Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masakan serunding cara tradisional tetap menjadi pilihan

Transformasi dalam kaedah masakan serunding tidak menjadi halangan bagi seorang pengusaha serunding di Kampung Laut di sini untuk tetap mengekalkan kaedah tradisional.

Anggaran Waktu Membaca:
Masakan serunding cara tradisional tetap menjadi pilihan

Gambar hiasan serunding. (Gambar: Laman Facebook Serunding Kelantan)

Diterbitkan : 19 Jul 2015 09:38PM Dikemas Kini : 19 Jul 2015 09:44PM

TUMPAT: Transformasi dalam kaedah masakan serunding tidak menjadi halangan bagi seorang pengusaha serunding di Kampung Laut di sini untuk tetap mengekalkan kaedah tradisional, menggunakan kawah dan kayu api bagi memastikan hasil yang berkualiti, warnanya yang cantik dan rasanya yang lebih sedap.

Encik Rosli Mohd Noor, 52 tahun, bekas anggota tentera mempunyai alasan tersendiri untuk terus menggunakan cara masakan tradisional walaupun kaedah itu lebih rumit, iaitu memakan masa sehingga tujuh jam bagi memastikan juadah itu masak sekata.

"Ramai penduduk Kampung Laut menjadi pengusaha serondeng tetapi setiap serunding yang dihasilkan mempunyai identiti dan rasa yang berbeza. Saya tetap memilih cara tradisional memandangkan rasanya yang lebih sedap dan lebih tahan lama. Ia diakui kebanyakan pelanggan saya yang membeli serunding di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya.

Kebanyakan pengusaha serunding di Kampung Laut beralih kepada peralatan moden dan dapur gas untuk menyediakan serunding.

"Bila kita menggunakan mesin, serunding tidak dikacau dengan sekata. Tetapi itu semua bergantung kepada pilihan masing-masing," katanya.

Menurut Encik Rosli, serunding yang dihasilkan dengan kaedah tradisional juga tahan lama dan boleh disimpan sehingga lebih setahun.

Beliau yang mengusahakan produk serunding ikan dan daging sejak 10 tahun itu mengakui dengan mengekalkan kaedah tradisional, serundingnya mendapat tempahan dari seluruh negara.

Encik Rosli berkata beliau mampu menghasilkan sehingga 600 kilogram serunding setiap bulan dan jumlah itu meningkat berkali ganda setiap kali menjelang Aidilfitri.

Sumber : Bernama/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan