Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Eropah ditahan berhubung kes bogel di Gunung Kinabalu

Seorang lelaki Eropah berusia 38 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan pelancong asing berbogel dan membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu, bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Eropah ditahan berhubung kes bogel di Gunung Kinabalu

Gambar fail Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara yang terletak di Sabah. (GAMBAR: AFP)

Diterbitkan : 09 Jun 2015 08:21AM Dikemas Kini : 09 Jun 2015 08:34AM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki Eropah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan pelancong asing berbogel dan membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata lelaki berkenaan ditahan sejurus selepas tiba dari Tawau dan bercadang meneruskan perjalanan ke Filipina. Lelaki tersebut dibebaskan setelah kenyataannya dirakamkan, lapor The Star Online.

"Siasatan (awal) mendapati dia berada di Gunung Kinabalu semasa kejadian tetapi dia bukan suspek telanjang. Semasa rakaman gambar, dia berada di bahagian lain gunung tersebut. Dia akan dibebaskan selepas percakapannya dirakamkan," kata Datuk Salehhudin dalam kenyataannya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan untuk gangguan awam dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum denda RM400.

Pada 30 Mei lalu, sekumpulan pelancong dari negara Eropah bertindak menanggalkan pakaian masing-masing dan membuang air kecil selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, dan gambar-gambar insiden berkenaan disebarkan di laman media sosial.

Namun perbuatan mereka membangkitkan kemarahan masyarakat di Sabah kerana perlakuan itu bertentangan dengan adat resam tempatan.

Datuk Salehhudin berkata pihaknya akan meneliti semua gambar yang dipaparkan di media-media sosial berkaitan insiden berkenaan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu bulan lepas akan dihalang daripada meninggalkan Sabah.

HORMATI KESUCIAN GUNUNG KINABALU

Sesetengah penduduk percaya bencana gempa yang berlaku di Sabah ada kaitan dengan perbuatan kurang sopan para pelancong itu, namun kumpulan itu menolaknya sebagai satu kepercayan yang karut.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebelum ini mengingatkan mana-mana individu termasuk daripada luar negara supaya mengutamakan etika ketika melakukan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

Beliau menegaskan setiap pendaki harus menghormati kesucian dan semangat yang wujud di gunung tersebut.

Tan Sri Pairin berkata: "Kita akan mengadakan upacara untuk 'memujuk' semangat gunung tersebut. Namun pendaki mesti bekerjasama dengan tidak melakukan perkara yang tidak bertamadun". 

Sumber : Bernama/Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan