Skip to main content

Iklan

Iklan

BERITA EKSTRA: Ucapan penuh PM Lee di upacara pelantikan Presiden Halimah Yacob

Berikut ini kami bawakan ucapan penuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa upacara mengangkat sumpah jawatan bagi Presiden Halimah Yacob - wanita pertama Singapura untuk memegang jawatan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA EKSTRA: Ucapan penuh PM Lee di upacara pelantikan Presiden Halimah Yacob
Diterbitkan : 14 Sep 2017 11:31PM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:35PM

SINGAPURA: Berikut ini kami bawakan ucapan penuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa upacara mengangkat sumpah jawatan bagi Presiden Halimah Yacob - wanita pertama Singapura untuk memegang jawatan tersebut.

Puan Halimah adalah Presiden ke-8 Singapura dan orang Melayu kedua dilantik menjadi Presiden selepas Presiden Yusof Ishak.

Ini ucapan penuh PM Lee pada hari bersejarah itu (14 Sep):

Puan Presiden dan Encik Mohammed Alhabshee,
Hakim Besar,
Tetamu-tetamu yang dihormati,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kami berada di sini petang ini untuk menyaksikan perasmian Puan Halimah Yacob sebagai Presiden ke-8 Republik Singapura.

Puan Presiden, tahniah atas pelantikan anda. Kisah anda mencerminkan Kisah Singapura - bagaimana kita sudah sampai ke tahap ini bersama-sama, dan cita-cita kita sebagai satu negara.

Anda mengharungi pelbagai cabaran sukar dalam kehidupan anda. Tahun-tahun awal anda penuh dengan kepayahan dan kehilangan. Tetapi anda belajar dan bekerja keras, untuk meraih pendidikan yang baik dan pekerjaan tetap untuk membantu keluarga anda.

Anda berjaya juga akhirnya, tetapi anda tidak pernah lupa pada kemiskinan semasa zaman kanak-kanak anda. Anda bertungkus-lumus untuk membantu mereka yang memerlukan, dan membolehkan ramai yang lain untuk berjaya sebagaimana yang telah anda lakukan.

Kisah hidup anda melambangkan jenis masyarakat yang ingin kita capai, dan mengingatkan kita bahawa Kisah Singapura adalah sesuatu yang berbentuk harapan dan peluang.

Di Singapura, tidak kira di mana pun kita bermula, jika kita bekerja keras, kita akan memiliki peluang yang cukup untuk cemerlang; dan apabila kita berjaya, kita kemudian mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang lain di sekeliling kita.

Puan Presiden, anda membawa kepada jawatan Presiden ini keprihatinan yang menyentuh jiwa rakyat jelata anda, semangat kuat untuk melaksanakan tugas, dan rekod cemerlang dalam perkhidmatan awam.

Sebagai seorang anggota kesatuan, anda menjulang kepentingan para pekerja. Sebagai seorang aktivis dan pemimpin masyarakat, anda menjaga kebajikan mereka yang kurang bernasib baik, dan kumpulan-kumpulan yang memerlukan bantuan khas.

Sebagai Anggota Parlimen, anda bekerjasama dengan para penduduk untuk menghuraikan masalah mereka dan menyatukan penduduk untuk membina sebuah masyarakat.

Sebagai Menteri Negara, anda bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan belia untuk mendampingi tenaga mereka dan idealisme, meningkatkan khidmat jagaan kanak-kanak bagi menyokong ibu-ibu bekerja dan mengembangkan bantuan bagi mereka yang kurang upaya dengan menubuhkan Pusat bagi Kehidupan Berupaya, yang kemudian menjadi SG Enable.

Sebagai Speaker Parlimen, anda tidak berpihak dan adil kepada semua AP, mendorong perbahasan mengenai isu nasional, serta mengekalkan ketertiban dan ketenteraman di parlimen.

Pengalaman luas anda dalam perkhidmatan awam, mempersiapkan anda bagi tanggungjawab baru anda. Seorang Presiden mempunyai kuasa pelindung yang penting bagi rizab negara dan dalam pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam.

Semasa melaksanakan kuasa pelindung ini, anda harus membuat penilaian bebas berhubung isu yang dihulurkan kepada anda, memanfaatkan sepenuhnya pengalaman dan nasihat Majlis Penasihat Presiden.

Pada masa yang sama, Presiden itu harus bekerjasama dengan Pemerintah, bagi mekanisme dua-kunci berfungsi dengan betul. Saya mengalu-alukan hubungan seumpama itu dengan anda, sebagaimana yang saya lakukan bersama presiden-presiden sebelum anda.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara antara menjadi Presiden dan jawatan-jawatan anda sebelum ini. Sehingga kini, anda sudah melakukan berjuang yang mulia - dalam kesatuan, dalam arena politik, dalam parti pemerintah.

Kini sebagai Presiden, anda tidak harus berpihak kepada mana-mana parti dan bebas dari sebarang pegangan politik.

Jawatan tertinggi di negara ini, seorang Presiden adalah simbol negara. Sebagai Presiden, anda harus menjadi tokoh yang menyatukan negara dan mewakili semua rakyat Singapura. Saya yakin bahawa anda akan menyesuaikan diri ke dalam peranan baru ini, dan menjalankannya dengan cemerlang.

Puan Presiden, anda adalah Melayu pertama untuk menjadi Presiden sejak Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, 47 tahun lalu.

Anda juga Melayu pertama dipilih untuk menjadi Presiden sejak ia menjadi jawatan yang dipilih pada tahun 1991, dan Presiden pertama dipilih sejak perubahan besar pada Perlembagaan tahun lalu. Anda juga adalah Presiden wanita pertama bagi kita.

Oleh itu, upacara angkat sumpah jawatan anda hari ini adalah detik penting dalam sejarah kita. Hari ini, kami menegaskan lagi ikrar yang dibuat Encik Lee Kuan Yew pada 9 Ogos 1965, pada saat-saat awal kemerdekaan kita, bahawa ini bukanlah negara Melayu, negara Cina mahupun negara India. Setiap rakyat akan memiliki tempatnya, secara sama rata, tanpa mengira bahasa, budaya, agama.

Semasa Encik Lee membuat ikrar ini, kami mempunyai Ketua Negara Melayu. Presiden Yusof melambangkan, dengan ketara, bahawa meskipun kita dipaksa keluar dari Malaysia terutama sekali kerana kita bandar majoriti penduduk Cina, Singapura yang merdeka pula tidak akan pernah menyekat kaum minoritinya yang bukan Cina. Kami memilih impian yang lebih mulia: Sebuah Singapura yang berbilang kaum, berbilang agama.

Puan Presiden, separuh abad kemudian, anda melambangkan, dengan ketara, bahawa Singapura akan terus berusaha dan berdaya tahan untuk mencapai impian itu.

Ini menjadi lebih genting lagi melihatkan kepada trend-trend di rantau ini dan di seluruh dunia. Dalam era di mana nasionalisme kaum kian bangkit, pengganasan pelampau menuai sikap tidak percaya dan kebimbangan, dan ideologi-ideologi eksklusif melebarkan jurang masyarakat dan agama. Di sini di Singapura, kami akan menolak arus ini.

Di sini, penduduk majoriti akan berusaha lebih demi memastikan bahawa kaum minoriti menikmati hak yang sama rata. Itu adalah sesuatu yang istimewa, berharga dan rapuh.

Itulah sebabnya kami memastikan bahawa parlimen sentiasa mempunyai wakil-wakil dari semua kumpulan etnik. Dan sekarang kami akan secara kerap mempunyai Ketua Negara, simbol negara, yang mempunyai ciri-ciri seperti Presiden Benjamin Sheares (orang Serani), Presiden SR Nathan (orang India), Presiden Tony Tan (orang Cina), dan Presiden Halimah Yacob (orang Melayu dan seorang wanita). Malah, itulah sebab utama pemerintah meminda Perlembagaan tahun lalu.

Puan Presiden, Encik Yusof Ishak adalah Presiden bagi semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, bahasa, agama atau jantina.

Anda juga akan menyatukan kita semua. Anda juga akan mengukuhkan jati diri negara. Anda juga akan menjadi Presiden kita. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan