Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini dia 'jalan' Hari Raya keluarga paling unik dan terbesar di Singapura tahun ini

Lebih 200 anggota sebuah keluarga berkumpul untuk beraya dengan cara yang sungguh unik - iaitu lengkap dengan persembahan dikir barat, nyanyian dan tarian yang kesemuanya akan dipersembahkan oleh anggota keluarga itu sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah perjumpaan Hari Raya yang lain daripada yang lain.

Lebih 200 anggota sebuah keluarga berkumpul untuk beraya dengan cara yang sungguh unik - iaitu lengkap dengan persembahan dikir barat, nyanyian dan tarian yang kesemuanya dipersembahkan oleh anggota keluarga itu sendiri.

Malah, satu acara cabutan bertuah juga diadakan untuk meriahkan lagi suasana.

Penganjur perjumpaan keluarga sempena Hari Raya itu - dipercayai yang terbesar dianjurkan sesebuah keluarga di Singapura tahun ini - menyatakan ia dihadiri keluarga dari 5 generasi.

Yang paling muda bayi berusia dua bulan dan yang paling tua berusia 100 tahun!

Salah seorang penganjur bagi perjumpaan Hari Raya keluarga besar Nek Kiah Samsudin, iaitu Cik Sa'deah 55 tahun, mengatakan ini hanyalah separuh daripada jumlah penuh keluarga besar beliau.

(Gambar: Cik Sa'deah Jantan) 

Dianggarkan jumlah penuh anggota keluarga Cik Sa'deah ialah sekitar 400 orang semuanya.

Acara perjumpaan Hari Raya besar-besaran yang dinamakan “Rentak Hari Raya” bertujuan mengumpul semua saudara-maranya di satu acara dan mengeratkan lagi silaturahim.

"Ramai antara kami tidak mengenali anak kepada saudara-mara kami oleh itu saya dan saudara-mara yang dekat menganjurkan acara perjumpaan keluarga Hari Raya kami supaya dapat beramai-ramai berkumpul dan mengenali satu sama lain. Bapa saya mempunyai 23 adik-beradik dan beliau merupakan antara anggota tertua yang masih lagi hidup (berusia 85 tahun),” jelas Cik Sa'deah. 

SEMANGAT BERGOTONG ROYONG 

Perancangan untuk perjumpaan Hari Raya besar-besaran ini bermula sejak tahun lalu, namun ia tidak dapat dilakukan terlebih dahulu kerana keadaan yang tidak dapat diduga.

Cik Sa'deah bersama 10 saudaranya yang lain – menubuhkan “jawatankuasa penganjur" acara perjumpaan Hari Raya keluarganya dan hanya memulakan perancangan perjumpaan Hari Raya sejak empat bulan yang lalu.

(Gambar: Cik Sa'deah Jantan) 

Daripada dekor kepada masakan juadah untuk perjumpaan Hari Raya yang bermula dari 6.00 petang semalam disediakan anggota keluarga Cik Sa'deah sendiri.

KUMPULKAN DANA BERSAMA 

Cik Sa'deah, seorang sukarelawan dan anggota akar umbi di kawasan Teck Ghee memulakan perancangannya itu dengan menjual tiket pada harga $8 kepada setiap anggota keluarganya yang hadir.

"Kami perlukan sedikit wang untuk menyewa tempat serta pelbagai persiapan lain, saya menggunakan pengalaman saya untuk menganjurkan pelbagai acara kemasyarakatan untuk perjumpaan Hari Raya keluarga saya," kata Cik Sa'deah.

Tidak mahu tiket yang dijual itu disia-siakan, Cik Sa'deah menggunakan kreativitinya untuk membuat tanda buku yang disertakan bersama tiket yang dijualkan untuk acara perjumpaan Hari Raya dengan gambar rumah lama keluarga Cik Sa'deah, sebuah rumah panggung yang terletak di Tongkang Pecah (kini kawasan Fernville di Sengkang).

(Gambar: Cik Sa'deah Jantan) 

"Saya harap, anak-anak muda dari keluarga saya yang telah hadir pada acara perjumpaan hari raya dapat menggunakan tanda buku itu dan melihat rumah lama yang dihuni oleh datuk dan nenek moyang mereka," kata Cik Sa'deah. 

PELBAGAI AKTIVITI DISEDIAKAN 

Acara yang berlangsung di sebuah dewan serbaguna di Bukit Panjang itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti, permainan untuk anak-anak kecil dan persembahan.

Selain dikir barat dan tarian, Cik Sa'deah juga bernyanyi pada kemuncak acara tersebut.

Beliau juga berkata keluarganya akan memberi penghormatan kepada beberapa anggota keluarga yang lanjut usia, seperti nenek saudara Cik Sa'deah serta pakcik dan makciknya. 

Bukan itu sahaja, dengan dana yang dikumpulkan juga mereka yang hadir diberi cenderahati atau "doorgift" - Surah Yassin yang dapat digunakan nanti.

Cik Sa'deah berharap ini bukanlah kali terakhir keluarganya akan mengadakan perjumpaan Hari Raya sedemikian.

"Menganjurkan acara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak yang harus disediakan tetapi saya gembira melihat sanak-saudara semua berkumpul bersama," tambah Cik Sa'deah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan