Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prestasi WP lebih buruk kali ini, hilang SMC Punggol East

Parti Pekerja (WP) merupakan satu-satunya parti pembangkang yang mendapat kerusi di Parlimen akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Sep 2015 05:48PM Dikemas Kini : 12 Sep 2015 09:37PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) merupakan satu-satunya parti pembangkang yang mendapat kerusi di Parlimen akan datang.

Bagaimanapun secara keseluruhannya, prestasi WP dalam pilihan raya kali ini lebih buruk, mendapat hanya 39.8 peratus undi keseluruhan, berbanding 46.6 peratus pada Pilihan Raya Umum 2011 .

Selain itu, WP juga hilang Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East, yang dimenanginya dalam pilihan raya kecil pada 2013.

Keputusan bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied adalah yang terakhir diisytiharkan - ia diumumkan kira-kira 3.10 pagi tadi.

Para penyokong di pusat perhimpunan WP jelas gelisah apabila berita pengiraan semula tersebar luas, sejurus selepas mendengar berita bahawa kerusi SMC Punggol East jatuh kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Selepas beberapa jam yang mendebarkan, pasukan yang dipimpin ketua parti Low Thia Khiang menang tipis ke atas pasukan PAP, yang kebanyakannya terdiri daripada muka-muka baru yang diketuai veteran buruh Yeo Guat Kwang.

WP meraih hanya 50.95 peratus undi, merosot daripada lebih 54 peratus yang diperolehinya apabila ia merampas Aljunied dalam Pilihan Raya Umum 2011.

MediaCorp difahamkan bahawa PAP mendapat jumlah yang lebih tinggi berbanding WP di dua daripada lima kawasan undi Aljunied itu. Ia adalah di Serangoon, yang ditadbir Pengerusi parti Sylvia Lim dan di Paya Lebar, di bawah kendalian Encik Chen Show Mao.

LOW: ADA PERALIHAN SOKONGAN YANG BESAR TERHADAP PAP

Menurut Encik Low, Setiausaha Agung WP, meskipun terdapat peralihan sokongan yang besar terhadap PAP, parti itu tetap dapat mengekalkan kerusinya di Aljunied. Namun malangnya, beliau berkata WP hilang kerusi Punggol East.

WP juga menang tipis di Hougang. Calonnya Png Eng Huat meraih 58 peratus undi sah, turun daripada 62 peratus dalam pilihan raya kecil 2012.

ISU MAJLIS BANDARAN BERI KESAN BURUK?

Encik Png tidak bersetuju bahawa masalah majlis bandaran parti itu memberi kesan buruk kepada jumlah undi yang diraihnya. Isu Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) dikritik oleh PAP dan merupakan satu isu yang kerap ditimbulkan semasa kempen pilihan raya.

Parti itu juga terpaksa bergelut dengan kehilangan kerusi Punggol East. Calon PAP Charles Chong meraih 51.8 peratus undi, mengalahkan Cik Lee Li Lian yang menerima 48.2 peratus undi.

LOW TETAP PUAS HATI DENGAN PRESTASI WP

WP juga gagal meraih kemenangan dalam tujuh lagi kawasan undi yang ditandinginya. Namun, Encik Low berkata beliau tetap berpuas hati dengan prestasi parti itu.

Menyusuli keputusan itu, WP akan mempunyai enam Anggota Parlimen dipilih dan layak bagi tiga AP tanpa kawasan undi atau NCMP, di Parlimen ke-13 Singapura.

Berdasarkan prestasi pada pilihan raya umum ini, calon NCMP parti itu harus datang daripada SMC Punggol East dan Fengshan serta GRC East Coast.

Bagaimanapun, Cik Lee, yang tidak berjaya mempertahankan kerusi beliau di Punggol East, telah menyatakan beliau tidak mahu menjadi seorang NCMP. Jika itu berlaku, kerusi itu boleh pergi ke calon daripada kawasan undi kedua tertinggi yang kalah dalam pilihan raya, iaitu calon GRC Marine Parade, Firuz Khan.  

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan