Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wawancara khas bersama Pengerusi MBMS Masagos Zulkifli sempena Bulan Bahasa

Sempena Bulan Bahasa, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) Encik Masagos Zulkifli bakal melancarkan sebuah video bertemakan 'MELAYU SG50'. Ikuti wawancara khas bersama wartawan Nursha Ismail. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa tahun ini akan dirasmikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Gardens by the Bay, esok.

Memandangkan ia serentak dengan SG50, tentu ada beberapa keistimewaan yang boleh dijangkakan dalam sambutan tahun ini.

Inilah yang ditanyakan dalam satu wawancara khas dengan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura Encik Masagos Zulkifli.

Encik Masagos, kita akan meraikan sambutan Bulan Bahasa, apa keistimewaan kali ini berbanding tahun-tahun lalu?

Tahun ini kita akan menjalankan perayaan bulan Bahasa lebih megah lagi, kerana ini sempena SG50, kita akan membuat satu pameran tentang penulisan selama 50 tahun, persuratan selama 50 tahun di Singapura. Setelah 50 tahun kita merdeka, walaupun kita hidup dalam masyarakat majmuk, dan juga terdedah pada pengaruh-pengaruh luar negara, kita tetap cinta pada Bahasa kita dan melestarikan budaya kita. Inilah antara ciri-ciri 'Identiti Melayu SG50'.

Menarik apabila anda menyatakan 'Identiti Melayu SG50'. Jadi, apa takrifannya bagi anda?

Identiti Melayu SG50' ini adalah satu yang sangat unik kerana ia menjadikan orang Melayu/Islam Singapura ini begitu berbeza sekali dengan Melayu nusantara. Kita sampai ke sini kerana kita telah dapat menyelaraskan kepentingan-kepentingan agama, budaya dan negara. Di negara-negara lain di mana minoriti Islam wujud, selalu menjadi konflik antara satu sama lain.

Tapi di Singapura, selama 50 tahun, kita telah dapat menyelesaikan berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam di Singapura ini kerana kerjasama yang erat antara pemimpin masyarakat, pemimpin negara dan juga pemimpin agama. Mereka tahu betapa pentingnya menjaga keharmonian, supaya masyarakat Melayu/Islam tidak disangsi, mereka dapat terus menjalankan tuntutan agama mereka dan juga mereka sama seiring membangun dengan negara.

Melangkah ke hadapan, untuk mempersiapkan diri bagi 'Identiti Melayu SG100', bagaimana kita harus mengharungi cabaran?

Singapura adalah antara negara yang berjaya untuk mengembalikan mereka yang telah terjerumus dalam ideologi ekstrem dan kembali kepada masyarakat. Seluruh dunia kagum dengan pendekatan kita. Ini bukan kerana kearifan ulama kita melakukan ini, tapi juga kerana mereka telah menanam bibit-bibit masyarakat yang 'moderate', yang telah mampu hidup dengan masyarakat lebih majmuk hinggakan kita jadi masyarakat yang, kalau apa sahaja yang menjadi masalah kita, kita bagaikan menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, dan tepung tidak berselerak.

Sempena Bulan Bahasa, Encik Masagos bakal melancarkan sebuah video bertemakan 'MELAYU SG50'.

Video yang menyentuh lebih terperinci tentang 'Identiti Melayu SG50' dan cabarannya akan dimuat naik di laman Facebook Encik Masagos yang tertera, mulai Ahad ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan