Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gempa Sabah: Usaha guru 'hero' lindungi murid dipuji

Apabila batu-bata dan bongkah jatuh di tepi Gunung Kinabalu semasa gempa melanda Jumaat lalu, para guru Sekolah Rendah Tanjong Katong, tanpa menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri, sebaliknya menggunakan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi para pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
Gempa Sabah: Usaha guru 'hero' lindungi murid dipuji

Para pelajar Singapura yang cedera akibat gempa di Gunung Kinabalu, berehat di Kundasang, Ranau. (Gambar: Pejabat Perhubungan Negeri Sabah/AFP)

Diterbitkan : 08 Jun 2015 03:02PM Dikemas Kini : 08 Jun 2015 03:09PM

SINGAPURA: Apabila batu-bata dan bongkah jatuh di tepi Gunung Kinabalu semasa gempa melanda Jumaat lalu, para guru Sekolah Rendah Tanjong Katong, tanpa menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri, sebaliknya menggunakan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi para pelajar.

Para ibu bapa memberitahu akhbar TODAY bagaimana anak mereka yang terselamat daripada bencana alam itu menceritakan sambil memuji keberanian guru mereka.

GURU WAJAR DIGELAR 'HERO'

Cik Hazreen Hussain, 38 tahun, yang anak perempuannya antara murid yang selamat pulang ke Singapura, berkata: "Berdasarkan apa yang saya dengar sendiri daripada para murid itu, para guru, meskipun mereka sendiri cedera, bertindak dengan berani bagi melindungi para murid hingga ada daripada guru itu yang terkena batu-bata.

"Jika anda tanya saya, para gurulah yang wajar digelar hero," menurut ejen hartanah itu.

Encik Alec Wing pula menceritakan apa yang diberitahu anaknya, Tristan, 12 tahun: "Apabila gempa bumi melanda, para guru meminta kanak-kanak itu supaya berkumpul, dan mereka cuba melindungi mereka daripada dihempap bongkah-bongkah yang jatuh."

Encik Wing menambah bahawa sekolah itu dan para gurunya menjalankan tugas melebihi tanggungjawab.

"Ramai guru yang menyertai lawatan berdarmawisata itu tidak menghiraukan keselamatan diri mereka, walaupun ada yang cedera teruk. Semangat dan keberanian mereka amat mengagumkan," ujar penduduk tetap dari Mauritius itu, yang bekerja di sektor teknologi.

Encik Hafiz Ahmad, yang menyambut ketibaan anak saudaranya, Amal Ashley Lim iaitu antara pelajar TKPS yang pulang dari Sabah pada Sabtu lalu, pula berkata salah seorang guru sekolah itu melindungi Amal dan seorang lagi murid dari batu-bata yang jatuh apabila gempa melanda.

MURID IMBAS KEMBALI KEJADIAN MENGERIKAN

Sementara itu, murid TKPS, Tristan Wing, 12 tahun, mengimbas kembali kejadian mengerikan itu pada Jumaat lalu, berkata beliau bersiap sedia untuk mendaki Gunung Kinabalu menerusi laluan Walk the Torq sepanjang 430 meter apabila bongkah-bongkah mula jatuh ke tepi gunung.

Dalam sekelip mata, beliau yang sebelum itu begitu ghairah untuk menyertai ekspedisi tersebut bersama para guru dan murid lain - sekitar 20 daripada mereka sudah mula mendaki menerusi laluan itu ketika itu- serta merta melutut apabila seorang malim gunung Sabah meneriak.

Bapa Tristan, Encik Wing, yang menceritakan demikian semalam, berkata beliau berterima kasih kepada para guru yang membantu anaknya dan murid lain.

"Anak saya boleh rasa bongkah-bongkah itu terkena begnya," ujar beliau. Encik Wing menambah bahawa anaknya itu, bersama murid dan guru lain serta malim-malim gunung, mengambil masa tiga jam untuk turun dari gunung dan tiba di sebuah kawasan yang selamat.

Encik Wing berkata Tristan sedang cuba berehat dan meneruskan kehidupannya selepas kematian rakan-rakannya.

"Kami sedang memantau anak kami untuk mengesan sebarang tanda-tanda trauma. Bagi mereka yang terkorban, kami turut berdukacita dan bersimpati dengan mereka. Tiada ibu bapa yang sepatutnya mengalami pengalaman yang sama." 

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan