Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rancangan ISIS untuk serang S'pura pada 2016 bukanlah yang terakhir, tegas Presiden Halimah Yacob

Dua serangan yang dirancang ISIS terhadap Singapura pada 2016 bukanlah yang terakhir disasarkan ke atas negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua serangan yang dirancang ISIS terhadap Singapura pada 2016 bukanlah yang terakhir disasarkan ke atas negara ini.

Keupayaan kita untuk bangkit semula dengan pantas selepas berlakunya serangan bergantung kepada persiapan setiap rakyat, pertubuhan dan masyarakat.

Mesej tegas ini ditekankan oleh Presiden Halimah Yacob semasa menyampaikan ucapannya di Konvensyen Kumpulan Bina Keyakinan Antara Kaum (IRCC) siang tadi (27 Jan).

Di konvensyen yang diadakan buat julung-julung kalinya itu, Puan Halimah turut menekankan pentingnya untuk setiap rakyat saling mendampingi satu sama lain bagi mengukuhkan lagi hubungan silang kaum dan agama.

"Bagi memupuk semangat saling menghormati, adalah penting bagi rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dan agama untuk mendampingi satu sama lain," kata Puan Halimah.

Beliau menambah: "Kerelaan kita menerima dan mendakapi kaum dan agama yang berbeza menjadi kekuatan kita sebagai sebuah negara."

Dalam ucapannya, Puan Halimah turut menggesa para pemimpin dan relawan pertubuhan agama dan IRCC supaya bekerjasama dan melakar rancangan bagi mempersiapkan rakyat mengharungi krisis.

Ini, menurut beliau, akan menguatkan tekad Singapura menangani krisis-krisis seperti serangan pengganas.

5 SESI DIALOG DIADAKAN, PUPUK PERPADUAN DI S'PURA

Konvensyen siang tadi juga menampilkan lima sesi dialog yang membincangkan isu-isu agama dan radikalisme.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Sesi-sesi dialog terbuka ini bertujuan untuk memupuk perpaduan di Singapura dan menggalak pemahaman silang agama.

"Yang jelas isu-isu seperti radikalisme, terorisme dan sebagainya adalah isu-isu yang memang berlaku pada masyarakat kita dalam konteks kita di Singapura.

"Saya rasa inilah yang menjadi pendorong untuk kita seharusnya memperbanyakkan perbincangan ataupun interaksi bersama kaum dan masyarakat yang lain supaya sebarang salah faham dapat dijelaskan dan juga yang paling penting untuk membina keyakinan, membina kepercayaan antara kita dan masyarakat lain," kata Encik Khairul Anwar Mohd Aznan.

Sesi dialog sebegini juga merupakan satu wadah yang baik untuk masyarakat dari pelbagai agama meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang agama lain.

PELAJAR HAMPIR SERTAI ISIS KONGSI PENGALAMAN

Di konvensyen itu juga, seorang belia warga Indonesia berkongsi pengalaman beliau yang nyaris-nyaris direkrut sebagai anggota ISIS.

Teuku Akbar Maulana, seorang pelajar di Turki tiga tahun lalu, hampir menyeberangi sempadan ke Syria gara-gara terpengaruh dengan ideologi ISIS.

Beliau diselamatkan oleh seorang teman senegara yang selepas itu tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya.

"Saya masih mengingati ibu bapa saya. Sebenarnya, saya tidak mahu membuat mereka menangis, saya mahu membanggakan mereka dan atas sebab itu, saya masih mengingati ibu dan bapa saya dan memikirkannya dengan mendalam, sambil belajar ajaran Islam yang sebenar," kata Encik Teuku.

Konvensyen IRCC yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan IRCC ini berjaya memikat lebih 600 peserta.

MCCY kini merancang untuk meneruskan usaha ini dengan menganjurkan dialog terbuka di peringkat akar umbi bagi mendampingi lebih ramai penduduk di sini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan