Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Keputusan pilihan raya menunjukkan rakyat tolak politik yang memecah belah'

Keputusan Pilihan Raya Umum menunjukkan rakyat Singapura menolak politik yang memecah belahkan masyarakat dan menyokong pendekatan rasional terhadap menghuraikan masalah-masalah negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
'Keputusan pilihan raya menunjukkan rakyat tolak politik yang memecah belah'

PM Lee Hsien Loong dan pasukannya di GRC Ang Mo Kio meraikan kemenangan di pilihan raya. (Gambar: Shushan Lam)

Diterbitkan : 12 Sep 2015 08:37PM Dikemas Kini : 12 Sep 2015 08:41PM

SINGAPURA: Keputusan Pilihan Raya Umum menunjukkan rakyat Singapura menolak politik yang memecah belahkan masyarakat dan menyokong pendekatan rasional terhadap menghuraikan masalah-masalah negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini.

Dalam surat terbuka kepada rakyat Singapura, Encik Lee, yang merupakan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura atas sokongan kukuh mereka, dan berkata keputusan pilihan raya "mencerminkan kemahuan rakyat."

"Parti-parti yang menyarankan agar mengurangkan belanjawan pertahanan kami atau menyediakan jagaan kesihatan secara percuma, ditewaskan," kata Encik Lee. "Rapat-rapat pilihan raya kami mungkin kurang riuh berbanding rapat pilihan raya pembangkang, namun anda faham apa yang dipertaruhkan, dan anda berdiri teguh bersama kami."

Parti yang memerintah itu meraih 69.86 peratus undi keseluruhan dalam Pilihan Raya Umum 2015, iaitu peningkatan hampir 10 peratusan mata berbanding pada 2011. Ia juga berjaya menguasai 83 daripada 89 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

"Pada 2011, saya berjanji kepada anda bahawa kami akan mengendalikan isu-isu yang menjadi keprihatinan anda - perumahan, kesihatan, pengangkutan dan pekerja asing. Dan kami melaksanakannya," kata Encik Lee.

Beliau menambah, menyusuli pilihan raya ini, pemerintah akan terus maju ke hadapan dengan langkah baru - tumpuan lebih inklusif terhadap keperluan sosial, terutama bagi warga emas dan golongan kurang bernasib baik, dengan penglibatan lebih aktif oleh warga Singapura.

Pemerintah juga mengambil kira keinginan rakyat bagi kepelbagaian dalam politik Singapura, dan akan memberi tumpuan kepada hal itu namun pada masa yang sama, tetap berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asasnya, kata beliau.

Encik Lee juga berkata pilihan raya kali ini adalah satu langkah penting bagi pembaharuan pucuk pimpinan dalam PAP.

"Kali ini, (muka-muka baru) Ng Chee Meng, Ong Ye Kung, Chee Hong Tat dan Amrin Amin menyertai Heng Swee Keat, Chan Chun Sing, Lawrence Wong dan Tan Chuan-Jin dari kumpulan muka baru sebelum ini," kata beliau.

Encik Lee berkata dengan bahang pilihan raya kembali reda, kini tibalah masanya bagi warga Singapura bersatu padu dan bekerjasama. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan