Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Imam ditegur setelah ramai jemaah menari-nari dengan iringan muzik dalam masjid

Imam dan muazzin sebuah masjid di Jeddah ditegur setelah tersebar luas sebuah video yang menunjukkan sekumpulan jemaah menari-nari bak sebuah pesta dalam masjid tersebut sempena Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:
Imam ditegur setelah ramai jemaah menari-nari dengan iringan muzik dalam masjid

Sekumpulan jemaah menari di sebuah masjid di Jeddah. (Gambar: YouTube/مقاطع متداولة)

Diterbitkan : 13 Jul 2016 11:46PM Dikemas Kini : 13 Jul 2016 11:51PM

JEDDAH: Imam dan muazzin sebuah masjid di Jeddah ditegur setelah tersebar luas sebuah video yang menunjukkan sekumpulan jemaah menari-nari bak sebuah pesta dalam masjid tersebut sempena Aidilfitri.

Menurut laman Arab News, kedua-dua imam dan muazzin Masjid Omar Basabirin itu dipanggil oleh kementerian ehwal Islam Arab Saudi berhubung kegiatan-kegiatan "haram" yang dijalankan di masjid tersebut.

Kedua-dua mereka dipanggil untuk disoal siasat tentang isu itu sebelum kementerian tersebut memutuskan hukuman yang perlu dikenakan terhadap mereka, lapor Saudi Gazette.

MAIN LAGU DAN MENARI DALAM MASJID DILARANG

Pengarah cawangan kementerian itu di Makkah, Ali Salem Al-Abdali ditukil Saudi Gazette sebagai berkata, memainkan lagu dan menari di dalam masjid melanggar kesucian rumah Allah.

Hukuman yang dikenakan, kata beliau, mungkin termasuk dipecat daripada jawatan mereka, sekiranya imam dan muazzin itu terbukti tahu-menahu tentang insiden menari berkenaan.

Video yang menjadi viral di lelaman media sosial itu menunjukkan sekumpulan jemaah menari mengikut rentak muzik dan nyanyian dalam bahasa Arab, yang dimainkan dengan kuat di masjid tersebut.

Jemaah lain dilihat memerhatikan mereka - sesetengah merakam video atau memetik gambar gelagat mereka itu dengan telefon bimbit, sementara yang lain menikmati jamuan yang disediakan.

"MASJID TEMPAT BERIBADAH, BUKAN MENARI"

Anggota Majlis Ulama Kanan, Sheikh Ali Al-Hakami, mengutuk insiden tersebut, dan berkata, kedua-dua mereka yang menganjurkan dan menyertai sambutan itu harus dipertanggungjawabkan.

Beliau menegaskan bahawa masjid-masjid merupakan tempat beribadah, bukan untuk menari dan menyanyi.

Apa yang berlaku di masjid itu, katanya kepada Arab News, tidak sesuai dengan kesucian dan prestij masjid, katanya.

IMAM NAFI TAHU ADA JEMAAH MENARI

Bagaimanapun, imam masjid terbabit, Qashmir Al-Qarni, berkata beliau tidak tahu ada jemaah yang menari di dalam masjid. Malah katanya, lagu-lagu yang dimainkan hanya berunsur Islami dan kenegaraan.

"Jika ada orang yang menari dalam masjid ini, ia mesti berlaku tanpa pengetahuan atau izin saya," katanya seperti ditukil akhbar Al-Hayat.

Menurut Arab News, setelah video itu tersebar luas, ia membangkitkan kemarahan netizen hingga sebuah kempen dilancarkan di laman Twitter untuk menggesa tindakan dikenakan terhadap mereka yang menganjurkan sambutan itu.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan