu jaga kegiatan mereka. Setiap individu perlu mainkan peranan masing-masing," Encik Abdul memberitahu BERITAMediacorp.

Mengulas lebih lanjut mengenai perubahan diri beliau, Encik Abdul berkata: "Kalau kita nak ubah diri kita, bukan daripada sekeliling kita. Kita kalau nak ubah diri kita, kita kena ubah fikiran kita."

Beliau menambah, minda mestilah sentiasa berfikiran positif.

"Kuasa pemikiran amat penting. Orang lain tak boleh ubah diri kita. Bila kita ambil dadah, sel-sel otak banyak yang mati. Keupayaan kita untuk berfikir tak kuat. Namun sebenarnya kita masih boleh berfikiran positif, hari-hari perlu fikir positif." 

(*Nama individu yang diwawancara BERITAMediacorp digantikan demi melindungi identiti sebenar mereka.)

- BERITAMediacorp/nk

Top