Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gempa Sabah: Lebih 500 orang beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Ghazi

Lebih 500 orang hadir, terdiri daripada kaum keluarga, rakan-rakan serta murid-murid Sekolah Rendah Tanjong Katong untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Cikgu Ghazi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jenazah Allahyarham Mohammad Ghazi Mohamed yang terkorban dalam kejadian gempa di Kota Kinabalu dua minggu lalu, telah selamat dikebumikan hari ini (19 Jun).

Lebih 500 orang hadir, terdiri daripada kaum keluarga, rakan-rakan serta murid-murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Cikgu Ghazi.

Suasana sayu menyelubungi Masjid Kampung Siglap apabila jenazah Allahyarham tiba sebelum Asar tadi.

Mufti Negara, Dr Fatris Bakaram, memimpin sembahyang jenazah disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Heng Swee Keat dan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Tenaga Manusia Hawazi Daipi.

Ditemui media, Dr Yaacob menyifatkan Allahyarham sebagai seorang guru dan bapa yang berdedikasi.

Pada masa yang sama beliau mengajak masyarakat untuk merenung kembali apa yang kita boleh lakukan untuk mengingati sumbangan Allahyarham.

Dr Yaacob berkata: "Dan saya harap dengan ada perasmian pada hari ini, ini membawa satu kesimpulan bagi keluarga beliau, walaupun saya rasa ini satu perkara yang sukar tapi, insya-Allah dengan sokongan yang diberi oleh pihak pemerintah dan juga badan-badan masyarakat, insya-Allah kita boleh bekerjasama untuk menentukan bahawa keluarga beliau, Allahyarham, dijaga dengan baik dan insya-Allah, apa yang dilakukan, nilai-nilai beliau kita akan hidupkan pada masa-masa akan datang, insya-Allah."

Para pelajar TKPS juga hadir bagi kali terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada guru yang mereka sanjungi.

Seorang bekas pelajar TKPS, Mohd Rayyan Remy berkata: "Kerana dia, saya menyukai mata pelajaran Inggeris. Pada mulanya saya mendapat markah yang tidak cemerlang dan kerana dia yang mengajar saya untuk mencintai mata pelajaran itu, sebab itu saya dapat belajar dengan lebih baik dan cemerlang dalam mata pelajaran itu."

Seorang lagi bekas pelajar TKPS, Mohd Aqa'sha Abdillah berkata: "Hari ini saya sedih kerana cikgu saya Mr Ghazi telah meninggal."

Salah seorang rakan sekolah Allahyarham Mohammad Ghazi, Lih Soon turut hadir di upacara pengebumiannya. Beliau berkata: "Ghazi seorang yang merendah diri. Kami bermain sukan hoki bersama dan belajar bersama-sama dahulu, amat dipercayai."

Mayat seorang lagi mangsa korban gempa di Sabah itu, pelajar TKPS Navdeep Singh Jaryal S/O Raj Kumar juga telah selamat sampai ke Singapura hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan