Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kami sedang pulih dari tragedi Sabah, kata guru besar TKPS

Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) dibuka semula hari ini selepas cuti sekolah Jun, setelah tujuh pelajarnya dan dua guru terkorban dalam kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jun 2015 09:57AM Dikemas Kini : 29 Jun 2015 08:54PM

SINGAPURA: Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) dibuka semula hari ini selepas cuti sekolah Jun, setelah tujuh pelajarnya dan dua guru terkorban dalam kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah.

Bercakap kepada media pagi ini, guru besar TKPS, Caroline Wu berkata: "Kami sedang mendapatkan kembali kekuatan kami. Kami sedang beransur pulih sebagai sebuah masyarakat di TKPS."

Seramai 29 pelajar dan lapan guru TKPS berada di Gunung Kinabalu untuk lawatan berdarmawisata apabila gempa bumi sekuat 5.9 magnitud menggegarkan gunung itu. Lawatan itu adalah sebahagian daripada kursus kepimpinan sekolah tersebut, yang dipanggil 'Omega Challenge'.

Cik Wu berkata para pelajar akan diajar cara-cara menangani sesuatu situasi, serta nilai-nilai dan daya bingkas, sepanjang tempoh bimbingan guru. Beliau menambah bahawa pelajar yang terjejas akan diberi sokongan, sepertimana mereka selama ini disokong sejak pulang dari Sabah.

Para murid Sekolah Rendah Tanjong Katong berhimpun pada hari pertama sekolah dibuka semula. (Gambar: TODAY)

Para murid TKPS berhimpun pada hari pertama sekolah dibuka semula. (Gambar: TODAY)

TKPS juga mempunyai empat kaunselor sekarang ini, setelah dua lagi kaunselor yang baru diambil sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan untuk menyokong sekolah itu.

"Saya yakin dengan sokongan ibu bapa, dan daya bingkas para kakitangan serta murid kami, kami mampu bangkit daripada (tragedi) ini dan pulih. Kami akan tampil lebih kuat," ujar Cik Wu. 

Guru besar TKPS berkata demikian semasa berucap kepada sekitar 700 pelajar Darjah Tiga, Empat dan Lima semasa para murid berhimpun pagi tadi. Cik Wu akan memberi ucapan kepada murid Darjah Satu dan Dua sekolah itu petang ini, dan sudah berbuat demikian bagi kohort Darjah Enam minggu lalu.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan