Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP raih kemenangan terbesar sejak 2001, dengan 69.86% undi

Parti yang memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangannya yang terbesar sejak pilihan raya 2001, dengan memperolehi hampir 70 peratus undi keseluruhan dan menawan semula Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East daripada Parti Pekerja (WP).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Sep 2015 05:04AM Dikemas Kini : 12 Sep 2015 09:36PM

SINGAPURA: Parti yang memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangannya yang terbesar sejak pilihan raya 2001, dengan memperolehi hampir 70 peratus undi keseluruhan dan menawan semula Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East daripada Parti Pekerja (WP).

PAP berjaya menguasai semula hampir kesemua 29 kawasan undi - malah, WP mempertahankan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied dengan kemenangan tipis (perbezaan 1.9 peratus dengan PAP) selepas pengundian dikira semula.

Dengan kesemua 89 kerusi Parlimen dipertandingkan buat pertama kali sejak Singapura merdeka, PAP berjaya menguasai 83 kerusi - iaitu 12 daripada 13 SMC dan 15 GRC daripada 16 GRC. SMC biasanya menjadi sasaran pihak pembangkang.

PAP meraih lebih 70 peratus undi di 15 daripada 29 kawasan undi - dengan GRC Jurong (79.28 peratus), GRC Ang Mo Kio (78.63 peratus) dan GRC West Coast (78.57 peratus) merupakan tiga kawasan undi di mana parti itu meraih peratusan undi tertinggi.

WP mengekalkan kerusi Parlimennya di GRC Aljunied dengan kemenangan tipis, iaitu 50.95 peratus undi. Parti itu juga mempertahankan SMC Hougang dengan meraih 57.69 peratus undi - merosot berbanding 62.1 peratus undi yang diraihnya pada pilihan raya kecil 2012.

Undi keseluruhan 69.86 peratus yang diraih PAP, merupakan kemenangannya yang terbesar sejak pilihan raya 2001 - ketika itu parti tersebut meraih 75.3 peratus undi keseluruhan.

Ini meskipun pada pilihan raya tahun ini, kesemua 89 kerusi Parlimen dipertandingkan, berbanding pada 2001 apabila hanya sepertiga rakyat yang layak mengundi, keluar mengundi kerana terdapat kawasan undi yang tidak dipertandingkan.

Undi keseluruhan yang diraih PAP tahun ini, adalah peningkatan 9.72 peratusan mata berbanding undi keseluruhan sebanyak 60.14 peratus yang diraih PAP pada 2011.

Di GRC East Coast misalnya, PAP berjaya memperolehi 60.73 peratus undi kali ini, menewaskan pasukan WP. Ini berbanding pada 2011, apabila PAP meraih kemenangan paling tipis di kawasan undi itu dengan 54.8 peratus undi.

PAP juga meraih kemenangan yang meyakinkan di kawasan-kawasan undi perseorangan yang dibentuk daripada GRC untuk pilihan raya kali ini.

Di SMC Bukit Batok yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, misalnya, Encik David Ong dari PAP meraih 72.99 peratus undi dan menewaskan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Sadasivam Veriyah serta calon bebas, Samir Salim Neji.

Di SMC Fengshan pula, Cik Cheryl Chan dari PAP - calon baru pertama yang ditampilkan PAP dalam sesebuah SMC baru - meraih 57.52 peratus undi.

Cik Tin Pei Ling berjaya mempertahankan kerusi Parlimennya di SMC MacPherson, dengan meraih 65.58 peratus undi dan menewaskan WP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).

Sementara itu, buat pertama kali, rakyat Singapura dapat membayangkan keputusan rasmi pilihan raya, dengan pengumuman kiraan undi sampel sekitar 9.30 malam tadi.

Kebanyakan pemerhati menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum 2015 sebagai menunjukkan bahawa sokongan rakyat kini beralih kepada PAP. 

Ikuti senarai penuh keputusan Pilihan Raya Umum 2015 di pautan ini.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan