Presiden Halimah Yacob

Images
  • iftar

Presiden Halimah berbuka puasa dengan penduduk berbilang kaum Barat Laut

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menyertai para penduduk di kawasan Barat Laut untuk berbuka puasa di satu acara khas, Iftar Harmoni, malam ini (3 Jun).

Lebih 5,000 penduduk, rakan kongsi masyarakat dan wakil-wakil badan agama menghadiri acara yang berlangsung di Khatib ini, di mana mereka dapat sama-sama menikmati juadah berbuka puasa dengan Puan Halimah serta suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee.

Acara ini menghimpunkan para penduduk dan Anggota Parlimen dari GRC Nee Soon, Sembawang, Marsiling-Yew Tee dan Holland-Bukit Timah bagi satu sambutan besar-besaran yang termasuk persembahan serta ceramah motivasi.

"Kita harus menyediakan lebih banyak wadah untuk memahami antara satu sama lain dan juga untuk menguatkan kepercayaan dan juga saling menghormati antara satu sama lain. Ini juga meningkatkan ataupun membuka ruang persahabatan di kalangan penduduk-penduduk kita di Singapura", kata Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, AP GRC Nee Soon.

Dibuka kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, tujuannya untuk memupuk keharmonian silang agama dan budaya. Puan Halimah juga menghulurkan sumbangan wang raya kepada para penerima terpilih.

Jamuan iftar malam ini disediakan para relawan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim. 

- BERITAMediacorp/FZ/na

Top