Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: Teruskan kepimpinan teguh Melayu/Islam, bina pelapis berwawasan

Majlis Perjumpaan Hari Raya Dr Yaacob itu merupakan wadah tradisi tahunan, di mana beliau menggariskan hala tuju dan keutamaan untuk masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cabaran yang menanti masyarakat Melayu/Islam di hadapan, tidak sama seperti pada masa yang lalu, malah pastinya lebih sukar.

Oleh yang demikian, masyarakat Melayu/Islam perlu menyuntik kesegaran kepada institusi serta badan kemasyarakatan dari sudut kepimpinan dan pelaksanaan misi dan visinya.

Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam ucapan Bahasa Melayu beliau di Majlis Perjumpaan Hari Raya Tahunan beliau, yang diadakan di hotel Regent Singapore.

Beliau berkata, semenjak kemerdekaan, kemajuan masyarakat Melayu/Islam Singapura dicapai hasil usaha gigih setiap individu dan institusi yang menyokong usaha pembangunan masyarakat.

Bagaimanapun kini, masyarakat Melayu/Islam, mahu tidak mahu, mesti kekal dinamik dan progresif, sealiran dengan pembangunan negara, serantau dan global.

Langkah ini tegas beliau, adalah kritikal bagi memastikan penciptaan semula warisan yang harus dilestarikan untuk manfaat generasi seterusnya.

MASYARAKAT PERLU KUKUH DAYA TAHAN

Dr Yaacob menarik perhatian, baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan beberapa insiden pengebom nekad yang meragut nyawa, termasuk di kota suci Madinah. Orang muslim Singapura mengutuk keras tindakan-tindakan sebegitu yang hanya membawa kesengsaraan kepada orang ramai.

Dalam berdepan dengan pelbagai cabaran sedemikian, masyarakat Melayu/Islam sebagai sebuah masyarakat – harus tetap teguh, terus optimis, bersatu dan berkeyakinan serta memperkukuh daya tahan, ujar Dr Yaacob.

Ini kata beliau, demi menangkis sebarang usaha yang boleh menggugat perpaduan negara ini yang berbilang budaya dan agama.

Prinsip itu jugalah yang didukung generasi perintis dan kepimpinan terdahulu kata Dr Yaacob, dalam membentuk sebuah masyarakat Melayu/Islam yang berilmu, adil, saksama dan sejahtera.

Kini dengan anak-anak Melayu/Islam lebih berkebolehan dan lebih berpendidikan, mereka juga kata beliau turut mewarisi keberanian para perintis Melayu untuk mengharungi ombak cabaran demi mengembangkan bakat untuk melangkah jauh ke hadapan.

Namun usaha untuk membentuk generasi pelapis yang berwawasan dan berjiwa rakyat serta berbudi luhur masih berterusan dan tiada akhirnya, kata Dr Yaacob lagi.

Dengan paduan semangat golongan muda, kematangan serta pengalaman golongan mapan, beliau yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, yakin bahawa masyakarat Melayu/Islam akan berupaya menempuhi apa juapun cabaran.

Majlis Perjumpaan Hari Raya Dr Yaacob itu merupakan wadah tradisi tahunan, di mana beliau menggariskan hala tuju dan keutamaan untuk masyarakat Melayu/Islam.

Ia anjurkan oleh para Anggota Melayu/Islam, dan dihadiri oleh 500 tetamu undangan, yang terdiri daripada para pemimpin masyarakat dan pertubuhan, para diplomat asing dan juga golongan karyawan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan