Presiden Halimah Yacob

Images
  • halimah (5)
    Gambar Puan Halimah membeli belah di KL dimuat naik pada 31 Dis. (Gambar: Nazerrul Hazwan/ Facebook).

Presiden Halimah Yacob beli belah, jalan-jalan seperti orang biasa di KL

BERITAMediacorp: Presiden Halimah Yacob dilihat berjalan-jalan dan membeli belah di Kuala Lumpur pada Ahad lalu (31 Dis).

Yang menariknya, Presiden Halimah berbuat demikian dengan cara penuh sederhana dan rendah diri walaupun beliau "orang besar".

Gambar beliau semasa berada di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman itu sempat dipetik oleh seorang pengguna Facebook warga Malaysia bernama Nazerrul Hazwan, dan beliau memuat naiknya di akaun Facebook beliau.

Sumber-sumber memaklumkan BERITAMediacorp bahawa Presiden Halimah sedang bercuti di ibu kota Malaysia pada hujung minggu lalu.

Puan ni mungkin orang besar, tapi sangat bersahaja... - Nazerrul Hazwan

Encik Nazerrul sendiri terserempak dengannya ketika berada di satu kawasan beli-belah baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Encik Nazerrul memuat naik gambar Puan Halimah di akaun Facebooknya pada Ahad lalu (31 Dis).

PRESIDEN HALIMAH "PILIH TUDUNG"

Semasa kami hubungi Pejabat Presiden Singapura, ia mengesahkan bahawa Puan Halimah berada di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu atas tujuan peribadi.

Pejabat tersebut bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci tentang lawatannya ke Kuala Lumpur itu.

Presiden Singapura...'simple' sahaja penampilannya. - Asudi Hamdun, pengguna Facebook. 

Dalam catatan Facebook Encik Nazerrul, yang jelas mengenali siapa sebenarnya Puan Halimah, mengatakan bahawa semasa jalan-jalan di KL beliau terserempak dengan Ketua Negara Singapura itu.

"...Nampak "puan" ni pilih tudung. Nak tegur tapi speechless tak tahu nak cakap apa," tulis Encik Nazerrul dalam catatan tersebut.

Puan Halimah menurutnya berjalan "sangat bersahaja" sambil membeli-belah tanpa ditemani pasukan pengawal keselamatan. Ramai tidak menegurnya kerana dipercayai ramai orang di tempat itu tidak mengenalinya.


(Gambar: Nazerrul Hazwan/ Facebook). 

"Puan ni mungkin orang besar, tapi sangat bersahaja. Butik First Lady depan dia pun dia tak masuk, belek tudung RM10 (S$3) tepi jalan je. Keluar jalan simple berlenggang je. Kalau ajak lepak minum kopi pun entah entah dia nak," tambah Encik Nazerrul lagi di Facebook, menggambarkan gaya sederhana Presiden Halimah.

Catatan Facebook Encik Nazerrul menjadi tular di media sosial dan sehingga petang tadi (3 Dis) dikongsi lebih 730 kali dan mendapat lebih 400 komen.

RAMAI NETIZEN PUJI KESEDERHANAAN HALIMAH

Ramai turut memuji Presiden Halimah.

"Presiden Singapura...simple sahaja penampilannya," kata salah seorang pengguna Facebook bernama Asudi Hamdun.

Pengguna Eddy Sophian pula menarik perhatian bahawa "ni maknanya rendah diri tak sombong".

Komen serupa juga dikeluarkan oleh Encik Yong Wai Keat yang berkata "Presiden Singapura berjiwa rakyat dan tidak berlagak."

Ada yang menarik perhatian tentang taraf sebenar Puan Halimah untuk rakyat Malaysia yang tidak mengenali beliau.

"Dia ni ibarat same level dgn yg dipertuan agong malaysia," tulis Mohd Hazreen dalam ruangan komen catatan Facebook tersebut.

Beliau disambut oleh Mohd Sanny Dan yang menyatakan: "Juga setaraf dengan Maharaja Jepun." 

- BERITAMediacorp/AQ/aq

Top