Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng: Mari kita kenang jasa guru yang utamakan pelajar

Menteri Pendidikan Heng Swee Keat menggesa agar Hari Peringatan Negara hari ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengenang jasa dan memberi penghormatan kepada para guru yang tidak mementingkan diri, semangat pelajar serta sokongan masyarakat dan rakan-rakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Jun 2015 12:06PM Dikemas Kini : 08 Jun 2015 09:06PM

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Heng Swee Keat menggesa agar Hari Peringatan Negara hari ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengenang jasa dan memberi penghormatan kepada para guru yang tidak mementingkan diri, semangat pelajar serta sokongan masyarakat dan rakan-rakan.

Demikian mesej yang disampaikan Encik Heng kepada para kakitangan Kementerian Pendidikan menerusi kiriman e-mel, pagi tadi.

Hari ini diisytiharkan sebagai Hari Peringatan Negara bagi memperingati lapan rakyat Singapura yang terkorban dan dua lagi yang masih hilang, menyusuli kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah.

Mereka yang disahkan terkorban ialah enam murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS), seorang guru mereka, dan pemandu kembara yang mengiringi rombongan pelajar itu.

"Sikap para guru kami yang tidak mementingkan diri sendiri mengingatkan kita untuk terus memberikan yang terbaik kepada para pelajar kita.

"Semangat anak-anak kita memberi inspirasi kepada kami untuk menjadi guru. Sokongan masyarakat dan rakan-rakan pula membantu kami mengharungi masa-masa sukar. Saya berharap kita akan senantiasa mengingati semua ini dan sampai bila-bilapun, supaya kita dapat menjadi contoh kepada guru-guru lain, pelajar dan masyarakat kita," ujar Encik Heng.

Encik Heng juga berkata semua guru TKPS yang menyertai lawatan berdarmawisata ke Gunung Kinabalu itu, melakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan kanak-kanak tersebut, dan mereka wajar dihargai dan dihormati.

"Para pelajar kami menceritakan guru-guru mereka melindungi mereka apabila batu-bata jatuh di tepi gunung, dan terus menjaga mereka meskipun mereka sendiri mengalami kecederaan. Marilah kita memperingati dan mencontohi keberanian mereka dan sikap mereka yang tidak mementingkan diri sendiri," kata Encik Heng.

Beliau menambah bahawa rakyat Singapura mesti menyanjung keberanian dan semangat kental kanak-kanak itu, yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan begitu teruja untuk menyertai ekspedisi tersebut dengan rakan-rakan sekolah mereka. "Marilah kita mengingati dan mencontohi semangat kanak-kanak kita ini untuk dijadikan sebagai harapan dan insipirasi."

Encik Heng berkata bukan sahaja kakitangan TKPS, tetapi para alumni dan masyarakat tampil memberi sokongan dan menunjukkan rasa prihatin terhadap rakyat Singapura lain.

"Guru-guru dan kakitangan dari sekolah lain juga memberikan semangat. Marilah kita mengingati dan menghargai sokongan mereka ini."

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan