Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

12 diplomat asing jalan Raya ke rumah Dr Maliki Osman, kagum dengan budaya Hari Raya di S'pura

12 diplomat asing berkunjung dan berjalan Hari Raya ke rumah Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Mohamad Maliki Bin Osman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 12 diplomat asing berkunjung dan berjalan Hari Raya ke rumah Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman, bagi majlis Rumah Terbuka Hari Raya, anjuran beliau hari ini (17 Jul).

Ini merupakan tahun pertama beliau menyambut Aidilfitri sebagai Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, dan mengambil peluang untuk memperkenalkan kepada mereka bagaimana Aidilfitri di sambut di Singapura, yang penduduknya berbilang kaum dan agama.

Para tetamu beliau termasuklah duta-duta besar daripada Amerika Latin, Timur Tengah, Afrika dan juga Asia Tenggara bagi.

PERKENALKAN CARA SAMBUT RAYA DI S'PURA

"Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kepada mereka, cara kita merayakan Hari Raya di Singapura. Hari Raya di sini diraikan bukan sahaja oleh masyarakat Islam bahkan juga yang bukan beragama Islam," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Antara para menteri dan duta-duta besar yang hadir termasuk dari Rwanda, Israel, Qatar, Oman, Brunei, Indonesia, Mesir, India,Bangladesh, Mexico, Pakistan dan Afrika Selatan.

Tetamu dari Keduataan Mexico. (Gambar: Dr Maliki)

Tetamu dari Keduataan Mexico (berbaju putih dan merah jambu). (Gambar: Dr Maliki)

Para tetamu istimewa Dr Maliki dijamu dengan pelbagai juadah Hari Raya, yang pastinya menarik dan mungkin satu pengalaman baru bagi sebahagian daripada mereka.

Dr Maliki dan isteri bersama Duta Besar Israel (berbaju putih). (Gambar: Dr Maliki)

Dr Maliki dan isteri bersama Duta Besar Israel (berbaju putih). (Gambar: Dr Maliki)

HARI RAYA S'PURA PATUT DIJADIKAN CONTOH

"Saya gembira diundang ke majlis ini. Saya juga terharu melihat ramai orang dari latar belakang agama dan bangsa yang berbeza menyambutnya (Aidilfitri) bersama saudara Muslim," kata Konsul Besar Oman Zakariya Hamid Hilal Al Saadi.

"Inilah yang membuatkan masyarakat Singapura dan pemerintahnya kukuh serta mereka saling sokong-menyokong antara satu dengan yang lain. Keharmonian yang diamalkan rakyat Singapura adalah sesuatu yang boleh dicontohi masyarakat lain dunia," tambah beliau.

Dr Maliki bersama Duta Besar Oman (paling kiri) dan Duta Besar Afrika Selatan (kanan). (Gambar: Dr Mohamad Maliki Osman)

Dr Maliki bersama Duta Besar Oman (paling kiri) dan Duta Besar Afrika Selatan (kanan). (Gambar: Dr Maliki)

Menteri Ehwal Agama Brunei, Pehin Badaruddin Othman turut memenuhi undangan Dr Maliki sebagai membalas kunjungannya ke Brunei Darussalam baru-baru ini.

"Agama kita juga mengajak kita bersemangat terbuka, bersama-sama bergembira berhari raya. Ini satu tradisi Islam, di samping memang tradisi Melayu yang juga sedemikian, ramah dengan tetamu. Ini menjadikan kita masyarakat yang bersatu padu.

"Terutama Singapura yang berbilang kaum, agama dan budaya. Kami di Brunei menghargai apa yang kami lihat di Singapura dan ini menjadi contoh yang baik," Pehin Badaruddin memberitahu BERITAMediacorp.

Dr Maliki dan isteri (kiri) bersama para tetamu dari Brunei. (Gambar: Dr Mohamad Maliki Osman)

Dr Maliki dan isteri bersama Pehin Badaruddin (tengah) dan Duta Besar Brunei. (Gambar: Dr Maliki)

JIRAN SINGSING LENGAN, GOTONG ROYONG

Seperti tahun sebelum ini, jiran tetangga Dr Maliki tidak ketinggalan bertungkus lumus membantu beliau menjayakan majlis rumah terbuka tersebut serta membuka luas pintu rumah malah membenarkan para tetamu meletak kereta di hadapan rumah mereka.

"Saya beruntung kerana tiga jiran saya sentiasa menawarkan ruang rumah mereka untuk kami sama-sama anjurkan majlis ini. Menerusi sokongan mereka kami dapat mengundang ramai tetamu untuk meraikan Hari Raya bersama," kata Dr Maliki.

Dr Maliki bersama tetamu dan jiran tetangga beliau. (Gambar: Omar Hashim)

Dr Maliki bersama tetamu dan jiran tetangga beliau. (Gambar: Omar Hashim)

Namun ramai yang tidak tahu, jiran tetangga Dr Maliki bukan setakat membuka pintu rumah mereka malah turut sibuk menyingsing lengan berkemas dan menghias rumah mereka supaya suasana lebaran terasa lebih meriah.

"Mereka bekerja keras sehingga lewat malam untuk membantu saya membuat persiapan bagi majlis yang indah ini," kata Dr Maliki semasa berkongsi tentang semangat gotong royong di kalangan jiran tetangga beliau.

Dr Maliki menambah: "Ini menunjukkan kita mesti terus menjalin hubungan yang baik dengan jiran tetangga. Saya juga berharap ini menggambarkan semangat gotong-royong di Singapura."

Dr Maliki dan isteri bersama Duta Besar Indonesia. (Gambar: Dr Maliki)

DIPLOMAT KAGUM HUBUNGAN ERAT MASYARAKAT

Para diplomat turut melahirkan rasa kagum terhadap hubungan erat dan sikap bergotong royong antara sesama jiran tetangga di Singapura.

Dr Maliki dan isteri bersama tetamu dari Kedutaan Bangladesh. (Gambar: Dr Mohamad Maliki Osman)

Dr Maliki dan isteri bersama tetamu dari Kedutaan Bangladesh. (Gambar: Dr Maliki)

Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Afrika Selatan, Cik HF Ngubeni memuji Dr Maliki atas usahanya mengadakan majlis sedemikian, yang menunjukkan interaksi antara pemerintah dan rakyat.

"Saya lihat bagaimana empat jiran Dr Maliki, membuka pintu rumah mereka untuk beliau. Itu sahaja sudah cukup menggambarkan rasa kasih dan kepercayaan yang wujud antara mereka," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan