Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setelah 24 tahun terpisah, ibu dan anak kandung akhirnya beraya bersama

Cik Sapiah Begam, 53 tahun menyerahkan anaknya, Cik Maslinda Zakaria kepada sebuah keluarga angkat ketika dia berusia 5 tahun. Kini mereka diketemukan semula, menerusi program 'Merinduimu' di stesen radio MediaCorp, Ria 897FM.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Doa seorang ibu termakbul apabila beliau dapat beraya bersama anak kandungnya setelah 24 tahun terpisah.

Tahun ini merupakan tahun pertama Cik Sapiah Begam, 53 tahun, menyambut lebaran bersama anak tersayang, Cik Maslinda Zakaria, 30 tahun.

Mereka terpisah sejak 24 tahun lalu, selepas Cik Maslinda, yang ketika itu baru berusia 5 tahun, diserahkan kepada sebuah keluarga angkat.

Tidak sanggup berpisah dengan anaknya, Cik Sapiah cuba mendapatkan Cik Maslinda semula namun dihalang ketika ingin mendekatinya.

Sejak itu, kedua-dua ibu dan anak ini terputus hubungan sehinggalah mereka diketemukan semula, menerusi program 'Merinduimu' di stesen radio MediaCorp, Ria 897FM.

"Abang saya dengar radio. Abang saya telefon saya. Pi, ada orang nama Maslind Binte Zakaria cari ibu kandungnya, cari kakak-kakak dia," kata Cik Sapiah, membuka cerita.

"Saya cuba telefon kakak dialah, kakak dia nombor satu. Saya bilang, “Ita tolong telefon Ria, ni betul tak dia telefon.” Habis itu, kakak dia telefon Ria, mereka kata, “Betul, Maslinda Binte Zakaria.” Habis itu orang itu tanyalah, “Awak siapa?” “Saya kakak dia, Anita Binte Zakaria.”

Tidak disangka-sangka, doa yang dipanjatkannya setelah sekian lama, akhirnya termakbul jua.

Cik Maslinda disatukan semula dengan Cik Sapiah pada Oktober lalu.

"Firasat saya mengatakan itu adalah ibu saya. Dan bila saya nampak kakak saya, muka yang sama macam saya, jadi saya ingat, inilah ibu saya," kata Cik Maslinda.

Walaupun pernah berasa kecewa, Cik Maslinda tidak pernah menyimpan rasa dendam terhadap ibunya.

Cik Maslinda berkata: "Saya tak kisahlah apapun alasannya. Walaupun dia kasi saya kepada orang lain, alasan apa. Janji saya dapat jumpa dia, sebelum ajal kita sampai. Saya tak marahkan dia; kenapa dia beri saya kepada orang. Saya bersyukurlah dapat jumpa dengan dia."

Seperti kata pepatah, "Air dicincang tidak akan putus."

Begitulah juga pertalian antara seorang ibu dan anak.

Meskipun gerak tubuh mereka kelihatan janggal, ia tidak sama sekali mencerminkan perasaan sebenar mereka.

"Saya sangat sayang dia," kata Cik Sapiah.

Cik Maslinda pula menjawab: "Saya amat sayangkan dia. Walaupun saya baru kenal dia. Jadi saya harap dia beri saya masa untuk menyesuaikan diri, rapat dengan adik-beradik."

Diharapkan lebaran ini dapat mengukuhkan semula pertalian antara dua beranak ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan