Presiden Halimah Yacob

Images
  • singapore
    Gambar fail para pekerja di kawasan Raffles Place. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Hak untuk memimpin 'tidak boleh diwarisi', mesej Presiden Halimah kepada pemimpin generasi keempat

SINGAPURA: Laluan bagi generasi pemimpin Singapura seterusnya tidak mudah tetapi tugas mereka jelas, kata Presiden Halimah Yacob hari ini (7 Mei).

Semasa pembukaan sesi kedua Parlimen ke-13, Puan Halimah berkata akan ada masa-masa sukar, di mana mereka harus menyerlahkan kepimpinan dan ketokohan mereka. Akan terdapat "detik di mana mereka harus berpendirian teguh dengan prinsip dan ideal sementara mencari huraian-huraian praktikal".

"Mereka perlu mendengar pandangan dan memahami perasaan orang ramai, dan menerusi kata-kata dan perbuatan, mereka harus menunjukkan bahawa mereka sedia mendengar, tetapi tidak gentar untuk memimpin dan menyepadukan pandangan awam yang berbeza untuk menyokong dasar-dasar rumit tetapi demi kepentingan jangka panjang Singapura," kata beliau.

"Inilah cara untuk mereka mewajarkan hak untuk memimpin," tambah beliau. "Hak ini tidak boleh diwarisi."

Bagi setiap generasi, kata beliau, rakyat dan pemimpin perlukan kerjasama, mengharungi cabaran bersama dan memperkukuhkan jalinan hubungan antara mereka.

KEPIMPINAN AKAN TERUS MEMBEZAKAN KELEBIHAN YANG KETARA

Mengulas tentang cabaran-cabaran hari ini, pemimpin generasi keempat akan bekerjasama dengan rakyat Singapura, kata Puan Halimah, sambil menambah bahawa kepimpinan itu akan terus membantu Singapura dalam keadaan dunia yang tidak menentu.

Generasi baru rakyat Singapura - dengan impian, harapan dan keprihatinan yang berbeza daripada ibu bapa atau nenek moyang mereka - semakin dewasa, kata beliau.

"Mereka mengimpikan masa depan yang cerah dan ingin mencurahkan tenaga mereka untuk meneroka bidang baru dan membangunkan dunia yang lebih baik lagi," kata beliau. "Mereka ingin melihat ibu bapa mereka menua dengan tenang. Mereka inginkan masyarakat yang lebih adil dan saksama."

"Lebih penting lagi, mereka ghairah untuk memikul tanggungjawab, sama-sama membangunkan Singapura dan berkhidmat kepada masyarakat dan negara," tambah beliau.

Oleh itu, para pemimpin baru ini, mesti "mendorong semangat dan tenaga rakyat muda Singapura". "Mereka mesti berupaya membakar semangat dan menggembeling tenaga rakyat muda, mendakap pandangan dan idea yang pelbagai dan mencarta hala tuju yang jelas," kata beliau.

LANGKAH SETERUSNYA BAGI SINGAPURA?

Puan Halimah menarik perhatian bahawa pasukan kepimpinan generasi keempat sedang dibentuk dan mereka akan menggalas tanggungjawab lebih besar. Mereka juga perlu berdepan dengan persoalan: "Apakah seterusnya bagi Singapura?"

"Seperti pemimpin terdahulu, pemimpin generasi keempat akan menjunjung tinggi nilai-nilai asas - berbilang kaum, meritokrasi, bebas rasuah, berdikari, inklusif dan keterbukaan kepada globalisasi," kata beliau.

"Mereka perlu memahami kewujudan Singapura," kata beliau. "Sebuah negara kecil, berbilang budaya, tanpa sumber-sumber semula jadi, di tengah-tengah Asia Tenggara, mesti berdikari atas tekad dan kebijaksanaan rakyatnya sendiri."

Dalam upacan beliau, Puan Halimah menggariskan beberapa "pembangunan penting" baik di luar dan dalam negeri mesti difahami dan ditangani. Ini termasuk ketegangan di rantau ini, pengganasan serta ketidaksamarataan dan jurang masyarakat di dalam negeri.

Beliau turut mendedahkan bahawa ini semua boleh menjejas Singapura "menerusi pelbagai cara yang tidak diduga".

"Kita perlu memantaunya dengan teliti dan menanganinya dengan cekap dan maju bersama," kata beliau. "Kita sudahpun mempunyai dasar-dasar dan program-program untuk menyokong perubahan-perubahan tersebut. Tugasan ini akan menjadi tumpuan kita menjangkaui penggal Pemerintah sekarang."

Puan Halimah menarik perharian bahawa bukti kepimpinan baru dalam melakarkan dasar-dasar awam semakin menyerlah. Lama kelamaan, kata beliau, dasar-dasar ini akan diperjelaskan, diperhalusi dan akan membuahkan hasil.  

- CNA/FA/fa

Top