Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan mudah puas hati meski S'pura "tunjuk prestasi baik", gesa Presiden Halimah

Puan Halimah Yacob menyampaikan Ucapan Presiden yang pertama sejak beliau menyandang jawatan sebagai ketua negara pada September 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan mudah puas hati meski S'pura "tunjuk prestasi baik", gesa Presiden Halimah

Gambar fail: Diane Leow

Diterbitkan : 07 May 2018 07:45PM Dikemas Kini : 08 May 2018 01:03AM

SINGAPURA: Puan Halimah Yacob menyampaikan Ucapan Presiden yang pertama sejak beliau menyandang jawatan sebagai ketua negara pada September 2017.

Ucapannya itu disampaikan di pembukaan sesi kedua Parlimen ke-13 hari ini (7 Mei).

Menyentuh tentang kemajuan yang dicapai dalam separuh pertama penggal pemerintah, Puan Halimah berkata Singapura "menunjukkan prestasi yang baik" dan pemerintah berjaya menjalankan tugasan yang mahu dilaksanakan.

Beliau merujuk kepada hubungan muhibah dengan negara-negara lain serta keharmonian sosial dan prospek ekonomi yang cerah.

"Singapura mengharungi cabaran dengan tenang di tengah-tengah persekitaran luar yang tidak menentu. Kita mempergiatkan usaha mendampingi negara-negara jiran serta kuasa-kuasa besar.

"Kita memperjuangkan perdagangan bebas di tengah-tengah dasar perlindungan yang semakin berleluasa dan membantu memuktamadkan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP). Kita (juga) terus mengutamakan keseimbangan dan perpaduan ASEAN," kata Puan Halimah.

Beliau menambah: "Kita juga menunjukkan prestasi yang baik di dalam negeri. Ekonomi mencatat pertumbuhan stabil, lebih-lebih lagi pada tahun 2017 dan kita berharap ia berterusan pada 2018. Gaji sebenar juga semakin meningkat bagi semua kumpulan pendapatan. Kita menunjukkan kemajuan dalam usaha memperbaharui ekonomi kita. Pemerintah, industri dan kesatuan pula saling bekerjasama untuk melaksanakan saranan-saranan yang diusulkan oleh Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE)."

Sekalipun begitu Presiden Halimah menekankan bahawa Singapura tidak boleh bertanggapan bahawa ia akan terus mencatat kejayaan.

Beliau berkata Singapura perlu menangani perkembangan-perkembangan penting baik dari luar mahupun dalam negeri.

Ini termasuk perubahan-perubahan strategik yang disebabkan oleh kebangkitan Asia, ancaman pengganasan dan isu-isu sosial di dalam negeri.

"Kita (dapat) melihat sendiri ketidaksamarataan pendapatan dan jurang masyarakat memecahkan perpaduan sosial di banyak negara. Jika perkara yang sama berlaku di sini, politik kita akan goyah, masyarakat kita akan berpecah belah dan perpaduan negara akan semakin luntur.

"Kita mesti menangani ketidaksamarataan, khususnya permulaan kehidupan yang tidak sama rata dalam kalangan kanak-kanak dari latar belakang keluarga yang berbeza, sebelum isu itu berakar umbi dalam masyarakat kita. Polarisasi agama, xenofobia dan sikap nasionalisme ekstrem juga boleh menjadi faktor yang memecahbelahkan, yang semakin genting di banyak bahagian di dunia. Ruang siber pula digunakan sebagai wadah menyebarkan kepalsuan dan maklumat yang tidak tepat serta menimbulkan kesangsian dalam kalangan masyarakat. Kita tidak boleh sekali-kali membiarkan negara kita tunduk kepada faktor-faktor seperti itu."

JANGAN MUDAH BERPUAS HATI

Presiden Halimah turut memberi amaran terhadap sikap mudah berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai sejauh ini.

Beliau berkata pemimpin generasi keempat Singapura sedang dibentuk dan akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Beliau menambah, seperti para pemimpin terdahulu, pemimpin generasi keempat ini akan menjunjung tinggi nilai-nilai asas negara seperti berbilang kaum, meritokrasi dan sikap inklusif, di samping meneruskan fasa pembangunan negara seterusnya.

"Para pemimpin baru akur bahawa Singapura sedang dalam proses pembangunan peringkat tinggi. Kita mungkin merasakan seolah-olah kita akan mengalami kerugian. Kita juga mungkin tidak tergerak untuk membuat perubahan-perubahan besar dan sebaliknya setakat berpuas hati dengan perubahan-perubahan kecil saja.

"Ini adalah satu pendekatan yang salah. Singapura sebenarnya berpotensi besar. Negara ini adalah nadi global yang sungguh bertenaga di tengah-tengah Asia yang berkembang pesat; ia adalah sebuah negara berbilang budaya dengan penduduk dari pelbagai latar belakang yang hidup dengan harmoni. Kita mesti meneruskan semangat para perintis kita dan sentiasa berasa terdorong untuk melakukan lebih baik lagi, menjangkaui pencapaian generasi sebelumnya.

TEROKA PELUANG BARU, KERJASMA DENGAN PIHAK LAIN

Presiden Halimah Yacob berkata untuk mengukuhkan kedudukan Singapura di persada antarabangsa, ini bermakna kita harus mempertahankan kepentingan utama kita dan bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam perkongsian yang saling menguntungkan.

Sebagai sebuah bandar global yang kecil, Singapura mesti menegakkan undang-undang antarabangsa serta memperjuangkan perdagangan bebas.

Presiden Halimah juga berkata Singapura perlu meneroka peluang-peluang baru untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain.

"Kita mahu menjalin hubungan muhibah dengan sebanyak mungkin negara. Khususnya, kami akan berusaha menjalin hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan juga China. Kehadiran Amerika Syarikat sejak 70 tahun lalu memantapkan rantau in. Ia kekal sebagai rakan strategik yang penting bagi Singapura.

"Kami bekerjasama dalam pelbagai bidang dan akan mempertingkat lagi kerjasama ini pada tahun-tahun mendatang. Hubungan kita dengan China pula mendalam dan produktif. Spanjang perubahan dan keterbukaan China selama empat dekad, para pemimpin kedua-dua negara saling bekerjasama dari generasi ke generasi," kata Presiden Halimah.

Beliau menambah: "Kita akan terus bekerjasama dengan China dalam fasa pembangunan seterusnya, termasuk Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera."

PEMERINTAH SEDIA BERPANDANGAN JAUH 

Satu lagi keutamaan pemerintah adalah untuk terus membangunkan prasana negara.

Menurut Puan Halimah, rakyat Singapura mahu tinggal dalam sebuah bandar bertaraf duna dan kediaman yang mampan.

Oleh itu, Pemerintah bersedia untuk berpandangan jauh dari segi perancangan dan pembangunan bandar.

"Kami sedang memperbaharui estet HDB dan membuat pelaburan besar dalam prasarana baru MRT. Pembangunan mampan adalah pertimbangan utama. Kita akan menjadikan Singapura sebuah bandar yang tidak lagi bergantung kepada kereta, dengan ruang-ruang awam yang bertenaga serta laluan pejalan kaki dan basikal," ujar Puan Halimah.

"Kita juga bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk mewujudkan persekitaran yang menghijau dan lebih baik, sebuah Bandar dalam Taman. Kita akan memainkan peranan untuk mengurangkan pengeluaran karbon," tambah beliau.

Presiden Halimah juga berkata, Singapura mesti terus menjadi sebuah bandar yang menawarkan peluang-peluang baru untuk rakyatnya.

Untuk memastikan rakyat Singapura boleh mencapai impian mereka dan kehidupan penuh bermakna, kita mesti menyesuaikan diri, mendakapi teknologi dan terus menajamkan kemahiran.

"Kita akan terus memperbaharui ekonomi supaya ia terus produktif, berdaya usaha dan berinovasi. Pelaburan kita dalam Kajian dan Pengembangan (R&D) membuahkan hasil dan ini membolehkan kita memanfaatkan teknologi dan pendigitalan; mewujudkan sebuah Negara Bijak; dan mengilhamkan, menguji dan memasarkan produk serta khidmat baru.

"Ekosistem inovasi ini benar-benar akan menyokong keusahawanan dan terus merangsang syarikat-syarikat pemula - dalam kecerdasan buatan (AI), FinTech, pengilangan lanjutan, biosains dan bidang-bidang lain.

"Akhir sekali, kita akan membuat pelaburan besar bagi modal insan. Dalam era gangguan teknologi ini, rakyat Singapura harus lebih fleksibel dan menyesuaikan diri, ghairah menimba ilmu dan berani meneroka peluang di luar negara. Kita sedang mengubah cara kita mendidik dan mempersiapkan rakyat untuk menjalani kehidupan, mengurangkan penekanan terhadap pencapaian akademik dengan menumpukan kepada kemahiran serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran luar yang dinamik."

PUPUK MASYARAKAT BERSATU PADU, PENYAYANG, INKLUSIF

Presiden Halimah juga menekankan perlunya Singapura untuk memupuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, penyayang dan inklusif.

Beliau berkata Singapura perlu membangunkan budaya di mana mereka yang lebih berkemampuan meluangkan masa, bakat dan sumber untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Presiden Halimah juga menyeru supaya lebih banyak laluan kemajuan dibuka dan Singapura meraikan pelbagai kejayaan agar tiada yang ketinggalan.

"Kita harus bersungguh-sungguh menangani ketidaksamarataan. Kita mesti menyediakan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukannya - dalam perumahan, pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan - supaya meritokrasi dapat benar-benar diamalkan.

"Hanya dengan cara itu, setiap orang boleh berjaya menerusi kerja keras, bakat dan kemahiran, tanpa mengira latar belakang mereka. Kita perlu memberi tumpuan khusus kepada penduduk yang semakin menua. Kita akan terus membantu pekerja lanjut usia terus bekerja, memperoleh gaji yang adil dan keupayaan untuk menabung, supaya mereka boleh meniti usia senja dengan tenang dan penuh hormat," ujar Presiden Halimah.

Beliau menambah, Pemerintah akan memainkan peranannya untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen rakyat Singapura.

Pemerintah juga akan memberikan lebih banyak sokongan buat keluarga-keluarga muda dan menjadikan Singapura sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak; membantu keluarga menangani kos sara hidup; dan membolehkan mereka yang kurang upaya menjalani kehidupan yang aktif dan bermakna.

Dalam ucapannya, Puan Halimah berkata rakyat Singapura mahu memupuk semangat kenegaraan.

Inilah sebabnya Singapura bersedia untuk memperluaskan ruang yang digunakan bersama, di samping memelihara dan mengamalkan budaya etnik masing-masing.

Beliau juga berkata Perkhidmatan Negara menjadi institusi utama bagi pembangunan negara dan sebahagian besar identiti Singapura.

"Dengan hidup dan bekerja bahu-membahu, mengharungi suka duka bersama, kerencaman budaya dan tradisi kita kini saling terkait. Kita tidak menjangkakannya pada 8 Ogos 1965, namun kita sudah mengecap kejayaan dalam memupuk identiti Singapura yang tersendiri, semangat kekitaan yang menjangkaui identiti kaum dan agama. Ini masih lagi sesuatu yang sedang diusahakan, namun kita sudah melangkah jauh.

"Sambutan 200 Tahun Singapura pada 2019 - 200 tahun selepas Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di pulau ini - akan menjadi peluang untuk kita menyusuri sejarah kita dan menguatkan inspirasi bagi mengharungi masa depan. Kita akan menghayati makna sebenar menjadi rakyat Singapura dan juga nilai-nilai yang menyatukan kita semua," tambah Presiden Halimah.

BAKAR SEMANGAT, GEMBELING TENAGA RAKYAT MUDA S'PURA

Akhir sekali, Puan Halimah berkata soal kepimpinan akan terus membezakan Singapura dalam keadaan dunia yang tidak menentu.

Beliau menambah para pemimpin generasi keempat akan bekerjasama dengan rakyat untuk menyahut cabaran-cabaran mendatang.

Dengan generasi muda Singapura yang semakin matang, beliau juga menggariskan apa yang perlu dilakukan untuk mewajarkan hak kepimpinan mereka.

"Para pemimpin generasi keempat mesti berupaya membakar semangat dan menggembeling tenaga rakyat muda Singapura. Mereka perlu benar-benar mewakili rakyat; menerima perbezaan pandangan dan idea; dan dalam pada itu jelas dengan tindakan yang perlu dilaksanakan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

"Tugas mereka jelas, tetapi laluannya bukan mudah. Akan ada masanya mereka berdepan kesulitan dan mesti menyerlahkan kepimpinan dan kecekalan mereka sebagai pemimpin. Akan ada masanya juga apabila mereka perlu berpegang teguh kepada prinsip dan ideal semasa mencari penyelesaian praktikal. Mereka perlu mendengar pandangan dan memahami citarasa rakyat dan menerusi kata-kata dan perilaku, menunjukkan bahawa mereka mendengar; namun tidak gentar untuk memimpin dan menyepadukan pandangan awam yang berbeza untuk sama-sama menyokong dasar-dasar yang rumit demi kepentingan jangka panjang Singapura," ujar Puan Halimah.

"Inilah caranya mereka akan mewajarkan hak untuk memimpin rakyat. Hak itu bukan diwarisi begitu saja. Keyakinan antara rakyat dengan pemimpin bukan setakat diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Sebaliknya, setiap generasi memerlukan rakyat dan pemimpin saling berganding bahu, mengharungi cabaran bersama dan membentuk sendiri hubungan itu.

"Selepas 52 tahun, kita masih belum selesai membangunkan negara. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, perjalanan dari sebuah negara dunia ketiga, secara bertahap-tahap semakin pudar dari ingatan kita sedang generasi baru pemimpin mengorak langkah membawa kita ke peringkat selanjutnya.

"Dilahirkan dan kemudian membesar di Singapura pasca merdeka, mereka harus bertekad untuk membuka lembaran baru, sedia maklum bahawa untuk menjadi rakyat Singapura - "rakyat yang bersatu padu, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama" - adalah satu komitmen dan pilihan.

"Bersama-sama, generasi baru akan terus memastikan Singapura menjadi sebuah negara yang cukup luar biasa." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan