Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah Yacob akan satukan rakyat S'pura, kata PM Lee

Sebagai ketua negara, Halimah Yacob akan menyatukan Singapura, mengukuhkan jati diri negara ini dan menjadi Presiden bagi semua rakyat Singapura. Demikian  menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di upacara angkat sumpah jawatan Puan Halimah selaku Presiden di Istana malam ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2017 07:31PM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:43PM

SINGAPURA: Sebagai ketua negara, Halimah Yacob akan menyatukan Singapura, mengukuhkan jati diri negara ini dan menjadi Presiden bagi semua rakyat Singapura. Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di upacara angkat sumpah jawatan Puan Halimah selaku Presiden di Istana malam ini tadi (14 Sep).

Encik Lee mengucapkan tahniah kepada Puan Halimah dan mengalu-alukan angkat sumpah jawatannya itu sebagai "detik penting dalam sejarah kita".

Beliau adalah presiden wanita pertama Singapura dan juga Melayu pertama untuk menjadi ketua negara sejak Presiden pertama negara ini, Yusof Ishak.

Merujuk kepada kerja-kerja Puan Halimah sebagai seorang anggota kesatuan, aktivis sosial dan pemimpin masyarakat, Anggota Parlimen, Menteri Negara dan Speaker Parlimen, Encik Lee berkata: "Puan Presiden, anda membawa jawatan Presiden kepada keprihatinan yang menyentuh perasaan rakyat jelata anda, semangat kuat melaksanakan tugas, dan rekod cemerlang dalam perkhidmatan awam... Pengalaman luas anda dalam perkhidmatan awam sudahpun mempersiapkan anda bagi tanggungjawab baru anda."

Bagaimanapun kata PM Lee, terdapat satu perbezaan ketara antara menjadi presiden dan jawatan-jawatan beliau sebelum ini.

"Sehingga kini, anda sudah melakukan perjuangan yang mulia - dalam kesatuan, dalam arena politik, dalam parti pemerintah.

"Kini sebagai Presiden, anda tidak harus berpihak kepada mana-mana parti dan bebas dari sebarang pegangan politik," tegas Encik Lee.

"Sebagai Presiden, anda harus menjadi tokoh yang menyatukan negara dan mewakili semua rakyat Singapura. Saya yakin bahawa anda akan menyesuaikan diri ke dalam peranan baru ini, dan menjalankannya dengan cemerlang."

KISAH PUAN HALIMAH "CERMINAN KISAH S'PURA"

Kisah hidup Puan Halimah mencerminkan kisah Singapura, menurut Encik Lee, sambil menarik perhatian kepada kehidupan awalnya yang sederhana dan tahun-tahun awalnya dalam mengharungi "kepayahan dan kehilangan".

"Anda berjaya juga akhirnya, tetapi anda tidak pernah lupa pada kemiskinan sewaktu zaman kanak-kanak anda. Anda bertungkus-lumus untuk membantu mereka yang memerlukan, dan membolehkan lebih ramai yang lain untuk berjaya sebagaimana yang telah anda lakukan.

"Kisah anda mencerminkan Kisah Singapura - bagaimana kita sudah sampai ke tahap ini bersama-sama, dan apa cita-cita kita sebagai satu negara," kata Encik Lee.

Menggariskan besarnya pengertian upacara angkat sumpah Puan Halimah ini, Encik Lee berkata: "Hari ini, kita menegaskan lagi ikrar yang dibuat Encik Lee Kuan Yew pada 9 Ogos 1965, pada detik-detik awal kemerdekaan kita, bahawa ini bukanlah sebuah negara Melayu, negara Cina mahupun negara India.

Setiap rakyat akan memiliki tempatnya, sama rata, tanpa mengira bahasa, budaya, agama.

"Puan Presiden, separuh abad kemudian, anda melambangkan, dengan ketara, bahawa Singapura akan terus berusaha dan berdaya tahan untuk mencapai impian itu.

"Ini menjadi lebih genting lagi melihatkan kepada trend-trend di rantau ini dan di seluruh dunia. Dalam era di mana nasionalisme etnik kian bangkit, pengganasan pelampau menuai sikap tidak percaya dan kebimbangan, dan ideologi eksklusif melebarkan jurang masyarakat dan agama. Di sini di Singapura, kami akan menolak arus ini.

"Di sini, sebilangan besar penduduk akan melakukan usaha lebih bagi memastikan bahawa kaum minoriti menikmati hak yang sama rata. Itu adalah sesuatu yang istimewa, khas dan bermakna," katanya.

"Puan Presiden, Encik Yusof Ishak adalah Presiden bagi semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, bahasa, agama atau jantina.

"Anda juga akan menyatukan kita semua. Anda juga akan mengukuhkan jati diri negara. Anda juga akan menjadi Presiden kita."

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan