Jenazah tiga murid TKPS selamat disemadikan
Jenazah mendiang Peony Wee, Rachel Ho dan Emilie Giovanna Ramu, selamat disemadikan hari ini. Mereka di kalangan 10 penduduk Singapura yang terkorban akibat gempa bumi di Sabah.
SINGAPURA: Jenazah mendiang Peony Wee, Rachel Ho dan Emilie Giovanna Ramu, selamat disemadikan hari ini.
Tiga murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) itu di kalangan 10 penduduk negara ini yang terkorban akibat gempa bumi di Sabah pada Jumaat lalu.
Peony Wee di kalangan yang pertama disahkan terkorban dalam kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu minggu lalu.
Pagi tadi, lebih 100 orang berkumpul di rumahnya di Mountabatten sebelum jenazah Wee dibawa ke krematorium untuk disemadikan sekitar 9 pagi.
Turut disemadikan hari ini ialah rakan sedarjahnya, Rachel Ho.
Keranda Ho meninggalkan rumahnya di Tanjong Katong kira-kira pukul 10 pagi, diiringi para ahli keluarga serta sahabat handai.
Ayah mendiang Ho menyifatkan anaknya itu sebagai "penyatu keluarganya".
Pada sebelah petang pula, jenazah Emilie Giovana Ramu dibawa ke tempat pembakaran mayat di Mandai untuk disemadikan.
Dalam pada itu, orang ramai terus datang bertali arus ke pusat peringatan di Sekolah Rendah Tanjong Katong bagi menyampaikan ucap takziah kepada para murid serta guru-guru.
Mereka termasuk pasukan hoki lelaki negara di Sukan SEA.
Pada setiap jambangan bunga itu juga terdapat sekeping nota yang mengandungi kata-kata semangat - ditulis oleh sebuah keluarga mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.