Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 warga asing yang berbogel di Gunung Kinabalu direman kerana "berkelakuan tidak senonoh"

Dua warga Kanada, seorang warga Belanda dan seorang rakyat Britain kini ditahan selama empat hari di Sabah bagi siasatan lanjut.

Anggaran Waktu Membaca:
4 warga asing yang berbogel di Gunung Kinabalu direman kerana "berkelakuan tidak senonoh"

Gunung Kinabalu di Sabah - yang dilanda gempa bumi pada 5 Jun 2015 - dilihat dari Timpohon di Kundasang, sebuah bandar di Ranau. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 10 Jun 2015 02:21PM Dikemas Kini : 10 Jun 2015 07:55PM

KUALA LUMPUR: Empat warga asing ditahan reman hari ini selepas tiga daripada mereka menyerah diri ekoran laporan yang menyatakan mereka berbogel dekat puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu.

Dua lelaki warga Kanada, seorang wanita warga Britain dan seorang wanita warga Belanda ditahan selama empat hari di Sabah bagi siasatan lanjut di bawah Kod Kanun Keseksaan Malaysia, di bawah Seksyen 294(a).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, wanita warga Britain itu, yang ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada lewat tengah hari semalam ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.

"Wanita itu mengaku melakukan perbuatan itu dan polis membawanya ke Kota Kinabalu untuk ditahan reman," menurut beliau dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Datuk Jalaluddin berkata, tiga individu yang menyerah diri di Balai Polis daerah Karamunsing kira-kira pukul 6 petang semalam ialah dua beradik lelaki warga Kanada dan seorang wanita warga Belanda.

Permohonan bagi tahanan reman itu dikemukakan kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.

Dalam pada itu, Datuk Jalaluddin menasihatkan malim gunung supaya melaporkan segera sekiranya ada perbuatan yang tidak senonoh dilakukan dalam kalangan pendaki supaya tindakan dapat diambil.

Pada 30 Mei lalu, sekumpulan pelancong asing bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana pelancong itu tidak menghormati adat resam tempatan, apatah lagi berlaku pula gempa bumi Jumaat lalu, yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu dan mengorbankan sejumlah pelancong dan malim gunung.

Gempa bumi itu adalah yang paling dahsyat pernah melanda Malaysia sejak 1976.

Sumber : CNA/BERNAMA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan