Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasrat lulusan APSN jamu Presiden Halimah tercapai

Alangkah gembiranya hati Paul Simon apabila menerima undangan Puan Halimah Yacob sendiri, untuk memasak di Istana dan menjamu Presiden Singapura itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasrat lulusan APSN jamu Presiden Halimah tercapai

Puan Halimah Yacob mengundang Paul Simon untuk masak dan menjamu selera bersamanya. (Gambar: petikan dari video)

SINGAPURA: Impian seorang lulusan Sekolah Tinggi Delta APSN untuk memasak dan kemudian menghidangkan masakannya kepada Presiden Singapura menjadi kenyataan hari ini (24 Jan).

Alangkah gembiranya hati Paul Simon apabila menerima undangan Puan Halimah Yacob sendiri, untuk memasak di Istana dan menjamu Presiden Singapura itu.

Menerusi laman Facebooknya, Puan Halimah memuat naik rakaman video yang menunjukkan pengalaman Simon di Istana.

Menurut catatan Puan Halimah, beliau mengundang Simon setelah mendapat tahu lulusan APSN itu menanam hasrat memasak untuk Presiden.

Di Istana, Puan Halimah dijamu dengan tiga hidangan enak, salada salsa mangga, briyani ayam dan juga pencuci mulut sago jagung manis.

"Selepas menerima panggilan (dari Istana) saya begitu ghairah. Orang pertama yang saya beritahu adalah ibu saya. Ibu berkata kepada saya 'Teruskan, hidangan untuk beliau (Puan Halimah)'. Jadi, dengan bersungguh-sungguh saya rancang apa yang saya mahu masakkan dari hati saya," kata Simon.

"Saya agak gementar tapi apabila saya mula memasak saya katakan pada diri saya 'Ok, lakukan saja'," tambah Simon, yang sekarang bertugas sebagai cef di Rasa Sentosa Resort & Spa Shangri-La.

Briyani yang dimasakkan untuk Puan Halimah juga bukan sembarangan.

Menurut Simon, ia merupakan resepi turun-temurun ibu beliau dan briyani itu dihidangkan lengkap dengan acar nanas serta ayam masala.

Menerusi video tersebut Puan Halimah boleh dilihat meninjau-ninjau dapur di mana Simon memasak. Malah, aroma masakan Simon itu membuatkan Puan Halimah tertarik dan berkata: "Baunya sedap!"

Ternyata masakan Simon tidak mengecewakan.

Puan Halimah turut memberi komen positif mengenai hidangan yang dinikmatinya itu.

Lebih menarik lagi, Puan Halimah turut mempelawa Simon supaya duduk dan makan bersama beliau sambil berbual-bual.

Masyarakat siber memuji Puan Halimah sebagai Presiden yang benar-benar berjiwa rakyat kerana beliau begitu mesra mendampingi masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

Komen salah seorang warga siber, Noor Adilah, berbunyi: "Terima kasih Puan Presiden kerana memberikan peluang baik seperti ini kepada mereka yang berkeperluan khas."

Seorang lagi warga siber, Muthu Krishnan pula berkata: "Singapura bangga mempunyai Presiden seperti anda. Anda benar-benar mendampingi masyarakat dari pelbagai latar belakang. Hebat. Terima kasih."

APSN adalah Persatuan bagi Orang-Orang Berkeperluan Khas, yang membantu para pelatih untuk mendapatkan kemahiran kejuruan dan sosial, supaya mereka boleh menyumbang kepada tenaga kerja.

APSN juga merupakan tempat pertama yang dipilih Puan Halimah untuk melakukan lawatan awam sehari selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden.

Sebahagian warga siber juga menyuarakan hasrat mereka untuk memasak buat Puan Halimah.

Yang pasti, salah satu impian Simon sudah tercapai dan beliau boleh berbangga dan mengatakan 'Saya pernah memasak untuk Presiden'.

"Saya berbesar hati dapat memasak untuk Puan Halimah dan pengalaman ini menakjubkan. Saya bangga yang Puan Halimah menyukai hidangan yang saya masakkan." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan