Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee beri penghargaan khusus kepada masyarakat Melayu atas sokongan "sangat kukuh"

Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi penghargaan khusus beliau kepada masyarakat Melayu/Islam kerana memberikan sokongan yang "sangat kukuh" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi penghargaan khusus beliau kepada masyarakat Melayu/Islam kerana memberikan sokongan yang "sangat kukuh" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Beliau mengisytiharkan demikian dalam satu sidang media, yang diadakan sejurus selepas semua keputusan diumumkan, sekitar 3.30 pagi tadi.

SOKONGAN GOLONGAN MUDA "NATIJAH PENTING" DARI PILIHAN RAYA

Encik Lee juga menarik perhatian, "mandat kuat" seperti itu mustahil dicapai tanpa sokongan kuat golongan muda.

Beliau menekankan, faktor ini khususnya merupakan satu "natijah penting" daripada pilihan raya ini, kerana ia membuktikan, golongan muda faham apa yang menjadi taruhannya.

"Saya gembira dengan keputusan pilihan raya kali ini, keputusan yang baik untuk PAP dan keputusan yang cemerlang untuk Singapura.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengundi dari semua kaum dan semua usia, serta dari seluruh Singapura atas keyakinan dan sokongan padu anda.

"Penghargaan khusus saya untuk para pengundi Melayu/Islam kita yang terus memberikan kami sokongan anda yang sangat kukuh. Tidak mungkin keputusan sebaik ini didapati tanpa sokongan kuat dari semua kumpulan, terutama daripada golongan muda kita. Ini satu isyarat yang baik untuk masa depan Singapura," ujar Encik Lee.

KEPUTUSAN UNDI "PENGESAHAN" ATAS DASAR, PRESTASI PAP

Encik Lee menambah, keputusan undian semalam juga merupakan satu "pengesahan" ke atas dasar-dasar dan prestasi pemerintah PAP, yang bekerja keras mendekati dan menghuraikan masalah rakyat.

Beliau bagaimanapun menambah, beliau menerima sokongan kuat itu dengan "rendah hati" kerana ini juga bermakna pasukan beliau perlu menjalankan tanggungjawab yang berat.

"Kami berjanji akan bekerjasama dengan semua rakyat Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam kita untuk menangani isu-isu dan memperbaiki lagi mutu hidup mereka dan semua rakyat demi kesejahteraan dan masa depan Singapura.

"Terima kasih yang paling istimewa buat anda rakyat Singapura kerana memberi saya dan pasukan saya mandat yang sangat kuat dan jelas.

"Kami akan terus memperjuangkan kepentingan anda dan bekerjasama dengan anda demi membina masa depan yang lebih cerah untuk Singapura. Terima kasih," kata Encik Lee. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan