Presiden Halimah Yacob

Images
  • halimah water
    Puan Halimah berikrar untuk menjimatkan air demi Singapura yang mampan, semasa Hari Air Sedunia Singapura di Bendungan Marina. (Gambar: Halimah Yacob/ Facebook)

Presiden Halimah tunjuk teladan: "Saya berikrar untuk menjimatkan air demi Singapura yang mampan"

SINGAPURA: Mencapai visi keselamatan bekalan air di negara ini tidak hanya bermakna mempunyai bekalan air yang berterusan.

Ia juga memerlukan tindakan dan komitmen semua rakyat tempatan bagi mengurus permintaan air.

Presiden Halimah Yacob berkata demikian hari ini (3 Mar) di acara pelancaran kegiatan selama sebulan menggalak penjimatan air.

Menulis di laman Facebook beliau kemudian, Presiden Halimah memberi isyarat UNTUK memimpin menerusi teladan.

"Pagi tadi, saya berikrar untuk menjimatkan air demi Singapura yang mampan, semasa Hari Air Sedunia Singapura di Marina Barrage...Sebagaimana titisan-titisan air bergabung untuk membentuk lautan besar, kita semua memainkan peranan dalam memulihara air.

'SETIAP TITIK AIR BERHARGA'

'Setiap titik air berharga' - itulah cogan kata yang ditekankan di acara perasmian Hari Air Sedunia Singapura, di samping pelbagai panduan penjimatan air.

Panduan yang dikongi termasuk mandi tidak terlalu lama dan basuh baju apabila sudah betul-betul penuh.

Kempen tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya penjimatan air. Mesejnya menjadi lebih penting tahun ini yang merupakan Tahun Bertindak Untuk Iklim bagi Singapura.

PUB JALANKAN PELBAGAI USAHA GALAK MASYARAKAT JIMAT AIR

Presiden Halimah menarik perhatian kepada usaha-usaha yang dilakukan agensi air kebangsaan PUB dalam menggalak masyarakat menjimatkan penggunaan air.

Daripada sekolah-sekolah yang mengadakan latihan mencatu air, sehinggalah kepada menetapkan garis panduan bagi penggunaan air yang cekap untuk bangunan-bangunan dan sektor binaan.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mengurangkan penggunaan air dalam kegiatan harian seperti mandi dan mencuci pakaian.

"Ramai mungkin tidak sedar tetapi mengambil langkah yang kecil untuk mengurangkan penggunaan air bagi kegiatan-kegiatan sebegini boleh menjadi sumbangan yang besar kepada usaha pemuliharaan air secara keseluruhannya," kata Presiden Halimah.

Sekitar 4,000 peserta dari sekitar 50 pertubuhan dan institusi mengambil bahagian dalam acara ini. 

- CNA/NF/aq

Top