Skip to main content

Iklan

Iklan

Lee Kuan Yew: Tokoh Awam, Kehidupan Peribadi

Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, hidup demi Singapura. Namun, beliau juga seorang suami yang penyayang, dan membacakan isterinya puisi setiap malam ketika kesihatan isterinya kian memburuk.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Apr 2015 07:56AM Dikemas Kini : 06 Apr 2015 10:27AM

SINGAPURA:  Di antara teman rapat Encik Lee Kuan Yew, tiada seorang pun yang lebih rapat kepada beliau daripada isterinya, Cik Kwa Geok Choo.

Cik Kwa mendapat perhatian Encik Lee sejak remaja lagi, kerana beliau mendapat markah lebih tinggi dalam ujian. Cik Kwa penerima Biasiswa Queen, sebuah skim pemerintah yang memilih dua pelajar cemerlang menuntut di sebuah universiti Britain setiap tahun.

Daripada persaingan, hubungan mereka berkembang kepada percintaan semasa zaman perang. Encik Lee membantu Cik Kwa, yang dipanggilnya 'Choo', mendapat tempat di Girton College di Cambridge supaya mereka dapat bersama ketika beliau menuntut dalam jurusan undang-undang di Fitzwilliam House.

Cik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo di Jambatan Sighs di Cambridge pada 1948. (Gambar: Ihsan keluarga Lee)

(Gambar: Ihsan keluarga Lee)

Mereka berumah tangga secara senyap-senyap di England tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, sesuatu yang jarang berlaku ketika itu. Sekembalinya ke Singapura, Encik Lee mendapat restu bapa mertuanya. Dan pasangan itu akhirnya diijabkabulkan dan dipersembahkan kepada orang ramai.

Encik Lee berkata pada 1994: "Anda mempunyai pandangan Barat – iaitu anda berkahwin dengan wanita yang anda cintai, atau pandangan Timur – anda cinta wanita yang anda kahwini. Saya cuba padankan kedua-duanya dan saya rasa ia bukan pilihan yang tidak baik."

Puan Lee menjadi tempat mengadu Encik Lee. Pandangan serta penilaiannya, sangat dihargai Encik Lee. Encik Lee jarang kelihatan tanpa beliau, sama ada di sini mahu pun di luar negeri.

Anak Encik Lee, Encik Lee Hsien Yang, berkata: "Mereka ada satu perkongsian. Ia bukan satu hubungan yang bertaraf-taraf. Beliau mendapatkan nasihat daripada ibu saya dan menghormati pandangannya. Hubungan mereka terbuka. Kita semua sukar mencapainya kerana ia memerlukan usaha, tetapi ia mudah bagi mereka."

Encik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo. (Gambar: Ihsan keluarga Lee)

(Gambar: Ihsan keluarga Lee)

Anak sulung Encik Lee, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, berkata pada 2013: "Beliau mendengar nasihat dan pandangannya secara serius, mengenai dasar-dasar dan isu-isu pemerintahan yang beliau membuat keputusan dengan para menteri. 

"Ibu saya juga ada pandangan tentang orang dan cara beliau (Encik Lee) mempersembahkan diri. Ia adalah wajar dan beliau menerimanya. Biasanya, bila anda sudah lama berkahwin, anda menjadi seperti satu sama lain. Namun, bagi mereka, personaliti mereka berbeza. Saya tidak rasa mereka sama walaupun pada usia senja, tapi mereka sangat secocok."

PASANGAN RAPAT

Ramai yang melihat hubungan rapat antara pasangan itu, menerusi cara mereka berinteraksi. Encik Lee dan isteri menjadi contoh pentingnya nilai-nilai kekeluargaan dan ikatan perkahwinan sepanjang hayat.

Mantan Presiden Singapura, S R Nathan, berkata pada 2012: "Choo menjadi sumber sokongan kepada Lee. Saya pasti beliau menyumbang banyak buah fikiran kepada beberapa ucapan Lee. Dan Choo juga penyumbang kepada beberapa perbincangan beliau. 

"Tapi apa yang menakjubkan tentang mereka adalah mereka selalu sahaja dalam perbualan. Ada di antara kita hairan, apa yang dibualkan. Tapi mereka seolah-olah begitu seronok."

Mantan Menteri Ehwal Luar, George Yeo, berkata: "Beliau mempunyai hubungan yang rapat bersama isterinya, sesuatu yang patut dijadikan inspirasi buat kita semua. Beliau (Cik Kwa) hidup untuknya. 

"Sewaktu beberapa lawatan ke luar negara, bila MM (Menteri Pembimbing) ada mesyuarat, beliau akan dibawa keluar bersiar-siar atau membeli-belah. Beliau akan memberitahu kakitangannya, saya mahu pulang bila MM sudah pulang."

Encik Lee Kuan Yew dan isterinya Cik Kwa Geok Choo di Langkawi pada 1989. (Gambar: AFP/ MANUEL CENETA)

(Encik Lee dan Puan Lee di Langkawi pada 1989. Gambar: AFP)

ENCIK LEE TERPUKUL

Pada 26 Oktober 2003, Puan Lee diserang angin ahmar ketika beliau dan Encik Lee berada di London.

Dalam satu wawancara, Encik Lee membayangkan bagaimana kehidupan mereka berubah selepas serangan angin ahmar itu dan bagaimana beliau mengabdikan diri untuk kesejahteraan Puan Lee.

Beliau membacakan Puan Lee puisi setiap malam, dan mengamalkan meditasi untuk menangani tekanan emosi yang beliau alami sedang kesihatan Puan Lee semakin merosot.

Mantan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Ng Kok Song, yang juga pembimbing meditasi Encik Lee, berkata: "Sungguhpun beliau sendiri lemah, Encik Lee cuba sedaya upaya untuk menjaga isterinya.

"Beliau menceritakan bagaimana setiap malam, beliau akan menghabiskan masa sejam atau lebih, berbual dengannya, membacakan akhbar dan puisi-puisi kegemarannya, dan oleh kerana Puan Lee tidak boleh bercakap, beliau rasa bebanannya untuk berbuat demikian.

"Jadi saya sedar, beliau sudah pun rasa kesengsaraan berpisah daripada isterinya. Dan beliau rasa, amalan meditasi akan membantu beliau menangani cabaran itu."

Puan Lee meninggal dunia pada Oktober 2010. Kesengsaraan Encik Lee atas pemergiannya begitu jelas kepada seluruh negara.

Pada hari persemadian Puan Lee, Encik Lee berkata: "Tanpa beliau, saya akan menjadi orang yang berbeza, dengan kehidupan yang berbeza.

"Beliau telah mengabdikan dirinya kepada saya dan anak-anak. Beliau sentiasa di sisi apabila saya memerlukannya. Beliau telah menjalani satu kehidupan yang penuh kemesraan dan pengertian. Saya sepatutnya mendapat ketenangan kerana beliau telah menjalani kehidupan penuh bermakna selama 89 tahun. Namun, pada saat perpisahan ini, hati saya pilu dan sedih."

Ketua ideologi Parti Komunis China, Zheng Bijian, menjalin persahabatan dengan keluarga Lee. Beliau menguruskan seorang jurugambar terkenal untuk mengambil potret pasangan itu ketika mereka melawat China. Beberapa tahun kemudian pada 2010, Encik Lee menghubunginya.

Encik Zheng berkata pada 2013: "Isteri beliau telah meninggal dunia dan beliau sangat merinduinya. Beliau mahukan gambar-gambar itu dipamerkan di setiap bilik di rumahnya. Hubungan yang sangat menyentuhkan."

Permintaan terakhir Puan Lee adalah untuk meletakkan abunya bersama abu Encik Lee agar mereka disatukan, seperti dalam hayat mereka.

BAPA PENYAYANG

Pasangan Lee mempunyai tiga orang anak – dua lelaki dan seorang perempuan. Ketiga-tiganya cemerlang dalam pelajaran dan dapat berdwibahasa dengan berkesan – hasil keutamaan yang diberikan bapa mereka dalam mempelajari Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Mereka pemenang Biasiswa Presiden dan berjaya dalam kerjaya masing-masing. Anak sulung mereka, Encik Lee Hsien Loong menjadi Perdana Menteri pada 2004. Seperti ibu bapanya, beliau juga menerima pendidikan di Universiti Cambridge, dan cemerlang dalam kedua-dua jurusan Matematik dan Sains Komputer.

Encik Lee Hsien Loong teringat bagaimana beliau dan bapanya saling berhubung semasa beliau menuntut di Cambridge, seperti pada zaman kanak-kanaknya.

Encik Lee Hsien Loong berkata: "Beliau bersusah payah berhubung dengan kami dan ketika kami di luar negeri, beliau dan ibu saya akan menulis setiap minggu dan saya akan membalasnya. Surat-surat ibu saya ditulis sendiri.

"Surat-surat beliau (Encik Lee) ditaip dan beliau akan menyemaknya dan menambah beberapa perkara, di mana ada satu atau dua perenggan yang ditulis di bahagian bawah. Surat-surat beliau panjangnya 5-6 muka surat, kadangkala lebih. Saya masih menyimpan kesemuanya."

Anak bongsu Encik Lee, Encik Lee Hsien Yang yang juga menuntut di Cambridge, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif SingTel. Beliau berkata: "Orang sering fikir bahawa beliau sangat garang. Tapi kami tidak pernah berasa sedemikian di rumah. Saya rasa oleh kerana beliau sendiri mempunyai seorang ayah yang garang, beliau tidak mahu berkelakuan sedemikian kepada kami."

Encik Lee Kuan Yew, isteri dan anak-anak. (Gambar: Ihsan keluarga Lee)

(Gambar: Ihsan keluarga Lee)

Anak perempuan Encik Lee, Cik Lee Wei Ling menjadi seorang doktor perubatan dan pengarah Institut Neurosains Kebangsaan Singapura. Pada awalnya, beliau ikut ibu bapanya ke luar negara tetapi beliau seorang yang pemalu.

Rencana-rencana yang beliau tulis untuk akhbar The Straits Times membuka pintu ke alam peribadi Encik Lee dan keluarganya, memberi gambaran tentang dedikasi Encik Lee kepada negara dan rakyat.

Dalam satu rencana, beliau teringat bagaimana ayahnya, meskipun sakit, masih berkeras mahu menghadiri jamuan malam Hari Kebangsaan kawasan undinya, yang tidak pernah beliau gagal sertai.

Ini lebih-lebih lagi kerana mereka akan mengumumkan penubuhan sebuah prasekolah baru yang bertujuan menyemai rasa cinta pada bahasa Mandarin.

Cik Lee Wei Ling menulis: "Bapa saya dihantui dengan beberapa perkara yang beliau percaya adalah asas kepada kesejahteraan Singapura – tapi semuanya tidak dapat menandingi pendidikan dan dwibahasa. Pada usia 90 tahun, beliau masih mendapat bimbingan beberapa guru setiap hari untuk mempertingkat bahasa Mandarin."

Encik Lee mendedikasikan masanya kepada anak-anak, meskipun perihal negara sentiasa memerlukan perhatiannya.

Encik Lee Hsien Loong berkata: "Semasa saya kecil, beliau selalu membawa kami melihat kereta api. Dan kami sering ke Tanglin Halt – ada stesen kereta api di sana dahulu. Kami pergi pada waktu petang dan melihat kereta api datang, bertukar token dengan ketua pengawas stesen. Ia sungguh seronok bagi saya. Umur saya mungkin dalam 5 atau 6 tahun."

Walau betapa penting keluarga sekalipun, Encik Lee tetap mengambil berat tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Semasa lawatan ke Afrika Selatan, beliau dan Puan Lee menerima berita bahawa anak mereka Encik Lee Hsien Loong, yang pada masa itu, Timbalan Perdana Menteri, menghidap barah.

Mantan Menteri Ehwal Luar, George Yeo, menyingkap: "Beliau terlalu sangat bimbang, sehingga doktor perlu memberinya ubat valium kerana tidak boleh tidur. Tetapi apabila beliau menemui para wartawan Afrika Selatan, anda tidak dapat melihat kerunsingannya itu.

"Puan Lee sebagai ibu tentunya amat sedih tetapi kamera tidak tertumpu padanya, tetapi suaminya. Di kalangan kami sesama sendiri, beliau berbincang mengenai soal diagnosis dan prognosis penyakit itu, dan tentang corak kepimpinan generasi masa depan.

"Selepas Cape Town kami menuju ke Port Elizabeth, di mana kami melalui satu tempat dengan pemandangan indah, dan jurukamera mahu mengambil gambar MM berlatar belakangkan laut.

"Lee meminta isterinya bergambar sama. Beliau enggan. Lee kata, ‘marilah.’ Isterinya tetap enggan kerana dia terlalu bersedih tetapi Lee teruskan juga. Kami yang tahu, tahu apa yang tersemat di hati Puan Lee. Tetapi Lee seperti biasa sahaja sehingga kami meninggalkan Afrika Selatan, walaupun dalam hatinya penuh dengan kebimbangan."

Encik Lee Hsien Loong berkata: "Apabila anda memerlukannya, beliau di sisi anda. Semasa krisis, beliaulah orang penting dalam keluarga. Apabila saya menghidap limfoma, apabila isteri saya meninggal dunia, kami bergantung kepada beliau untuk sokongan, bukan dari segi kata-kata sahaja, tapi dengan kehadiran beliau juga." 

ENCIK LEE SEBAGAI SEORANG ABANG

Encik Lee ialah anak sulung Chua Jim Neo dan Lee Chin Koon. Seorang pelajar cemerlang yang mendapat tempat di Cambridge untuk menuntut jurusan undang-undang, beliau menjadi contoh yang baik kepada adik perempuan dan tiga adik lelakinya.

Sebagai anak sulung, Encik Lee menjaga keluarganya semasa Pendudukan Jepun, dan menunjukkan naluri-naluri keusahawanan serta penakatan.

Adik bongsu Encik Lee, Dr Lee Suan Yew, menceritakan bagaimana naluri-naluri ini memberi manfaat kepada keluarga mereka ketika itu: "Beliau tahu ‘duit pisang’ yang kita gelar waktu itu, akan jatuh nilainya bila peperangan berakhir.

"Beliau sengaja beli banyak barang jadi bila peperangan berakhir, beliau akan menjual barang-barang itu dan menukarnya kepada mata wang selat. Dan semasa itu, bila beliau membeli meja billiard, kita berasa sangat seronok."

Sungguhpun Encik Lee menerima pendidikan Barat, dan Inggeris adalah bahasa utama yang digunakan di rumah, beliau berpegang kepada ajaran Confucius.

Khususnya, berkenaan pentingnya keluarga, masyarakat dan negara serta kewajipan seseorang kepada yang lain.

Dr Lee Suan Yew berkata: "Beliau seorang abang yang hebat kerana beliau sangat bertanggungjawab, bijak dan selalu bersedia memberi nasihat pada bila-bila masa kita hendak bertemu dengannya."

Seorang pelajar yang terdorong, Encik Lee meletakkan jangkaan pada adik-adiknya, supaya mengongsi etika kerjanya. Beliau menasihati adiknya itu supaya tekun belajar jika hendak menuntut bidang kedoktoran di England. Nasihat itu diambil serius.

Dr Lee Suan Yew menyingkap: "Beliau kata, jika kamu hendak ke England untuk belajar kedoktoran, kamu mesti bekerja keras kerana persaingan sengit. Ia tidak sengit di Singapura tetapi sangat sengit di UK.

"Jadi beliau menasihati saya supaya belajar dengan gigih dan ini menyedarkan saya. Saya patut berusaha lebih gigih dan ia menguntungkan."

Encik Lee mengutamakan rasa hormat bagi barangan milik orang lain. Beliau menjadi marah jika adik-adiknya meminjam barang-barangnya tanpa meminta izin.

Dr Lee Suan Yew menceritakan: "Satu hari, Dennis memakai kasutnya tanpa izin. Apabila memulangkannya, beliau tidak membersihkan kasut itu, dan abang menjadi sangat marah dan kita semua mendapat tahu tentang perkara itu.

"Mulai hari itu, kita semua sedar yang kita tidak harus menyentuh barang-barang beliau kecuali sudah meminta izin. Tapi beliau tidak lokek. Anda boleh menggunakan barang-barangnya tapi harus minta izin dan memulangkannya ke tempat asal."

Encik Lee berpegang kepada pendirian seperti itu apabila memasuki dunia politik dan mengabdikan hidupnya ke arah mewujudkan sebuah Singapura yang lebih baik, bukan hanya untuk keluarga dan rakan-rakan tetapi untuk rakyat jelata. Pengabdian ini bagaimanapun, menyebabkan beliau kehilangan masa bersama keluarga.

Dr Lee Suan Yew berkata: "Jadi beliau berusaha untuk pastikan kita akan hadiri jamuan malam bersama, iaitu pada malam Tahun Baru Cina. Kita akan sentiasa berusaha untuk berkumpul dan jika beliau ada masa, berkumpul untuk majlis hari lahir."

Encik Lee sentiasa rasa terdorong untuk melindungi adik perempuannya, Cik Monica Lee. Cik Lee berkata rumah mereka selalu dipenuhi rakan-rakan abang-abangnya.

"Saya mempunyai empat abang dan setiap seorang mempunyai sekitar 12 rakan. Jadi apabila mereka datang dan pergi, rumah kami seolah-olah sebuah stesen kereta api pusat. Pintu utama tidak pernah ditutup hinggalah tengah malam. Pintu pagar juga tidak pernah kami tutup," ujarnya.

Keakraban ini dikongsi bersama mantan Menteri Kabinet, Hon Sui Sen. Adik Encik Lee, Encik Freddy Lee, berkata: "Hon Sui Sen ialah teman rapat abang saya. Setiap kali tiba dari Pulau Pinang, beliau akan tinggal bersama kami."

Jelas sekali, keluarga dan rakan-rakan menguasai ruang yang penting dalam kehidupan Encik Lee. Beliau berbesar hati dengan sokongan yang mereka berikan apabila beliau menceburi politik.

RAKAN-RAKAN, TEMAN SEPERJUANGAN

Encik Hon bukan sekadar rakan kabinet Encik Lee, tetapi seorang yang sangat disanjungi beliau.

Encik Hon meninggal dunia pada 1983 dan dalam sebuah perbahasan mengenai gaji menteri, Encik Lee berucap tentang bagaimana kepimpinan generasi pertama, termasuk Encik Hon, didorong oleh minat yang mendalam untuk membina sebuah perkhidmatan awam yang bebas rasuah dan didorong oleh prestasi. Ini, menurut beliau, tidak ternilai harganya.

Ketika berucap di Parlimen pada 1 November 1994, Encik Lee berkata: "Saya beri Dr Goh (Keng Swee) Setiausaha Tetap terbaik, iaitu Hon Sui Sen untuk membantu beliau. Seorang yang pendiam, tidak memberi ucapan-ucapan yang hebat tetapi memahami orang ramai dan tahu keupayaan mereka."

Menteri Luar pertama Singapura, S Rajaratnam merupakan rakan dan pakar bahasa kepada Encik Lee. Beliau boleh dianggap sebagai antara teman rapat semasa Encik Lee baru-baru menceburi politik.

Encik Lee berkata pada 2005: "Saya rasa beliau (Encik S Rajaratnam) seorang rakan yang hebat dan mesra. Dan beliau memberi harapan dalam keadaan-keadaan yang tiada harapan. Apabila anda rasa kedudukan sangat muram, beliau berkata, tidak mengapa, teruskan perjuangan dan itulah ciri-ciri hebat seorang pemimpin."

Terdapat hubungan yang istimewa antara Encik Lee dan rakan-rakan seperjuangannya dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Sejarah menyatukan mereka untuk mengatasi cabaran-cabaran sukar semasa tahun-tahun awal Singapura dibangunkan. Perjuangan menentang komunis dan perkauman membentuk satu ikatan istimewa antara mereka yang tidak dapat dilupakan.

Mantan Menteri Negara, Profesor Madya Koo Tsai Kee, berkata pada 2011: "Beberapa anggota pengasas PAP masih hidup. Beliau sangat rapat dengan mereka dan mereka sangat rapat dengan beliau.

"Mereka yang lebih rapat, para penduduk, pemimpin akar umbi, tahu beliau prihatin pada mereka. Jika tidak, beliau tidak akan menerima sokongan besar."

Saksikan lebih banyak video ucapan belasungkawa dan dokumentari khas mengenai mendiang Encik Lee Kuan Yew di wadah eksklusif kami.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan