Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kucing mana paling bergaya dengan baju kurung/baju Melayu tahun ini? Ini dia…

Kucing manakah yang paling ‘hensem’ atau ‘jambu’ pada Hari Raya tahun ini? 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kucing manakah yang paling ‘hensem’ atau ‘jambu’ pada Hari Raya tahun ini? BERITAMediacorp meminta para pembaca mengirimkan gambar-gambar kucing mereka yang berbaju kurung dan berbaju Melayu pada Hari Raya.

Nampaknya, ramai juga yang menghantar gambar-gambar ‘anggota keluarga’ berkaki empat itu kepada pihak kami.

(Gambar: Norwati)

Antara kucing-kucing 'bergaya' pada Raya ini, Lulu dan Tiger. (Gambar: Norwati)

TREND KUCING ‘BERHIAS’ TERUS POPULAR

Trend kucing peliharaan turut ‘segak’ dan ‘anggun’ bergaya dengan pakaian Hari Raya, nampaknya terus popular pada Aidilfitri tahun ini.

Bahkan, selain dipakaikan baju Melayu lengkap dengan kain samping dan songkok, baju kurung mahupun dress, ada pula kucing yang memakai baju ‘Superman’ untuk menyambut tetamu!

Rata-rata, para pemilik kucing yang mengirimkan gambar-gambar kucing mereka itu kepada BERITAMediacorp, berkata mereka ingin kucing kesayangan mereka turut ‘berhari raya’ bersama mereka.

Memakaikan kucing pakaian istimewa pada Aidilfitri, kata mereka, dianggap sebagai salah satu cara untuk mereka menunjukkan kasih sayang kepada kucing peliharaan.

Ada pemilik yang sudah menganggap kucing itu sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri, justeru ingin haiwan peliharaan mereka berpakaian Hari Raya seperti anggota keluarga lain dan bergambar bersama.

Ada pula yang ingin ‘mencantikkan’ kucing mereka sempena menyambut tetamu, serta gemar memuat naik gambar-gambar kucing mereka itu ke lelaman media sosial.

KUCING PERTAMA – BJ & UJANG

Bj and Ujang. (Gambar: Nurul Jannah Abu)

Bj and Ujang. (Gambar: Nurul Jannah Abu)

Pasangan kucing betina dan jantan milik Cik Nurul Jannah Abu, yang diberi nama Bj dan Ujang, memakai baju merah sedondon tahun ini.

Bj tampak manis dengan dress merah berenda hitam, sementara Ujang mengenakan baju Melayu jenis cekak musang dengan kain samping.

Kata Cik Nurul Jannah, guru prasekolah berusia 25 tahun, beliau membeli pakaian untuk kedua-dua kucingnya daripada seorang rakannya yang menjahit pakaian untuk haiwan peliharaan. Beliau biasanya membelanjakan S$50 bagi pakaian untuk kedua-dua kucing.

“Oleh kerana semua anggota keluarga saya memakai pakaian tradisional Melayu pada Hari Raya, saya juga mahu kucing-kucing peliharaan saya turut ‘bergaya’.

“Kucing-kucing saya ini bukan setakat haiwan peliharaan bagi saya, tetapi sudah dianggap seperti keluarga saya sendiri. Jadi saya mahu melihat ia turut berpakaian Hari Raya dan meraikan perayaan ini bersama kami,” ujar Cik Nurul Jannah, yang sudah lima tahun memelihara Bj dan tiga tahun menjaga Ujang.

Menurutnya, Bj dan Ujang sebenarnya sudah biasa dipakaikan baju sejak kecil lagi.

KUCING KEDUA - BOBBOY

Bobboy. (Gambar: Nurul Huda Hassan)

Bobboy. (Gambar: Nurul Huda Hassan)

Kucing bernama Bobboy milik Cik Nurul Huda Hassan juga dipakaikan baju Melayu berwarna merah dengan kain samping berwarna hitam dan emas.

Cik Nurul Huda, pentadbir berusia 30 tahun, menempah baju Melayu untuk kucingnya itu daripada laman online tempatan, PetFunk, yang mereka dan menghasilkan pakaian untuk haiwan peliharaan.

Katanya, beliau pertama kali memakaikan Bobboy pakaian Hari Raya tahun lalu, dan “Alhamdulillah, ia tidak menolak untuk memakai baju Raya, jadi tahun ini saya beli dua pasang sekali.”

Setiap pasang baju Hari Raya itu, katanya, berharga S$25. Cik Nurul Huda turut membelikan baju-baju kemeja-T yang diperbuat dari kain tipis untuk Bobboy “jadi bila saya mengajak kucing saya keluar ia tidak berasa panas.”

KUCING KETIGA - WIRA

Wira. (Gambar: Nur Annisa Azman)

Cik Nur Annisa Azman, 23 tahun, pula membeli baju Melayu untuk bayi bersaiz paling kecil bagi kucingnya yang bernama Wira.

Baju berwarna kuning emas itu dibelinya di Joo Chiat Complex pada harga S$30 dan dipilih kerana sepasang dengan pakaian Hari Raya yang ditempahnya tahun ini.

“Memandangkan ini kali pertama (memakaikan kucing baju Hari Raya), saya tidak dapat mencari sesiapa untuk menjahit baju Wira,” kata Cik Nur Annisa, seorang pegawai pembangunan perniagaan.

Tambah beliau: “Mungkin pada sesetengah orang, kita tidak seharusnya memperlakukan kucing seperti ini. Tetapi, kami mahu Wira tahu kedatangannya dalam hidup kami memberi 1,001 makna untuk kami tersenyum setiap hari."

Wira. (Gambar: Nur Annisa Azman)

Wira. (Gambar: Nur Annisa Azman)

KUCING KEEMPAT - BABYDIOR

Encik Mohd Sharil pula mengirimkan beberapa gambar kucingnya, yang bernama Babydior, anggun bergaya dengan baju kurung ekslusif berwarna biru keemasan dan merah jambu, dengan skirt kembang bak bidadari.

Babydior. (Gambar-gambar: Mohd Sharil)

KUCING KELIMA - HERSHEYS

Hersheys. (Gambar: Shereen Nordin)

Hersheys. (Gambar: Shereen Nordin)

Sementara kebanyakan pemilik kucing memakaikan kucing mereka baju Melayu tradisional pada Hari Raya ini, Cik Shereen Nordin pula mencetuskan kelainan dengan memilih baju Superman untuk si comel.

“Saudara-mara saya sayangkan kucing saya ini, dan ia sesuatu yang seronok dan unik untuk Hari Raya ini. Lagipun, kucing saya suka gambarnya dipetik, jadi saya rasa ia tidak kisah dipakaikan baju Superman!,” kata Cik Shereen, 34 tahun, yang kucingnya bernama Hersheys.

Rata-rata, pemilik-pemilik kucing yang diwawancara BERITAMediacorp berpendapat trend menggayakan kucing dengan pakaian Hari Raya akan terus menjadi ikutan ramai.

“Tapi pemilik harus ingat, haiwan tidak sepatutnya dipakaikan baju. Jadi kita harus bertanggungjawab dan memastikan haiwan peliharaan kita selesa, dan tidak memaksanya pakai baju untuk tempoh masa yang lama,” kata Cik Shereen, yang sudah 13 tahun menjaga kucingnya.

KUCING KEENAM - ASH

Ash. (Gambar: Samsiah Suliman)

Ash. (Gambar: Samsiah Suliman)

Masih ingat lagi dengan kucing bernama Ash? Iaitu kucing yang menjadi popular di laman siber tahun lalu, setelah laporan BERITAMediacorp yang menunjukkan Ash segak dipakaikan dengan baju kurung, kain samping dan songkok sempena Hari Raya.

Tahun ini, Ash meneruskan tradisi berpakaian Hari Raya yang lengkap sepersalinan. Pemilik Ash, Cik Samsiah Suliman berkata, fesyen Raya Ash kali ini ialah baju Melayu cekak musang bercorak kotak-kotak berwarna ungu dan songkok serta samping.

Tahun ini Ash ada dua songkok – iaitu songkok songket dan songkok haji. Pakaian Ash itu dijahit tangan oleh ‘nenek’nya, iaitu Cik Siti Zaleha Abdullah.

Ash. (Gambar: Samsiah Suliman)

Yang pasti, Ash, si kucing jenis Russian Blue ini memakai baju dengan tema warna yang sama dengan Cik Samsiah sekeluarga, dan cara ia duduk sambil ber’posing’ di atas sofa dalam gambar ini pastinya mencuit hati sesiapa sahaja yang memandangnya.

KUCING KETUJUH – AHMAD TYSON

Ahmad Tyson. (Gambar: Bebe Hunyo)

Ahmad Tyson. (Gambar: Bebe Hunyo)

Kucing yang bernama Ahmad Tyson ini pula 'bergaya' dengan baju kurung tanpa lengan berwarna kuning muda dengan kain samping.

Gambar si kucing berbulu putih dan hitam yang berusia 11 bulan ini dipetik pada hari pertama Syawal.

Ahmad Tyson. (Gambar: Bebe Hunyo)

KUCING KELAPAN – RAG DOLL & RUSSIAN BLUE 

Kucing jantan (berbulu putih) milik Encik Saifudin Abdul Wahab, iaitu jenis rag doll berusia 1 tahun 4 bulan, dipakaikan 'baju kurung' yang disarungkan pada lehernya seperti 'cape'.

(Gambar: Saifudin Abdul Wahab)

Sementara kucing betinanya, jenis Russian Blue berusia 1 tahun, dipakaikan dengan dress biru berenda-renda.

(Gambar: Saifudin Abdul Wahab)

KUCING KESEMBILAN – LULU & TIGER

Cik Norwati pula menghantar gambar-gambar dua kucingnya - Lulu dan Tiger - yang tampak manis dengan baju Melayu dan dress.

Masing-masing 'segak' dan 'menawan' dengan baju Melayu dan kain samping songket berwarna kuning air serta dress kuning dengan renda. 

(Gambar-gambar: Norwati)

PEMENANGNYA IALAH...

Ternyata, kucing paling hot tahun ini ialah Ash! Ash berjaya mengekalkan gaya mempesona dan pakaian sarung yang menutup tubuhnya macam seorang budak kecil.

Malah Ash juga kelihatan mudah untuk digayakan dan boleh ‘duduk’ apabila gambarnya diambil.

Semestinya, pakaian Ash yang sepersalinan berbutang kolar mandarin, memikat hati kami.

Bagi kami, semua kucing cantik! Terima kasih kepada semua yang menghantar gambar kepada kami. Namun hanya ada satu pemenang, iaitu Ash, yang berjaya ‘maintain’ reputasinya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan