Ramadan & Syawal 2017

Images
  • amah tki
    Suasana meriah majlis Hari Raya seperti di majlis perkahwinan bagi para amah di Singapura.

1,200 amah sambut Hari Raya dalam majlis besar-besaran di kolong HDB di Pasir Ris

SINGAPURA: Ini mungkin antara perjumpaan Hari Raya terbesar di Singapura, tetapi bukan untuk rakyat Singapura.

Seramai 1,200 pekerja pembantu rumah dari Indonesia diundang berkumpul untuk menjamu selera dan bersilaturrahmi dalam satu majlis Lebaran di Pasir Ris petang tadi (23 Jul).

BESARNYA SEPERTI SEBUAH MAJLIS PERKAHWINAN

Sekali pandang, ia mungkin kelihatan seperti sebuah majlis perkahwinan di bawah blok HDB seperti lazimnya pada hujung minggu.

Mentelah lagi dengan meja dan kerusi mengisi kolong blok. Namun jika diamati dengan lebih dekat lagi, ternyata tiada pengantin di blok 578 Pasir Ris Street 51.

Sebaliknya yang ada ialah 1,200 orang amah atau pembantu rumah dari Indonesia yang bekerja di Singapura.

Mereka diraikan dalam satu majlis Perjumpaan Hari Raya oleh tauke syarikat penghantaran, Pos TKI, Encik Mohd Anwar Tahar.

"Tujuan saya ialah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong Jasa Kiriman Pos TKI dan ini juga menunjukkan yang kita tidak ada perbezaan antara majikan dan juga para tenaga kerja Indonesia di Singapura. Ini menunjukkan kita ini amatlah serumpun," kata Encik Anwar.

Yang pasti, syarikat TKI juga menambah, acara itu diadakan bagi mengenang kerja keras para pembantu Indonesia di negara ini.

AMAH JUGA BUAT PERSEMBAHAN

Selain juadah, acara itu juga menampilkan persembahan oleh para pembantu asing sendiri seperti tarian Hari Raya dan nasyid.

Ini juga merupakan satu wadah bagi mereka mengukuhkan tali persahabatan di kalangan sesama sendiri.

"Sangat senang dan merasa terima kasih sangat kepada Encik Anwar yang telah memberikan waktu dan tempat untuk silaturrahmi dengan teman-teman seluruh Indonesia kerana ada dari Jawa dan luar Jawa," kata seorang amah, Sorati.

Seorang lagi amah Nurida berkata: "Perasaan sungguh luar biasa. Ini adalah untuk kita yang jarang bertemu satu sama lain kerana kesibukan kita masing-masing tiap minggu. Ada yang ke masjid, ke kelas dan sebagainya. Dan kita juga boleh bersilaturahmi dengan Encik Anwar sekeluarga dan rakyat Singapura."

Acara yang masuk tahun ketiga itu diadakan selama hampir dua jam. 

- BERITAMediacorp/ru

Top