Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tugas saya adalah untuk menyatupadukan rakyat, dan menangani sebarang cabaran pada masa akan datang'

Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Negara, Presiden Halimah memberi tumpuan kepada tiga nilai teras - iaitu berbilang kaum, meritokrasi dan pengurusan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2017 07:57PM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:36PM

SINGAPURA: Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Negara, Presiden Halimah memberi tumpuan kepada tiga nilai teras - iaitu berbilang kaum, meritokrasi dan pengurusan.

Presiden Halimah memulakan ucapan beliau dengan memberi tumpuan kepada aspek berbilang kaum - satu nilai teras yang menjadi sorotan sejak kebelakangan ini.

Ia menyusuli beberapa perubahan yang dibuat kepada Perlembagaan Negara demi memastikan anggota dari semua kaum berpeluang menjadi Presiden dari semasa ke semasa.

Mengambil daripada pengalamannya sendiri, salah satunya membesar dalam kejiranan berbilang kaum,

Presiden Halimah berkata langkah itu adalah bukti kewujudan sebuah masyarakat yang rencam tetapi padu di negara ini.

Meskipun Singapura sudah membuat kemajuan besar dalam membangunkan sebuah masyarakat berbilang kaum,

Presiden Halimah menekankan ada lagi ruang yang boleh diperbaiki.

Beliau percaya setiap generasi perlu mengemaskini institusi-institusinya bagi memperkukuhkan nilai-nilai yang dikongsi bersama.

Dan setiap generasi juga, kata beliau, memerlukan golongan yang benar-benar memperjuangkan konsep berbilang kaum dan menegakkan ideal tersebut.

"Saya mengalu-alukan langkah baru-baru ini bagi melindungi identiti berbilang kaum dengan memastikan Presiden kita, secara kerap datang dari setiap kumpulan etnik di sini, termasuk golongan minoriti. Saya tahu ada sebilangan rakyat Singapura yang lebih suka jika perkara itu dapat dicapai tanpa memerlukan Pilihan Raya Khas.

"Saya hormati pandangan mereka. Seperti mereka, saya menantikan hari di mana kita tidak perlu lagi bergantung kepada peruntukan Pilihan Raya Khasdan rakyat Singapura boleh secara semula jadi dan kerap memilih rakyat dari pelbagai kaum sebagai Presiden.

"Hari ini, saya mahu memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa sebagai Presiden anda, saya akan berkhidmat kepada setiap daripada anda, tanpa mengira bangsa, bahasa mahupun fahaman," kata Puan Halimah Yacob dalam ucapan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan itu.

Presiden wanita pertama Singapura itu juga percaya setiap rakyat perlu diberikan peluang mendapatkan pendidikan serta permulaan yang baik dalam kehidupan - tidak kira siapa ibu bapa dan latar belakang mereka.

Menurutnya, beliau tidak akan sampai ke tahapnya sekarang, jika tidak disebabkan oleh sistem meritokrasi di negara ini.

Dalam semangat yang sama, beliau juga percaya adalah penting untuk menurunkan kepada generasi-generasi akan datang sebuah negara yang lebih baik dan sistem yang lebih kukuh.

Ini bermakna melakukan perancangan untuk masa depan dengan membuat pelaburan dalam ekonomi Singapura, rakyat, prasarana, pendidikan dan juga jagaan kesihatannya.

Pada akhirnya, Puan Halimah berkata tugas beliau sebagai Presiden adalah untuk menyatupadukan rakyat dan bekerjasama dengan mereka bagi menangani sebarang cabaran pada masa akan datang.

Beliau menyeru agar semua rakyat bersatu dan berusaha bagi mewariskan negara Singapura yang lebih baik kepada generasi-generasi akan datang.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/NT/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan