Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khairy Jamaluddin: Gempa Sabah 'merubah segalanya'

Gempa Sabah 'merubah segalanya' dan Malaysia perlu menyemak semula protokol keselamatan bagi mereka yang mendaki Gunung Kinabalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Jun 2015 11:14AM Dikemas Kini : 09 Jun 2015 09:06PM

SINGAPURA: Gempa Sabah 'merubah segalanya' dan Malaysia perlu menyemak semula protokol keselamatan bagi mereka yang mendaki Gunung Kinabalu.

Demikian menurut Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin hari ini (9 Jun).

Encik Khairy yang melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) pagi ini, turut menyampaikan takziah kepada keluarga murid-murid yang terkorban akibat gempa di Sabah, Jumaat lalu.

Beliau juga ke sini bagi mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia.

Ucapan takziah yang ditulis Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin dan isterinya di Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)

Dalam lawatan ke TKPS pagi ini, Encik Khairy disambut oleh Menteri Negara Kanan Pendidikan Indranee Rajah. Turut melakukan lawatan ke TKPS ialah Speaker Parlimen Halimah Yacob, AP GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari, dan pasukan bola sepak Singapura Sukan SEA.

Menurut Encik Khairy, insiden itu adalah satu kejutan besar kepada Malaysia. "Ini merubah segalanya kerana sebelum ini, kita tidak pernah dilanda gempa bumi dengan pusat gempa terletak begitu dekat dengan sebuah gunung. Saya yakin kita akan dapat menjaga keselamatan para pendaki dengan lebih baik pada masa akan datang apabila protokol itu siap dilakar kelak."

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin bersama isterinya menulis ucapan takziah di Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)

Para pakar meteorologi dan geologi perlu menilai dan mengkaji kesan gerakan seismik di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyemak semula pelbagai aspek keselamatan, tegas Encik Khairy.

ENCIK KHAIRY: "KITA SUDAH LAKUKAN YANG TERBAIK"

Apabila ditanya mengenai usulan untuk menghadkan usia pendaki Gunung Kinabalu kepada 15 tahun dan ke atas, Encik Khairy berkata, "Sebelum kita memutuskan untuk menghadkan usia pendaki, kita perlu memahami apa yang sudah berlaku dan juga ancaman seismik yang kita berdepan sekarang.

"Selepas kita menjalankan semakan yang menyeluruh, barulah kita dapat melaksanakan protokol-protokol keselamatan, yang sama ada mungkin ataupun tidak, menetapkan had usia pendaki pada masa akan datang."

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin di tapak ucap takziah di Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)

Beliau menambah, pihak berkuasa Malaysia berharap untuk memuktamadkan operasi mencari dan menyelamat hari ini selepas dihambat cuaca buruk sejak dua hari lalu.

Menyentuh tentang kritikan yang dilemparkan terhadap operasi mencari dan menyelamat itu, Encik Khairy menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah "melakukan yang terbaik sejak awal lagi".

"Kita sudah pastikan khidmat kecemasan dihulurkan sejak awal-awal lagi, Saya rasa helikopter tidak dapat mendarat di kawasan itu kerana cuaca buruk."

"Tentu sekali, para malim gunung telah memainkan peranan penting di barisan hadapan kerana mereka sudah biasa dengan gunung itu dan mereka wajar diberi pengiktirafan sebagai hero. Bagi saya, khidmat kecemasan Malaysia telah bertindak dengan cukup baik dalam keadaan yang sungguh mencabar dan saya rasa usaha itu membuahkan hasil dan dapat dilihat oleh semua pihak."

Anggota Parlimen Zainal Sapari menulis ucapan takziah di Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)
Pasukan bola sepak negara Sukan SEA turut melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)
Anggota skuad bola sepak Sukan SEA, Irfan Fandi, melawat tapak ucap takziah Sekolah Rendah Tanjong Katong. (Gambar: Helmy Saat)

(Gambar-gambar: Helmy Saat)

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan